Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. dengan bersungguh-sungguh mematuhi segala perintah-Nya dan merasa bahagia menjauhi segala larangan-Nya. Hanya manusia yang paling bertaqwa akan diberi rahmat oleh Allah SWT. di dunia mahupun di akhirat.
Sidang Jumaat Sekalian,
Secara umum berkat ialah sesuatu yang lebih dari setiap pemberian Allah SWT. Ia terhasil daripada keyakinan, ketaatan, kepatuhan dan kehambaan manusia yang berterusan kepada Allah SWT. Di setiap ketika, apabila ada sahaja manusia melakukan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya dengan penuh ikhlas, maka Allah SWT. akan menurunkan keberkatan-Nya kepada mana-mana individu yang dikehendaki-Nya.
Rezeki yang membawa berkat insya-Allah akan sentiasa memberikan kecukupan, kesempurnaan, kedamaian, ketenangan, keselesaan dan kebahagiaan kepada mereka yang memperolehinya. Mereka akan kelihatan tenang, tabah dan sabar. Berkat bukan sahaja dinikmati secara perseorangan tetapi juga akan berkembang kepada ahli keluarga, anggota masyarakat dan negara.
Manakala orang yang sedang memperoleh berkat biasanya akan menjadi insan pemurah dan penyayang yang akan menyampaikan pula apa jua rezeki yang dikecapinya kepada orang lain melalui pemberian, sumbangan, sedekah, derma atau pertolongan. Sebenarnya tidak semua orang akan diberikan keberkatan oleh Allah SWT. Namun semua orang Islam berpeluang untuk mendapatkannya dengan syarat mereka sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah SWT. di samping kuat pula berusaha mematuhi dan menuruti syariat Allah SWT.
Berkat yang diterima oleh setiap manusia muslim tidak pernah sama walaupun kelihatan serupa. Allah SWT. mengurniakan sesuatu pemberian-Nya berbeza antara satu dengan yang lain. Kepelbagaian bentuk kurniaan oleh Allah SWT. yang dapat diketahui antaranya ialah; diberikan apa-apa jenis harta benda, kejayaan dan pencapaian di bidang pelajaran serta pengetahuan, ketajaman pemikiran, memiliki daya analisa yang luas, mampu menghasilkan tulisan atau karya yang boleh membina kemajuan umat, boleh merekacipta atau membuat inovasi baru untuk kemudahan umat, kesihatan yang berpanjangan, boleh melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat yang berterusan, rumahtangga yang damai, anak-anak yang soleh dan berbagai lagi.
Sebab itu setiap manusia dijadikan Allah SWT. mempunyai kebolehan yang berbeza-beza. Masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan mengikut bidang, kepakaran serta ilmu yang dikuasai. Manakala anggota masyarakat pula mesti meraikan kepelbagaian upaya yang dimiliki oleh setiap manusia. Dengan semangat sentiasa ingin bekerjasama, saling menghormati, berbaik sangka, tidak mengadu-domba, tidak mencipta dan menyebar fitnah, tidak mencerca, tidak mengaibkan manusia, sentiasa menjaga adab dan akhlak ketika bergaul serta prihatin, insya-Allah, kita akan sentiasa mendapat rahmat, pertolongan dan keberkatan dari Allah SWT.
Maka setiap muslim hendaklah meyakini ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kita boleh membanding-bandingkan tetapi jangan mempertikai kenapa Allah membezakan kurniaan-Nya. Yang penting kita hendaklah sentiasa bersikap redha terhadap apa yang Allah SWT. berikan. Malah lebih dari itu kita hendaklah mensyukuri apa sahaja kurniaan Allah SWT. Itulah sifat mulia setiap hamba yang menyedari asal-usul kejadian-Nya yang menuntut ia sentiasa mentaati takdir dan suratan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Di samping itu, usaha, kaedah dan cara mendapatkan rezeki yang berkat juga hendaklah sentiasa mematuhi panduan dan syariat Islam. Kita tidak boleh mendapat rezeki dari sumber atau cara yang haram termasuk menjalankan muamalat yang haram atau kita melakukan apa sahaja tindakan yang menyalahi syariat, seperti menipu, memberi atau menerima rasuah, bermuamalah dengan Sistem Riba', berjudi, mengambil atau menerima upah untuk melakukan pelbagai perbuatan jahat, melacur, mengedar dadah dan berbagai lagi perkara mungkar yang mesti dijauhi.
Ayat Al-Quran yang dibacakan pada mukaddimah khutbah tadi menjelaskan kepada kita bahawa terdapat sebahagian daripada manusia yang sanggup mendustakan Allah SWT. Wujud sekelompok manusia yang ingkar, mempertikai, tidak patuh dan melawan ketentuan Allah SWT. Sebagai contoh terdapat golongan yang sanggup menyatakan bahawa terdapat kandungan Al-Quran yang sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan masa kini. Lebih malang lagi ada akhbar atau media massa yang dipelopori oleh umat Islam turut menyiarkan berita-berita mungkar ini. Ingatlah, mereka juga turut bersekongkol dan bakal menerima akibat yang sama dari Allah SWT. apabila menyiarkan berita-berita seumpama ini.
Sepatutnya kita hendaklah sentiasa berpada, qana'ah dan bertawakkal dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, maka Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung-burung yang pergi di pagi hari dalam keadaan perut yang kosong dan kembali dalam keadaan perut yang penuh berisi ''.
Sikap tawakkal amat diperlukan, ia akan mampu menjadi pemangkin ke arah mendorong setiap orang menjadi cekal, kental, mampu bertahan bagi menghadapi sebarang cabaran dan punya jati diri yang tinggi ketika meneruskan kehidupan. Mukmin yang utuh tawakkalnya akan tetap istiqamah, mempunyai integriti yang mantap, berprinsip dan sentiasa mempertahan kebenaran. Ia tidak mudah dipengaruhi dengan sebarang bentuk godaan, pemberian, sogokan, pujian, hadiah, imbuhan, jawatan atau gelaran yang boleh meluntur serta melemahkan iman dan keyakinan terhadap Allah SWT.
Apakah akibat sekiranya ada segolongan manusia telah mempertikai kekuasaan, kewibawaan, kehebatan dan mendustakan Allah SWT.?. Apabila keadaan ini berlaku, maka ketika itulah Allah SWT. akan mengangkat atau menarik balik berkat yang diberikan-Nya. Ketika itu bukan sahaja masyarakat bahkan negara akan kehilangan nikmat yang sepatutnya dirasai. Oleh itu kita hendaklah mengelak daripada melakukan perkara seumpama ini dengan sentiasa syukur dan meredhai segala pemberian dan kurniaan Allah SWT.
Persoalannya ialah kenapakah sesuatu keberkatan itu diangkat atau dicabut oleh Allah SWT.?:-
Pertama : Apabila manusia tidak redha, tidak qana'ah dan tidak bertawakkal kepada Allah S.W.T.
Kedua : Apabila ada segelintir manusia yang tidak bertaqwa.
Taqwa bermaksud takut kepada Allah SWT., yakni sentiasa mematuhi segala suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya zahir dan batin. Itulah yang sering dingatkan pada setiap kali khatib berada di atas mimbar. Bagi menzahirkan ketaqwaan yang tulen kepada Allah SWT. maka sikap, pemikiran, tingkahlaku, idea, pandangan dan amalan hendaklah semata-mata ditumpukan ke arah mempertahankan syiar Islam. Malahan apabila manusia sentiasa bertaqwa maka Allah SWT. akan memberikan jalan keluar atau jalan penyelesaian bagi setiap masalah.
Jalan keluar dengan memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka itulah berkat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surah At-Thalaq ayat 2 - 3:
"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah mencukupkannya (menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Allah telah pun menetapkan ketentuan setiap sesuatu".
Ketiga : Hari ini masih ramai manusia yang tidak mengikut perintah Allah SWT.
Bermakna pada masa yang sama mereka juga melanggar perintah Allah. Mereka lakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Mereka lakukan dengan angkuh, takbur, bongkak seolah-olah Allah SWT. tidak mampu untuk bertindak-balas terhadap keingkaran mereka. Jika ada manusia yang sanggup mencerca, menghina, mempersenda, mencabar, mempertikai arahan Allah SWT., maka sudah pasti Allah SWT. akan mengangkat kembali berkat-Nya.
Keempat : Apabila ada di antara umat Islam yang tidak ikhlas ketika beramal.
Tanpa ikhlas maka tidak akan ada kebaikan terhadap sesuatu amalan. Seseorang yang ikhlas hanya mengharap balasan dan keredhaan Allah SWT. Mereka sangat yakin bahawa setiap perbuatan sama ada kecil atau besar, zahir mahupun batin, semuanya akan mendapat balasan daripada Allah SWT. Lantaran itu penghayatan mengenai konsep ikhlas sangat diperlukan ketika beramal.
Kelima : Apabila segolongan manusia termasuk umat Islam melakukan kerosakan.
Kerosakan tersebut ialah; melakukan kezaliman, merampas harta, mencuri, tidak beramanah, melakukan tipu daya, melakukan amalan-amalan bid'ah, mengajar ajaran sesat, berfahaman libral, sekular, berfahaman yang terkeluar daripada syariat Islam, menuduh orang baik melakukan kejahatan tanpa mengemukakan saksi yang adil dan lain-lain perkara buruk. Itu adalah sebahagian daripada sebab mengapa keberkatan dicabut oleh Allah SWT.
Oleh yang demikian, marilah kita sentiasa mematuhi perintah Allah dalam segala urusan. Dengan ini kita akan dapat meneruskan kehidupan dengan tenang, damai dan tenteram. Kita amat mengharap keredhaan Allah SWT. sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Kita mesti meyakini bahawa Allah SWT. sentiasa memberikan ganjaran dan keberkatan-Nya kepada insan yang ikhlas, jujur dan amanah.
"Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): Dan sesungguhnya sekiranya mereka (manusia dan jin) itu berjalan lurus di atas jalan (Islam) itu, sudah tentu Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar". (Pemberian yang demikian) supaya Kami menguji mereka dalam menikmati apa yang kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan istiqamah menurut Islam?). (Ingatlah) sesiapa yang berpaling daripada mengingati Tuhannya (dengan berlaku engkar, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang amat berat".
(Al-Jin:16 - 17)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 24 Disember 2010
Sumber : JAIS
0 komen:
Catat Ulasan