15 Disember 2010

Berhati-hati dalam kata-kata

Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu tentang agama Allah SWT, jangan kamu cepat menghukum dengan sesuatu yang kamu jahil tentangnya kerana ianya telah diperingatkan oleh Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam kepada Abu Dzar r.a. Nabi sallaLlahu 'alaihi wassalambersabda: "Hai Abu Zar, jika engkau ditanya sesuatu yang tidak engkau ketahui, jawablah saya tidak mengetahui supaya selamat dari tanggungjawabnya, dan jangan memberi fatwa terhadap apa yang engkau tidak ketahui, supaya selamat dari siksa Allah swt pada hari kiamat." 


Tanda orang alim yang warak dan merendah diri bukan terletak pada serban atau pada pakaiannya, tetapi kewarakan orang alim adalah berdasarkan sikap berhati-hati dalam fatwanya. Mereka lebih suka menyatakan "waLlahu 'alam" dalam hal yang mereka kesamaran. Ulama-ulama di zaman para sahabat sentiasa tolak-menolak di antara satu sama lain apabila datangnya orang bertanya meminta fatwa. Ini kerana mereka bimbang takut-takut tersalah dalam memberikan fatwa mereka. Bagi mereka, setiap kali orang meminta fatwa, ia bagaikan sebuah gunung yang dihempaskan ke atas kepada mereka. 

Seorang yang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak memiliki sifat warak, adalah melambangkan keegoan dan sifat takabur. Iblis tersesat dan dimurkai Tuhan disebabkan kesombongannya, walaupun ilmu dan amalnya banyak. Janganlah kamu wahai saudaraku berlagak alim kerana berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahuLlah: "Kerosakan agama akan berlaku apabila orang-orang jahil berlagak alim." 

Dan dikatakan lagi di akhir zaman begitu ramai orang ahli pidato, tetapi sikit ahli ilmu. Kita wajib bersifat warak dalam masalah ilmu agama kerana sejauh manakah kita mampu menguasai bahasa Arab dan segala syarat-syarat yang dikehendaki dalam mengeluarkan hujah. Begitu juga berapa ribu hadithkah yang kita ingat sama ada dari hadith Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan sebagainya? Berapa dalamkah kita mengaji usul fiqh dalam perbahasan kaedah ulama-ulama dalam mengeluarkan hukum? 

Begitulah juga, kita perlu memahami bahawa setiap amalan yang tiada kita jumpa dalam Al-Quran perlu dirujuk kepada hadith dan dalam setiap matan hadith pula berapa banyak ulama berbeza pendapat. Bukan mereka menolak kebenaran hadith tetapi mereka berbeza pendapat dalam masalah mentakwilkannya. Ada yang mentakwil secara zahir hadith, ada yang secara batin hadith dan pelbagai lagi kerana ketinggian ilmu Islam yang begitu luas. Apabila sesuatu amalan itu tiada kita temui dalam hadis, rujuklah ulama yang soleh, apakah pendapat mereka. Jika pendapat ulama itu tidak ijma' dan ada ulama Islam lain menentangnya dan tidak bersetuju dengan pendapatnya, maka ia adalah khilafiah. Jika perkara itu khilafiah, kita perlu berlapang dada. Yakni kita boleh menerima dan mengamalkannya atau meninggalkannya dengan tidak mencerca pendapat yang lain. 

Islam telah menyatakan satu kaedah bahawa tiada bidaah atau kemungkaran dalam perkara khilafiah. Tetapi, umat Islam hari ini berpecah-belah kerana bergaduh dalam masalah perbezaan pendapat, sehingga dalam masalah fekah berlaku tuduh menuduh antara satu sama lain dan begitu juga dengan hal-hal yang lain. Sedangkan, ia tidak terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersandarkan kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qias.

WaLlahu 'alam.

Sumber Artikel : Kuliah Ad-Deen






0 komen:

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.