Mencari Kecemerlangan Hakiki
فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
“ ..sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia telah beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan (ghurur).” (ali-Imran 3: 185)
Kecemerlangan hakiki adalah apabila seseorang itu dapat memasuki syurga dan terselamat dari siksaan api neraka di akhirat nanti. Walau bagaimana pun, Islam juga memandang kecemerlangan di dunia sebagai penting. Kecemerlangan di dunia menjadi bermakna apabila ianya dijadikan landasan untuk mencapai kecemerlangan di akhirat.
Piawaian untuk memasuki syurga milik Allah mestilah menepati acuan yang ditetapkan oleh Allah berdasarkan wahyuNya melalui al-Qur’an dan as-Sunnah. Hanya dengan acuan ini sahaja yang dapat menjadikan manusia cemerlang di dunia dan di akhirat.
Isi kandungan artikel ini dipetik daripada buku Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran karya Dr. Danial Zainal Abidin |
Sila klik pada tajuk untuk melihat penerangannya.
1. Cemerlang dengan menjadi global champion
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf, mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. (Ali-Imran 3:110)
Islam adalah agama ciptaan Tuhan. Justeru ia adalah agama yang hebat. Individu yang mengenali Islam secara yang betul akan berasa izzah atau mulia dengan Islam. Apabila orang itu berasa mulia dengan Islam, hidupnya menjadi terarah. Segala aktiviti dalam hidupnya akan dijuruskan bagi menjadikan dirinya insan mulia iaitu insan bertakwa. Izzah juga menjadikan individu itu mengasihi yang makruf dan membenci mungkar, Justeru, pastikan kita mengenali Islam secara yang betul. Utamakan innovasi dan kualiti dalam hidup. Jangan lupa menceritakan keindahan Islam kepada orang bukan Islam, di dalam dan luar negara. Khalifaf Umar al Khattab r.a. pernah berkata,”Kita adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan yang lain daripada Islam, Allah timpakan kehinaan ke atas kita.”
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ
“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya.” (al-Talaq 65: 2~3)
Takwa adalah kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Ledakannya mampu mengukir sejarah baru di dunia. Justeru, bersihkanlah iman kita daripada syirik dengan menjauhi tangkal. Khurafat, tahyul dan bomoh-bomoh sesat. Pastikan kita melakukan ibadah-ibadah wajib setiap hari dan menjauhi sebarang maksiat. Berkawanlah dengan rakan-rakan yang salih supaya kita tidak terbabas. Tuhan menyatakan di dalam surah at-Taghabun ayat 16 yang bermaksud,”Bertakwalah kepada Allah sedaya upaya kamu.”
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾٩
“Allah menganugerahkan hikmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang dianugerahi hikmat dia benar-benar dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran.” (Al-Baqarah 2:269)
Untuk cemerlang, kita perlu menguasai ilmu dan hikmat. Ke mana sahaja kita pergi, bawalah buku bersama. Apabila buku sentiasa mendampingi kita, senanglah kita untuk mendampinginya. Pastikan ada ilmu baru yang kita perolehi setiap hari. Ilmu-ilmu baru yang kita perolehi itu hendaklah ditulis bersama dengan sumber rujukannya. Dengan cara yang demikian, ilmu itu tidak mudah luput dari hidup kita. Di dalam kitab Ihya-Ulumuddin dinyatakan, Fathul Mausuli berkata,”Tidakkah jika seseorang itu sakit dan tidak menjamah makanan dan minuman, dia akan mati? Demikianlah juga dengan hati, jika tidk diberikan hikmat dan ilmu selama tiga hari, ia juga akan mati.”
وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِن تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ
“Dan demikianlah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi dan agar Kami ajarkan kepadanya ilmu tadbir mimpi.” (Yusuf 12: 21)
Menguasai ilmu semasa adalah wajib. Tidak akan ada kecemerlangan tanpanya. Justeru, kesedaran perlu disemaikan di hati golongan muda pada hari ini supaya mereka menjadi golongan yang cintakan ilmu termasuk ilmu sains. Hanya dengan ilmu sahaja, umat akan menjadi cemerlang dan gilang-gemilang. Berazamlah supaya kita berada di salah satu penjuru dari penjuru-penjuru fardu kifayah ini. Jangan dilupakan perkataan Imam al-Ghazali yang bermaksud,”Yang fardhu kifayah adalah setiap ilmu yang bertujuan menegakkan urusan dunia yang tidak dapat diketepikan.”
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ
“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu iaitu al-Kitab (Qur’an) dan dirikan solat.” (al-Ankabut 29: 45)
Orang-orang Arab pada zaman jahiliah adalah golongan yang tidak bertamadun. Namun, setelah mereka memeluk Islam, cara hidup mereka berubah seingga mereka berjaya membina sebuah tamadun yang gilang-gemilang. Perubahan ini diransang dan disuluh oleh al-Qur’an. Justeru, pada hari ini apabila kita ingin cemerlang, jadikan al-Qur’an sebagai landasan kepada kecemerlangan itu. Bagi tujuan itu, bawalah al-Qur’an dan terjemahannya bersama-sama kita dan bacalah setiap hari dengan tajwid yang betul. Kita boleh membaca al-Qur’an sambil duduk di kerusi tanpa perlu berwudhuk dan mengadap kiblat. Mulakan membaca sepuluh ayat. Selepas itu, telitilah maksud-maksudnya sebelum kita menambah dengan membaca lagi sepuluh ayat. Berkata Imam Sufyan al-Thauri,”Apabila seseorang membaca al-Qur’an, para malaikat akan mencium antara kedua belah matanya.”
﴾وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ﴿٢٠١
“Dan antara mereka ada yang berkata,”Wahai Tuhan kami kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari api neraka.” (al-Baqarah 2:201)
Untuk cemerlang, kita perlukan wawasan yang jelas. Justeru, tentukan wawasan kita. Di samping itu, tetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang hendak kita capai. Walau bagaimana pun, wawasan kita perlu realistik. Tuhan yang menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 26 yang bermaksud ,”Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”
قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تَأْكُلُونَ ﴿٤٧﴾ ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تُحْصِنُونَ ﴿٤٨﴾ ثُمَّ يَأْتِي مِن
بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ﴿٤٩﴾٤٩
بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ﴿٤٩﴾٤٩
“Yusuf berkata,”Hendaklah kamu bertanam selama 7 tahun sebagaimana biasa dan apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya kecuali sedikit yang kamu ambil untuk dimakan. Kemudian sesudah itu akan datang 7 tahun yang amat sulit yang memerlukan kamu memakan apa yang kamu simpan kecuali sedikit yang kamu biarkan dalam simpanan. Kemudian selepas itu akan datang tahun yang padanya manusia dikurniakan hujan dan ketika itu mereka memerah anggur.” (Yusuf 12:47~49)
Islam tidak menjadi jaguh dunia secara magis. Ia terhasil disebabkan oleh perancangan strategik yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para Sahabat r.anhum, bertunjangkan takwa dan tawakal. Kesan dari perancangan itu, lahirlah tindakan yang teratur lagi padu sehingga umat menjadi seperti apa yang dinyatakan Allah di dalam surah as-Saff ayat 4 yang bermaksud,”Seolah-olahnya sebuah bangunan yang kukuh.” Justeru, rancanglah hidup kita dengan baik dan janganlah bertindak secara semberono. Pastikan perancangan dan pelan tindakan kita ditulis dengan jelas. Perancangan yang tidak ditulis adalah perancangan yang akan dilupakan. Ingatlah, mereka yang gagal merancang adalah merancang untuk gagal. Selepas merancang, susulilah dengan usaha yang gigih.
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ﴿٨﴾ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّـهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا﴿٩﴾٩
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang tawanan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah. Kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula ucapan terima kasih..” (al-Insan 76:8~9)
Orang yang ikhlas terselamat dari kepura-puraan dan kemunafikan. Lebih dari itu, amal dan aktivitinya diredhai Allah, dan akan sejahtera dan cemerlang. Sebaliknya, riya’ memudharatkan hati serta amalan. Justeru, renunglah ke dalam hati kita sebelum melakukan sesuatu bagi memastikan keikhlasan kita. Dalam hadith yang dilaporkan Imam Ahmad dan Baihaqi, Nabi SAW telah bersabda, “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah syirik kecil”. Para Sahabat bertanya,”Apakah syirik kecil itu, ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab,”Riya’.”
بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّـهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١١٢﴾١١٢
“Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping beliau bersikap muhsin baginya ganjaran sisi Tuhannya, tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita.” (al-Baqarah 2:112)
Gerabak kehidupan kita akan terbabas tanpa rel. Rel ini adalah syariat. Justeru, jadikan diri kita individu yang ‘celik syariat’. Bagi mengenali syariat, kita perlukan ilmu. Allah menyatakan di dalam sura Taha ayat 123~124 yang bermaksud,” Jika datang kepadamu petunjuk Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sesiapa yang berpaling dari peringatan Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ۩﴿٧٧﴾٧٧
“Wahai mereka yang beriman, sujud dan rukuklah serta beribadahlah kepada Tuhan mu dan buatlah kebaikan semoga kamu beroleh kejayaan.” (al-Hajj 22:77)
Ibadah adalah latihan yang merangkumi minda, hati, dan jasad manusia. Disiplin yang terdapat di dalamnya menjadikan individu itu unggul dalam bidangnya. Matlamat ibadah adalah mencari keredhaan Allah. Manusia yang mementingkan keredhaan Allah tidak dapat dibeli oleh manusia. Hanya manusia yang seperti ini sahaja yang layak menjadi pemimpin dalam masyarakat. Justeru, jadikanlah ibadah sebagai aktiviti penting dalam hidup kita. Masukkan ibadah ke dalam setiap perancangan hidup dan berikan keutamaan pada ibadah fardhu. Allah berfirman di dalam surah az-Zariyat ayat 53 yang bermaskud: “Tidak Aku jadikan jin dan juga manusia melainkan agar mereka beribadah (mengabdikan diri) kepada Ku.”
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾٩
“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka..Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.” (al-Mukminun 23:1,2, & 9)
Oleh kerana sembahyang wajib dilakukan beberapa kali setiap hari, ia adalah latihan kecemerlangan yang penting bagi umat Islam. Justeru, pastikan sembahyang yang lima tidak kita abaikan walaupun sekali. Jadikannya sebagai rutin hidup. Anggaplah setiap sembahyang kita sebagai sembahyang yang terakhir di alam ini. Dengan cara demikian khusyuk dapat dihayati. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.”
وَالذَّاكِرِينَ اللَّـهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّـهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٣٥﴾٣٥
“Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” (al-Ahzab 33:35)
Zikir boleh dikiaskan seperti alat penggilap hati yang berkesan. Apabila kita berzikir, kita seolah-olahnya sedang menggilap hati dan diri kita sendiri menuju kecemerlangan. Bandingan ini dengan kereta kita yang digilap selalu. Kereta itu sudah pasti sentiasa bersinar. Justeru, denyutkanlah hati dengan zikrullah selalu, walaupun sekadar mengulang-ulangi kalimat Subhanallah. Serentak dengan itu, janganlah kita abaikan ibadah-ibadah wajib. Jangan dilupakan firman Allah dalam surah ar-Ra’ad ayat 28: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan menjadi tenang.”
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾٦٩
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan Kami) benar-benar Kami akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” (al-Ankabut 29:69)
Berjihad tidak dapat dipisahkan dari kecemerlangan. Asasnya adalah jihad melawan hawa nafsu kerana nafsu sering membawa manusia kepada kehancuran. Contohnya, kaum Lut hancur di kota Sadom disebabkan nafsu seks mereka yang tidak dapat dikawal. Apabila nafsu dapat ditundukkan, terhasillah pengorbanan demi mencapai matlamat. Justeru, lawanlah nafsu kita supaya ia tunduk kepada syariat. Banyaklah berpuasa untuk mengawalnya. Disamping itu, janganlah abaikan dakwah termasuk dakwah kepada orang bukan Islam. Jangan lupa menghadiahkan buku berkenaan Islam kepada mereka. Allah memerintahkan di dalam surah al-Hajj ayat 78 yang bermaksud: “Berjihadlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar jihad.”
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
“Sesiapa yang bertawakal kepada Tuhan maka Tuhan mencukupkan keperluannya.” (at-Talaq 65: 3)
Tawakal berkait rapat dengan pergantungan hati kepada Allah. Allah menjamin kecemerlangan dan kejayaan kepada mereka yang bertawakal kerana di dalam surah ali-Imran ayat 159 Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan mengasihi mereka yang bertawakal.” Justeru, apabila ada di kedai atau pejabat kita ayat-ayat pelaris, tangkal atau sebagainya, buanglah semua itu dan gantikan dengan pergantungan hanya kepada Allah. Berzikirlah kepada Allah apabila kita dilanda keluh kesah kerana di antara punca manusia gagal bertawakal adalah kerana melayan perasaan keluh kesah yang ditiupkan oleh syaitan. Hal ini disebutkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 268 yang bermaksud: “Syaitan menjanjikan kemiskinan dan menyuruh mereka mengerjakan perbuatan keji sedangkan Allah menjanjikan mereka dengan keampunan dan kurniaan dari sisinya.” Apabila manusia yakin dengan janji-janji Allah, tawakal akan memenuhi hati. Dengan itu datanglah ketenangan dan kecemerlangan.
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
“Dialah (Allah) yang menjadikan kematian dan kehidupan agar dia menguji siapakah antara kamu yang lebih ihsan amalannya.” (al-Mulk 67: 2)
Tanpa kualiti, kecemerlangan tidak tercapai. Justeru, semasa hendak melakukan sesuatu amal, tanyalah kepada diri secara berbisik, “Apakah tujuan aku melakukan amalan ini?” Dan kemudian renunglah ke dalam hati bagi mendapatkan jawapannya. Jangan lupa ‘menghembuskan keluar’ niat-niat yang keji dari hati itu. Apabila kita menghasilkan sesuatu produk, tanyalah kepada diri, “Sudikah aku menerima produk itu untuk diri sendiri?” Jika kita sendiri tidak sudi menerimanya, jangan diberikan kepada orang lain. Ingatlah pesanan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu suci bersih dan Allah tidak akan menerima kecuali yang suci bersih juga.”
لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا مِنْهُمْ وَاتَّقَوْا أَجْرٌ عَظِيمٌ﴿١٧٢﴾ ١٧٢
“Bagi orang-orang yang ihsan dan bertakwa antara mereka ada pahala yang besar.” (ali-Imran: 172)
Mengapakah semasa kita melalui tanah perkuburan tertentu kita merasakan seolah-olah ada makhluk tertentu seperti hantu yang sedang memerhatikan kita? Mengapa kita tidak merasai bahawa sebenarnya yang sedang memerhatikan kita malah dalam setiap keadaan adalah Allah? Keadaan ini mungkin disebabkan hati kita tidak selalu disirami dengan ‘air’ zikrullah. Justeru, ‘gelombang ihsan’ tidak mampu memukul hati itu. Imam Ibn Atha’ berkata, “Perkara yang lebih utama daripada taat adalah mengawasi Allah dengan hati sepanjang masa.”
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖإِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾72
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung ganang tetapi mereka enggan memikulnya dan berasa berat dengannya, sebaliknya ia dipikul oleh insan. Sesungguhnya mereka amat zalim lagi jahil.” (al-Ahzab 33:72)
Amanah atau jujur menentukan samada individu itu mempunyai kredibiliti ataupun tidak. Tanpa kredibiliti segala perkataan, pendapat dan tindak tanduk individu itu tidak akan dihargai. Manusia seperti itu tidak akan cemerlang. Adakah kita orang beramanah? Sebagai langkah bagi memastikan kita melaksanakan amanah, empat tugasan dan muhasabah perlu kita lakukan segera. Pertama, pastikan solat yang lima dilakukan di dalam waktunya. Kedua,pastikan kita menjelaskan hutang-hutang kita bermula hari ini. Ketiga, pastikan kita memulangkan wang-wang sogokan yang masih berada di tangan kita pada hari ini. Keempat, nilai semula tugas dan tanggungjawab yang kita terima dan tulis semua itu dalam buku khas. Selepas itu tanyalah pada diri kita samada semua tugas dan tanggungjawab tersebut sudah dilaksanakan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi SAW bersabda: “Apabila amanah diabaikan orang, tunggulah waktu kehancuran (hari kiamat).”
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ ﴿٤﴾ (4
“Sesungguhnya kamu (Nabi Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi.” (al-Qalam 68: 4)
Akhlak mulia mempunyai kekuatan dan daya tarikan tersendiri. Justeru, jangan kita memperkecilkan akhlak dalam hidup. Amalkan konsep ‘otak di atas, dan mulut di bawah’ semasa bercakap. Maksudnya, berfikirlah sebelum bercakap. Setiap individu memiliki kelebihan yang tertentu. Justeru, hormatilah setiap orang yang kita temui sebagai mana kita mahu dihormati. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Nabi SAW bersabda: “Dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.”
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ ﴿١٠﴾ (1
“Sesungguhnya Tuhan memberi ganjaran mereka yang bersabar dengan ganjaran yang banyak yang tidak dapat dihitung.” (az-Zumar 39:10)
Sikap kita ditentukan oleh cara kita melihat masalah. Apabila kita melihat masalah sebagai kesempatan untuk membangunkan diri, kita bersifat positif. Sebaliknya, apabila kita melihat masalah sebagai perkara yang akan memusnahkan kita, kita berfikiran negatif. Justeru, semasa berdepan dengan masalah, senyumlah dan berkata, “Alhamdulillah, Aku diberikan kesempatan untuk dijadikan lebih berjaya.” Kemudian, lakukan analisa ke atas masalah itu satu persatu. Jangan lupa, ‘anda tidak boleh menelan seekor kuda sekali gus. Namun jika anda memakannya sedikit demi sedikit, akhirnya anda akan berjaya menelan seekor kuda.’ Jelas sekali, yang menjadi masalahnya bukan kuda, tetapi cara kita. Jangan kita melupakan kata-kata Nabi SAW, “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusuhan, dan sesungguhnya beserta dengan kepayahan adalah kesenangan.”
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ
“Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menghalang kamu dari berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa.” (al-Maidah 5: 8)
Sikap adil hanya boleh dihayati oleh mereka yang mementingkan Allah. Mereka sedar apabila mereka bertindak zalim, Allah akan memusnahkan mereka. Justeru, dalam hidup kita, utamakan kebenaran dan bukannya kelompok, bangsa, dan keturunan. Bayangkan diri kita sedang berdiri di atas sebuah pelantar yang di bawahnya terdapat satu kolah dipenuhi air sedang mendidih. Apabila kita berada di bahagian hujung pelantar, ia akan berat sebelah dan kita akan jatuh dan binasa. Kita hanya akan selamat apabila kita berada pada bahagian tengahnya. Itulah keadilan. Menurut riwayat Imam Muslim, Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhya orang yang berlaku adil akan diletakkan di mimbar-mimbar yang bercahaya (di hari kiamat).”
الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ
“Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga suka memaafkan kesalahan orang lain.” (ali-Imran 3: 134)
Mereka yang mampu mengawal emosi mampu mengawal suasana. Mereka yang bersifat seperti ini akan disegani lagi dihormati sekali gus. Kesemua ini adalah ramuan menuju kecemerlangan. Justeru, apabila kita marah, sebutlah nama Allah berulang-ulang kali dan jika perlu diamlah untuk seketika. Peringatkan diri kita bahawa inilah saatnya kita akan tergelincir menjadi seorang yang bodoh apabila kita tidak mampu mengawal diri. Di dalam Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali r.h. berkata, “Ketika perasaan marah berkobar ia boleh diubati dengan azimat ilmu dan amal.”
وَأَن تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ
“Dan jika kamu memaafkan maka itu adalah labih dekat kapada takwa.” (al-Baqarah 2:237)
Golongan yang suka memberi maaf adalah orang yang berjiwa besar. Ketenangan dan kedamaian akan meliputi hati mereka sebagai anugerah daripada Allah. Dengan itu mereka dapat memberikan tumpuan kepada perkara yang penting untuk cemerlang dalam hidup. Justeru, apabila kita berdendam dengan seseorang, pujuklah diri untuk berkata, “Aku memaafkannya kerana Allah”. Ulanglah perkataan ‘kerana Allah’ beberapa kali kerana itulah kekuatan yang memberi kemampuan kepada kita untuk memaafkan orang lain. Kemaafan yang diberikan kerana Allah tidak merugikan. Di dalam surah asy-Syuura ayat 37, Allah memuji beberapa golongan: “Mereka yang apabila marah, mereka memberi maaf.”
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ ﴿٧﴾7
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memaklumkan, jika kamu bersyukur pasti Kami akan tambahkan nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.” (Ibrahim 14: 7)
Mereka yang bersyukur mengenali Tuhannya. Mereka adalah golongan yang hebat kerana mereka cepat berterima kasih dan redha dengan pemberian Allah. Justeru, sebutlah selalu kalimat ‘Alhamdulillah’. Namun, jangan kita lupa bahawa kesyukuran yang sebenarnya perlu dimanifestasikan di dalam bentuk amal ibadah. Imam Qasim Abu Abdul Rahman berkata, “Sesiapa yang dikurniakan hati yang bersyukur dan tubuh badan yang sabar , dia telah dikurniakan dengan hasanah di dunia dan akhirat dan akan dijauhkan dari azab neraka.”
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ﴿٣٠﴾30
“Sesunguhnya mereka yang mengatakan Tuhan kami ialah Allah kemudian mereka istiqamah (iaitu meneguhkan pendirian mereka) di atasnya, maka para malaikat akan turun kepada mereka dan berkata, “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah bersedih hati. Bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.” (Fussilat 41: 30)
Orang yan baik adalah orang yang sanggup memulakan kebaikan. Orang yang cemerlang adalah mereka yang sanggup konsisten di atas kebaikan. Justeru, pastikan kita menjadi orang yang sanggup memulakan dan meneruskan. Ingatlah, amal yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik dari yang banyak tetapi tidak berkekalan. Dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik agama adalah yang berterusan.”
أَن تَعْتَدُوا ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.” (al-Maidah 5: 2)
Apabila Rasul sendiri tidak bekerja dan berjuang secara sendiri-sendiri, apatah lagi kita. Musuh-musuh Islam di barat semasa menyerang negara Islam seperti Afganistan, mereka bekerjasama antara satu sama lain. Mereka mengetahui kepentingan bekerjasama dalam sebuah pasukan bagi mencapai kejayaan. Justeru, janganlah bersikap individualistik sehingga mengabaikan jamaah dan kelompok Islam. Libatkan diri anda secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan agama bersama-sama dengan orang lain. Imam Qatadah berkata, “Allah tidak menyukai perintahnya dilaksanakan dengan cara yang tidak teratur. Allah memerintahkan agar barisan perjuangan berada dalam keadaan yang tersusun rapi sebagaimana tersusunnya saf ketika sedang melakukan solat berjemaah. Jangan lupa formula sinergi berdasarkan Islam iaitu: 1 + 1 = 3 + pertolongan Allah.
الرَّحْمَـٰنُ ﴿١﴾ عَلَّمَ الْقُرْآنَ ﴿٢﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ ﴿٣﴾ عَلَّمَهُ الْبَيَانَ﴿٤﴾٤
“Allah yang maha pengasih. Dia mengajar al-Qur’an. Dia juga mencipta insan. Dan mengajar mareka tentang al-Bayan.” (ar-Rahman 55: 1~4).
Komunikasi penting bagi menyatakan kebenaran. Ia juga penting semasa sedang berinteraksi dengan orang lain. Justeru, komunikasi berkesan penting untuk kecemerlangan. Pastikan kita, semasa berbicara, menyebut setiap perkataan dengan jelas dan terang. Bagi tujuan ini, berlatihlah dengan membaca buku-buku ataupun majalah-majalah yang baik selama 10 minit setiap hari dengan memberi tumpuan kepada intonasi dan sebutan huruf. Senyumlah selalu terutamanya semasa kita sedang bercakap atau berinteraksi dengan orang lain. Pastikan perkataan-perkataan yang dipilh adalah baku dan sesuai dengan suasana. Semasa sedang bercerita berkenaan diri sendiri, gunakan perkataan-perkataan yang melambangkan tawaduk. Ingatlah, perkataan yang datang dari hati akan masuk ke hati. Sebaliknya, perkataan yang datang dari mulut hanya akan sampaikan ke telinga manusia. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, Nabi SAW bersabda: “Berbahagialah mereka yang menahan percakapan yang lebih dari lidahnya dan mengeluarkan simpanan yang lebih dari hartanya.”
وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ ﴿٣٨﴾38
“Mereka yang mematuhi seruan Tuhan mereka dan menegakkan solat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka.” (asy-Syuura 42: 38)
Bekerja dalam sebuah pasukan memerlukan musyawarah untuk berjaya. Musyawarah yang berkualiti memerlukan ahli-ahli musyawarah yang berkualiti. Mereka perlu terdiri dari golongan yang berilmu dan takwa (‘aqil wa ‘abid). Jika kita memanfaatkan pandangan golongan yang seperti inii dalam hidup, kita akan cemerlang. Justeru, jadikan diri kita seorang yang berilmu dan bertakwa. Pastikan juga, kita mempunyai rakan-rakan yang bersifat seperti itu supaya sumber rujukan kita berkualiti. Benarlah Nabi SAW semasa bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Khatib: “Janganlah kamu membuat keputusan berdasarkan pandangan seseorang individu. Hendaklah orang yang kamu minta pendapat itu seorang yang baik akalnya dan baik ibadahnya.”
شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ
“Disyariatkan kepada kamu tentang agama apa telah disyariatkan kepada Nuh dan apa yang Kami wahyukan kepada mu dan apa yang Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa iaitu, tegakkanla agama dan janganlah kamu berpecah belah.” (asy-Syuura 42: 13)
Persengketaan dan permusuhan merugikan umat. Oleh kerana itu, Allah mewajibkan umat Islam bersatu padu supaya dengannya kecemerlangan akan tercapai. Perpaduan yang dituntut adalah yang berdasarkan Iman dan Islam. Apakah yang dapat kita buat bagi melaksanakan tuntutan ini? Yang palng senang adalah memperbanyakkan pemberian salam kepada orang Islam. Kedua, awas dengan sikap prejudis dan sangkaan buruk. Allah menyatakan di dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Dan jauhilah dari kebanyakan pra-sangka, sesungguhnya sebahagian pra-sangka adalah dosa.” Ketiga, jangan terus percaya khabar berita yang negatif berkenaan orang lain. Allah berfirman di dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman jika datang kepadamu orang fasiq membawa sesuatu berita, periksalah dengan teliti terlebih dahulu.”
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ 13
“Kami menceritakan kisah mereka kepadamu dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (al-Kahfi 18:13)
Pembentukan generasi yang mempuyai jatidiri dan takwa menentukan kecemerlangan umat pada masa depan. Apabila remaja dan belia pada hari ini runtuh akhlaknya, masa depan umat menjadi gelap. Institusi yang memainkan peranan penting bagi mendidik anak-anak adalah keluarga. Keluarga yang rapuh melahirkan generasi yang reput. Justeru, pastikan kita, sebagai bapa, mengosongkan satu malam seminggu untuk bersama-sama dengan anak, terutama yang remaja. Ceritakan sejarah Nabi SAW dan berikan nasihat yang berguna kepada mereka. Pastikan juga, kita menghadiri kelas agama seminggu sekali bersama anak-anak yang remaja. Jika mampu, pergilah bercuti dengan seluruh keluarga paling kurang sekali setahun. Jangan sekali-kali mendidik anak dengan menggunakan kekerasan. Akhir sekali, berdoalah untuk anak-anak antaranya, dengan menggunakan doa yang terdapat dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: “ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan pendamai hati kepada kami dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang yang bertakwa.”
مَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿٩﴾ 9
“Barang siapa terpelihara dari kekikiran dirinya, merekalah orang-orang yang berjaya.” (al-Hasyr 59: 9)
Orang yang memberi tidak akan rugi dan tidak akan miskin. Sebaliknya Allah akan memberikan balasan yang berlipat kali ganda di dunia dan di akhirat. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 161 yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang mengeluarkan nafkah pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir mempunyai 100 biji. Allah melipat gandakan kurniaan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah Maha luas kurniaannya dan maha mengetahui.” Sebagai latihan, pastikan kita mengeluarkan sejumlah wang sebagai contoh RM10 setiap hari untuk didermakan kepada orang atau organisasi yang memerlukan apabila kita mendengar dan mengesahkan ada orang yang ditimpa tragedi atau mengalami masalah yang besar dan memerlukan wang, latihkan diri kita untuk terus menyumbang tanpa tangguh-tangguh. Letakkan diri kita di tempatnya. Umar al-Khattab apabila berucap sering mengingatkan para pendengar tentang tiga perkara iaitu: “Orang yang berjaya adalah orang yang memelihara diri mereka daripada 1 – ketamakan, 2- hawa nafsu, dan 3- kemarahan.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿١٦٨﴾168
“Wahai manusia, makanlah apa-apa yang ada di atas mukabumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.” (al-Baqarah 2: 168)
Manusia yang mementingkan makanan serta rezeki yang halal adalah manusia yang bersinar hatinya. Hati yang bersinar adalah asas kecemerlangan kerana ia merangsang jasad bagi melaksanakan ibadah serta amal-amal kebajikan. Manusia yang seperti ini dianggap mulia dalam masyarakat dan mereka adalah orang yang berkepercayaan. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata kepada Yahya bin Mu’in, “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa makanan (yang halal) itu adalah setengah daripada agama? Allah memerintahkan manusia mengambil makanan yang halal terlebih dahulu sebelum mereka diperintahkan untuk beramal salih melalui firmannya di dalam surah al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud: “Makanlah makanan yang baik-baik dan lakukanlah amalan yang salih.” Justeru, janganlah kita membeli sesuatu makanan yang tidak diyakini kehalalannya. Umat Islam pada hari ini bermasalah kerana ramai dari kalangan mereka adalah pengguna. Sewajarnya umat Islam mengubah paradigma ini dan menjadi golongan pengeluar.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾٣
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaram.” (al-Asr 103: 1~3)
Masa adalah kehidupan. Itulah slogan orang cemerlang. Justeru, setiap malam, tulislah apa yang hendak kita lakukan pada esok hari. Selepas itu, tentukan keutamaan-keutamaannya. Jangan rancang hidup kita mengikut jemputan, tetapi rancanglah menurut keutamaan. Ingatlah kata-kata Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan Ibn Majah yang bermaksud, “Antara tanda kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermunafaat baginya.”
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّـهِ وَعَدُوَّكُمْ
“Dan siapakanlah untuk menghadapai mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu sanggup dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.” (al-Anfal 8: 60)
Teknologi adalah alat dan sebagai alat ia boleh dimunafaatkan untuk kecemerlangan. Sebagai contoh, internet boleh digunakan bagi melonjakkan dakwah. TV boleh digunakan untuk menerapkan nilai dan komputer boleh digunakan dalam pendidikan. Justeru, pastikan kita mampu memanfaatkan teknologi pada hari ini seperti teknologi maklumat untuk kebaikan agama. Rancanglah supaya pakar-pakar Muslim dapat dilahirkan di dalam berbagai bidang yang diperlukan oleh umat Islam pada hari ini. Anak-anak kita perlu disedarkan berkenaan hakikat ini. Jangan lupa penyataan Allah di dalam surah Saba’ ayat 11 yang bermaksud: “Dan Kami lembutkan besi bagi (Daud). (Oleh itu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya dan kerjakanlah amalan yang salih.”
47﴾وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِبَاسًا وَالنَّوْمَ سُبَاتًا وَجَعَلَ النَّهَارَ نُشُورًا﴿٤٧
“Dan Dia menjadikan malam sebagai pakaian bagimu dan tidur sebagai istirehat, dan dijadikan siang untuk bertebaran (mencari rezeki).” (al-Furqan 25:47)
Jasad boleh dikiaskan sebagai sebuah kenderaan yang sentiasa dipacu oleh manusia. Bagi mencapai kejayaan, manusia perlu menyelenggara kenderaannya dengan baik supaya ia dapat dinaiki demi mencapai cita-cita. Justeru, pastikan kita mengenali pusingan biologi kita dan memanafaatkannya sebaik mungkin. Pastikan kita bangun awal setiap pagi untuk bersembahyang suboh, sebaik-baiknya secara berjamaah. Jika berkesempatan, tidurlah sekejap (lebih kurang 20 minit) pada waktu tengahari. Sahabat Salman al-Farisi pernah berkata, “Badan kamu ada hak ke atas kamu”. Kenyataan ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.
قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الصَّرْحَ ۖ فَلَمَّا رَأَتْهُ حَسِبَتْهُ لُجَّةً وَكَشَفَتْ عَن سَاقَيْهَا ۚقَالَ إِنَّهُ صَرْحٌ مُّمَرَّدٌ مِّن قَوَارِيرَ ۗ قَالَتْ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَانَ لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿٤٤﴾٤٤
“Dikatakan kepada (Balqis), ‘Masuklah ke dalam istana’. Tatkala dia meilhat lantai istana itu, dia mengagak itu ialah kolam air yang besar maka disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman, ‘Sesungguhnya ia adalah istana licin diperbuat dari kaca’. Berkatalah Balqis, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.” (al-Naml 27:44)
Imej positif membantu perjalanan individu bagi mencapai kecemerlangan. Walau bagaimanapun, imej yang baik tidak terbina dalam masa 24 jam. Ia terbina melalui pembudayaan sifat-sifat murni berlandaskan Qur’an dan sunnah secara konsisten. Justeru, pastikan kita berbicara dengan orang lain berdasarkan ilmu, bukan emosi. Utamakan budi bahasa, bukan sekadar bahasa. Pastikan setiap janji dicatat dan ditunaikan. Berwaspadalah dengan setiap perbuatan kita pada setiap masa termasuk semasa sedang memandu di jalanraya dan semasa sedang bersenda gurau dengan kawan-kawan di restoren. Di samping itu, jagalah kebersihan diri dan tempat kerja. Khalifar Umar al-Khattab pernah berkata, “Apabila kamu mengutus seseorang utusan, pilihlah dia yang mempunyai wajah yang bagus dam nama yang bagus.” Ini menunjukkan beliau juga mementingkan imej luaran.
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Berdoalah kepada Ku agar Aku perkenankan permintaanmu.” (al-Mukmin 40:60)
Doa adalah senjata penting kerana ia dapat mengubah qada Tuhan sekaligus menjamin kecemerlangan individu. Walau bagaimana pun, individu yang berdoa hendaklah membersihkan dirinya terlebih dahulu supaya doanya dimakbulkan Tuhan. Justeru, sebelum melakukan kerja, berdoalah dengan hati yang ikhlas dan luhur. Kita tidak menghafaz doa-doa dalam bahasa Arab kerana doa yang paling penting adalah doa yang kita fahami yang datang dari hati kita. Amalan yang baik jika kita dapat melakukan sembahyang hajat secara bersendirian seminggu sekali untuk bermunajat dan bermohon kepada Tuhan. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba Ku bertanya kepada mu tentang Ku, katakanlah Aku hampir dengan mereka. Aku memperkenankan permintaan mereka yang berdoa kepada Ku. Justeru, hendaklah mereka memperkenankan perintah-perintah Ku dan hendaklah mereka beriman kepada Ku semoga mereka mendapat petunjuk.”
وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ﴿١٠﴾ أُولَـٰئِكَ الْمُقَرَّبُونَ ﴿١١﴾فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ ﴿١٢﴾١٢
“...dan golongan as-Sabiquun as-sabiquun. Merekalah orang-orang yang didekatkan kepada Allah. Berada di dalam syurga kenikmatan.” (al-Waqi’ah 56: 10~12).
Di dalam surah al-Mukminun, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka itulah golongan yang bersegera untuk melakukan kebaikan dan merekalah golongan yang sabiquun (iaitu golongan yang bersegera untuk memperolehnya).” Sifat bersegera dalam berbuat kebaikan dan ketaatan adalah sifat yang dimiliki oleh golongan yang cemerlang di sisi Allah. Kecemerlangan golongan sabiquun berkait rapat dengan hati. Mereka takutkan azab, tidak mensyirikkan Allah dan sentiasa beringat-ingat dengan hari kiamat.
0 komen:
Catat Ulasan