03 Disember 2010

Khutbah Jumaat Minggu Ini - "Zakat Penyelamat di Dunia dan Akhirat"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru kepada seluruh jamaah yang hadir pada hari ini, agar menjadikan taqwa sebagai agenda utama seluruh kehidupan kita di muka bumi Allah ini. Dengan taqwa itu, Allah SWT. menawarkan kepada kita kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Di antara ciri-ciri insan bertaqwa ialah setia melaksanakan apa jua suruhan dan perintah dari Allah SWT. Walaupun menjadikan harta dan jiwanya sebagai gadaian demi mencapai ketaqwaan kepada Allah SWT. Maka Allah akan membayar segala gadaian nyawa dan harta mereka dengan keredhaan dan nikmat syurga yang tidak ternilai harganya.

Sesungguhnya antara bentuk-bentuk pengorbanan harta yang dilaksanakan demi mencapai keredhaan Allah SWT. ialah menunaikan ibadah sedekah dan zakat. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan zakat hartanya". (Riwayat At-Tabrani)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Disyariatkan ibadah zakat bertujuan untuk mendidik diri kita supaya bersifat pemurah dan prihatin terhadap kesusahan insan lain. Allah SWT. juga memfardhukan ibadah zakat kepada hamba-Nya adalah untuk menyucikan harta dan dosa-dosa orang yang kaya dan memenuhi keperluan sara hidup bagi yang miskin.

Bahkan amalan berzakat itu sebenarnya dapat mengukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Orang-orang fakir dan miskin akan mendoakan kebaikan kepada orang kaya yang pemurah. Ini akan menghilangkan perasaan benci, cemburu, marah si miskin kepada si kaya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar, sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan kesalahan, sebagaimana air dapat memadamkan api". (Riwayat Imam Ahmad)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Di dalam sebuah Hadith, nabi s.a.w. menceritakan tentang kelebihan orang yang bersikap prihatin kepada golongan fakir dan miskin. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Perbanyakkanlah kenalan dari kalangan golongan fakir dan miskin dan berbudilah kepada mereka kerana mereka kelak akan mendapat kekuasaan. sahabat bertanya: apakah kekuasaan mereka ya Rasulullah?. Nabi menjawab: Bila tiba hari qiamat, maka diseru kepada mereka: Perhatikanlah siapa yang dahulu pernah memberimu makanan atau seteguk minuman atau memberimu pakaian walau sehelai maka peganglah tangannya dan pimpinlah dia ke syurga". (Riwayat Al-Bukhari)

OIeh itu, jangan berasa rugi apabila kita bersedekah. Jangan berkira-kira untuk berzakat. Yakinlah!, harta yang kita zakatkan dengan ikhlas sebenarnya dirahmati Allah dan bermanfaat kepada diri kita di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, sekiranya manusia bersikap bakhil dan mementingkan diri sendiri, Allah SWT. memberi ingatan dan ancaman kepada mereka sepertimana firman-Nya yang cukup keras di dalam surah Al-Haaqqah ayat 30 - 34:

"(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian masukkanlah dia ke dalam neraka jahim; kemudian, belitlah dia dengan rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang maha besar dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makan (yang berhak diterima oIeh) orang miskin".

Dalam sebuah hadith yang lain daripada Abu Hurairah r.a. berkata: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Tidak ada yang mempunyai simpanan harta yang tidak menunaikan zakatnya kecuali dipanaskan atasnya di neraka jahanam, lalu dijadikan kepingan-kepingan logam, lalu diseterika dengannya kedua rusuk dan keningnya, sehingga Allah SWT. memutuskan di antara hamba-hamba-Nya pada satu hari yang ukurannya lima puluh ribu tahun". (Riwayat Muslim)

Betapa dahsyatnya azab yang dijanjikan oIeh Allah kepada manusia yang enggan mematuhi perintah Allah SWT. Pastinya kita selaku insan yang kerdil dan lemah ini, tiada daya dan upaya untuk menanggung azab dan seksa neraka yang tidak terperi sakitnya. Takutlah wahai manusia dengan azab Allah!, semoga Allah menyelamatkan kita semua dari bencana buruk azab neraka.

OIeh itu, marilah kita berazam mulai saat ini, pastikan harta-harta kita seperti emas, perak, hasil pendapatan, wang simpanan, perniagaan, pertanian dan penternakan ke semuanya itu kita akan sucikan dengan menunaikan zakat sebagai bukti ketaatan, tanggungjawab dan amanah kita terhadap rezeki kurniaan Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Berdasarkan kepada perkembangan semasa, sebenarnya tahap kesedaran umat Islam di negeri Selangor untuk menunaikan kewajipan zakat semakin meningkat setiap tahun. Ini dapat dibuktikan melalui jumlah kutipan dan agihan zakat yang sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Walau bagaimanapun, jumlah pembayar zakat di negeri ini sebenarnya masih di tahap yang minima. Berdasarkan kepada rekod pembayar zakat yang menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor, di sepanjang tahun 2009 adalah berjumlah 115,000 orang sahaja. Sedangkan jumlah umat Islam di negeri Selangor yang layak menunaikan zakat dianggarkan lebih daripada 1 juta orang.

Mengapakah masih ramai umat Islam yang belum menunaikan ?zakat?. Sedarkah kita bahawa sebenarnya di dalam harta kita, ada hak fakir miskin yang wajib kita keluarkan?. Usaha­-usaha dakwah oIeh Institusi Zakat wajar disokong dan dibantu dengan penglibatan semua pihak untuk meningkatkan tahap kesedaran umat Islam terhadap kewajipan zakat. Badan-badan Dakwah, NGO Islam, Masjid, Media Elektronik, Percetakan dan Para Pendakwah Islam harus menggembleng tenaga memainkan peranan dalam usaha ini. Sekiranya tahap kesedaran umat Islam meningkat terhadap kewajipan zakat, maka peranan zakat sebagai Penjana Ekonomi Masyarakat Islam dan Pemangkin Kebajikan dan pembelaan umat Islam akan dapat direalisasikan dalam kehidupan kita hari ini.

Adalah disarankan agar kefahaman terhadap Feqah Zakat yang semasa dan terkini wajar ditanam lebih awal ke dalam minda anak-anak kita melalui Silibus Pendidikan di sekolah rendah dan menengah.

Keprihatinan semua pihak akan memberi kefahaman dan kesedaran umat Islam untuk menunaikan kewajipan zakat seterusnya menjadikan kehidupan kita lebih sejahtera dan diberkati apabila setiap golongan manusia mendapat hak mereka dengan sempurna.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Marilah kita segera menunaikan kewajipan berzakat. Selamatkanlah diri kita dan keluarga kita dari azab api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batu.
Sesungguhnya dengan menunaikan zakat akan melindungi diri dan keluarga kita daripada bala dan bencana di dunia dan azab di akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.

"Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya)".

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 3 Disember 2010
Sumber : JAIS





0 komen:

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.