14 Februari 2011

Kepentingan Menyayangi Diri Sendiri

Untuk menjadikan diri kita seseorang yang sentiasa berfikiran positif, adalah amat penting untuk kita menyedari kepentingan menyayangi diri kita sendiri. Kita perlu menghargai kesudian Allah untuk menciptakan kita sebagai salah seorang manusia yang pernah lahir dimukabumi Allah ini. Tanpa kesudian atau kehendakNya, kita tidak akan hadir dibumi ini untuk merasai segala apa yang telah kita rasakan selama ini. Kadangkala kita lupa dan tidak menyedari akan hakikat ini. Dengan menyedari bahawa penciptaan Allah terhadap diri kita adalah satu anugerah, maka dengan itu, wajiblah kita berterimakasih kepada Allah diatas anugerah kehidupan yang diberikanNya ke atas diri kita.

Dengan keizinan dan kemahuanNya, maka kita dapat merasai suka, duka, sedih, gembira, lapar, dahaga, kenyang, membuat pilihan, merasai perasaan cinta, kecewa, dan pelbagai macam lagi nikmat-nikmat yang tak terkira dan tak terhitung oleh kita. Sepertimana yang diulang oleh Allah sebanyak 31 kali didalam Surah Ar-Rahman:
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
(Ar-Rahman: 13,16,18,21,23,25,28,30,32,34,36,38,40,42,45,47,49,51,53,55,57,59,61,63,65,67,69,71,73,75,77)
Maka salah satu daripada cara kita berterimakasih atau bersyukur kepada Allah ialah dengan cara menyayangi diri kita sendiri. Kita mesti menghargai setiap segi dari apa yang ada pada diri kita samada dari segi fizikal mahupun rohani. Kita harus berbangga dengan diri kita, bangga yang dimaksudkan disini bukan riak atau takjub dengan diri kita sendiri sehingga memandang rendah pada orang lain. Tetapi kita mesti berbangga dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah untuk diri kita dan dimasa yang sama kita mesti juga menghargai dan menyayangi makhluk ciptaan Allah yang lain.Gantikan perkataan mementingkan diri sediri (Selfish) kepada Menyayangi Diri Sendiri (Selfcare)

Tetapi, bagaimanakah kita ingin menyayangi seseorang, sekiranya kita sendiri tidak tahu untuk menyayangi diri kita? Oleh itu, mulai saat ini, mulakanlah satu hubungan cinta dengan diri anda. Berbanggalah dengan paras rupa anda, dengan rambut anda, dengan bentuk tubuh fizikal anda, terimalah diri anda seadanya. Berikan perhatian pada diri anda seperti mana anda memberikan perhatian kepada orang yang anda cintai atau kasihi.

Hargai setiap saat jangka hayat anda yang masih Allah panjangkan. Islam adalah ugama yang syumul, ianya adalah Cara Hidup. Kita diajarkan membaca doa ketika bangun tidur, bersyukur dan senyum. Ini menunjukkan bahawa Allah telah memerintahkan kita supaya mengambil tindakkan positif sejurus kita bangun untuk memulakan hari yang baru.

Maka dengan membaca doa bangun tidur, bersyukur dan senyum, anda sedang menghantar gelombang positif yang akan menarik tenaga positif kepada anda diawal pagi lagi. Ramai yang tidak menyedari hakikat ini, malah ada yang menyumpah atau merungut apabila dikejutkan supaya bangun untuk bersolat Subuh tanpa menyedari bahawa mereka telah menarik tenaga negatif kepada mereka untuk memulakan hari itu. Dan apabila situasi dan persekitaran realiti kehidupan mereka pada hari itu mengalami kesukaran, umpamanya dengan tiba-tiba tayar kereta pancit, atau tertinggal dompet, datang lewat ke pejabat, dimarahi ketua jabatan, komputer diserang virus, kerja yang dilakukan semalam semua terpadam, dan sebagainya, mereka merungut lagi, menyumpah lagi dan terus-terusan menarik tenaga-tenaga negatif kedalam realiti hidup mereka.

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram.

Sabda Rasullullah S.A.W:
"Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka."
(Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Oleh itu, janganlah merungut dan menyumpah lagi diawal pagi, ubahlah tabiat-tabiat buruk kita yang akhirnya memakan diri kita sendiri. Jagalah makanan, pemakaian dan penampilan diri anda, kebersihan diri dan jiwa, sediakan tempat tidur yang bersih dan selesa sepertimana yang selalu anda sediakan kepada tetamu yang bermalam dirumah anda. Jangan anda biarkan diri anda tidur dengan selimut yang berbau hapak, cadar dan sarung bantal yang kopam kerana jarang dibasuh, kerana ini bererti anda tidak menghormati diri anda.

Mengapa apabila kita ingin keluar berjumpa dengan seseorang yang kita sukai, contohnya seperti pergi dating dengan teman wanita, kita betul-betul menjaga penampilan diri kita? Tetapi, persoalannya disini, adakah penampilan yang anda lakukan itu adalah untuk membuat teman wanita anda selesa, ataupun kerana memang itulah diri anda. Mengapa bila bersendirian, kita tidak mengambil kira soal ini? Ini bermakna, kita tidak menghormati dan menghargai diri kita sendiri. Rasulullah S.A.W sendiri memakai wangian, tak kira ketika solat, ke mesjid atau berziarah, dan malaikat sukakan wangian.

Pelajari sirah Rasulullah dan anda akan mendapati banyak perkara yang dilakukan oleh baginda dalam menjaga penampilan dan kebersihan diri. Baginda memakai minyak rambut, membungkus rambut dengan kain sebelum memakai serban supaya serban tidak terkena minyak, baginda tidak memakan bawang putih dalam waktu-waktu yang dekat untuk solat kerana tidak mahu mulut berbau ketika bersolat menyembah Allah. Banyak lagi akhlak dan adab yang ditunjukkan oleh baginda yang menjurus kepada menghargai diri dan kehidupan sebagai anugerah dari Allah.

Manjakanlah diri anda dengan cara yang anda mampu dan tidak melampaui batas, gosoklah gigi setiap hari - berbicara soal bersugi ini,

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Andaikata tidak akan menjadikan keberatan bagi ummatku atau atas sekalian manusia, nescayalah mereka itu akan saya perintah untuk bersiwak pada tiap-tiap kali sebelum solat." (Muttafaq'alaih)
Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya amalan bersugi/memberus gigi dalam Islam. Tetapi ramai antara kita termasuk saya sendiri, mengambil remeh tentang soal ini. Semoga Allah mengampunkan kita semua. Diriwayatkan juga, pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab, suatu ketika, baginda sedang memimpin pasukan tentera islam berperang dengan musuh islam. Tetapi setelah beberapa hari bertempur, pihak musuh masih ampuh, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Maka Khalifah Umar memeriksa barisan tentera Islam untuk melakukan muhasabah. Baginda mendapati pasukan tentera Islam tetap melakukan aktiviti ketenteraan mengikut adab Islam yang betul, iaitu umpama singa disiang hari, tetapi umpama abid dimalam hari.

Tentera islam tidak meninggalkan solat, tetap melakukan amal dan qiam diwaktu malam dan sebagainya. Setelah pemeriksaan dan post mortem dijalankan satu persatu, maka didapati, ramai tentera Islam yang meringankan salah satu sunnah, iaitu bersugi. Maka tanpa berlengah lagi, Khalifah Umar memerintahkan seluruh pasukan tenteranya bersugi beramai-ramai. Dengan izin Allah, setelah itu, pasukan tentera Islam mencapai kemenangan dalam peperangan tersebut.

Syampukanlah rambut selalu, jaga kesihatan diri anda, bersih kuku anda (lakukan pada hari-hari yang disunatkan memotong kuku, umpamanya pagi isnin, khamis dan jumaat - percayalah, ada hikmah dan penjelasan saintifik dari segi kesihatan disebalik waktu-waktu yang disunatkan ini). Usahakan supaya diri anda tinggal dalam rumah atau bilik yang bersih, tersusun rapi dan selesa. Walaupun anda seorang yang miskin, ini tidak bermakna anda perlu hidup dalam rumah yang berselerak, kotor dan berserabut. Bukankah menjaga kebersihan diri itu satu tuntutan dalam Islam, tak terkecuali sesiapa pun.

Bersihkan minda dan hati anda dengan perkara-perkara yang positif dan menambah keyakinan diri anda. Dapatkan info-info dan bahan-bahan pembacaan yang berkaitan. Ingat! Akal fikiran juga adalah bahagian dari diri anda yang paling terpenting sekali! Jangan biarkan diri anda selalu didalam keadaan bersedih, hiba dan berduka walaupun ketika anda sedang dilanda masalah kehidupan seperti kekecewaan dalam percintaan, karier , pelajaran dan musibah yang lain. Tentang musibah ini telah kita bicarakan dengan lebih lanjut didalam bab Memahami Musibah.

Apabila kita telah mula menjalinkan hubungan cinta dengan diri kita sendiri, satu situasi positif yang selama ini jarang kita rasakan, akan dapat kita rasai. Anda akan mendapati hidup anda lebih tenang, bersemangat, berkeyakinan dan kadangkala kita sendiri tidak tahu dari manakah datangnya semangat baru ini. Ini adalah kerana anda telah menarik banyak tenaga positif berbentuk kasih sayang kepada diri anda. Anda akan dapat merasainya sendiri. Suasana persekitaran anda akan menjadi lebih damai dan positif. Urusan-urusan seharian anda akan menjadi lebih teratur dan terasa mudah. Anda juga akan merasakan satu suntikan semangat untuk beribadah yang kuat dan tanpa anda sedari, anda akan merasakan dekatnya anda dengan Pencipta anda.

Seperkara yang paling menarik apabila fikiran dan minda anda menjadi semakin positif ialah, hati anda secara ikhlas akan merasa jelek untuk melakukan perbuatan yang berdosa dan seakan ada kekuatan yang jitu pada diri anda yang dapat mengelakkan anda dari berbuat perkara-perkara yang keji dan memudaratkan diri anda sendiri.

Segala perkara baik yang anda rasakan ini, sebenarnya adalah satu lagi nikmat Allah keatas hambaNya yang bersyukur. Dalam konteks ini, kita telah menjadi orang yang bersyukur kerana telah menyedari kepentingan menyayangi dan menghormati diri kita sebagai salah satu nikmat dari Allah.

Firman Allah:
Sesungguhnya, kami telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia telah bersyukur bagi faedah dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Terpuji (Luqman:12)
Mulai saat ini, mulakan hari baru dengan rasa cinta yang mendalam terhadap diri anda sendiri, lakukan secara perlahan-lahan kerana cinta itu datang dengan ikhlas, cinta itu tidak boleh dipaksa, biarlah cinta itu hadir dengan ikhlas. Pepatah mengatakan : 'Tak kenal maka tak cinta". Oleh itu sebagai permulaan, kenalilah diri anda, apakah sebenarnya citarasa anda yang betul, maka penuhilah citarasa anda itu. Walau siapa pun manusia itu, pasti akan ada kebaikan dalam dirinya yang selama ini tidak disedari olehnya. Sentiasa terapkan dalam diri anda bahawa anda adalah satu anugerah penciptaan Allah yang sangat beruntung kerana manusia itu adalah penciptaan yang diciptakanNya dengan sebaik-baik kejadian.

Berusahalah untuk menukar segala apa tabiat buruk yang ada pada diri anda sedikit demi sedikit. Ingatlah, Allah sentiasa akan membantu hambaNya yang ingin berubah.

Firman Allah:
Allah tidak akan merubah nasib seseorang atau sesuatu kaum, sebelum orang itu atau kaum itu berusaha (menunjukkan komitmen) untuk mengubah apa yang ada pada diri mereka. (Ar-Raad': 11)
Firman Allah ini jelas dan terang sekali menyeru kita bahawa sekiranya kita inginkan nasib kita berubah, situasi kewangan kita berubah, kesihatan kita berubah, keluarga kita berubah, pasangan kita berubah, masyarakat kita berubah, negara kita berubah, (segalanya menjurus kepada perubahan dari keadaan buruk kepada keadaan yang baik) maka kita perlu melakukan PERUBAHAN itu sendiri bermula dengan diri kita, dan perubahan yang pertama-tama sekali yang perlu anda lakukan ialah: perubahan pada cara anda berfikir. Berfikirlah dengan kaedah husnuzzon (Bersangkabaik/Berfikiran Positif)

Oleh : arjunasetia
Artikel asal susunan : taalidi @ http://husnuzzonloa.blogspot.com
*Artikel ini adalah sumbangan ahli komuniti Forum Ehsan





0 komen:

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Artikel Terkini

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.