Memaparkan catatan dengan label Adab / Akhlak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Adab / Akhlak. Papar semua catatan

01 Mac 2011

Sifat Sabar, Syukur Jadikan Hidup Lebih Tenteram

SIKAP terpuji yang sangat dianjurkan Islam ialah sabar dan syukur. Sabar berlaku dalam pelbagai keadaan, sabar apabila marah dan ditimpa musibah. Sabar menahan hawa nafsu supaya tidak melanggar larangan Allah. Bahkan, melakukan ibadah juga memerlukan kesabaran.

Syukur biasanya dikaitkan dengan memperoleh sesuatu yang menggembirakan. Syukur apabila sihat, berjaya serta mendapat rezeki melimpah. Dalam kehidupan, sabar dan syukur sentiasa beriringan. Ada ketikanya dituntut sabar dan ada ketika lain dituntut bersyukur.

Ada juga keadaan yang menuntut kedua-duanya seperti apabila seseorang ditimpa musibah, dia perlu bersabar menghadapi musibah itu dan pada masa sama bersyukur kerana tidak ditimpa musibah lebih dahsyat.

Begitu juga apabila diberi kesenangan, dia perlu bersyukur tetapi pada masa sama perlu sabar menahan nafsu supaya dapat menghindari diri daripada menggunakan kesenangan pada perkara yang dilarang Allah.

Rukun Iman yang keenam ialah percaya kepada qada’ dan qadar iaitu percaya dengan penuh yakin setiap sesuatu adalah ketetapan Allah. Penetapan Allah yang Maha bijaksana, Maha Mengetahui serta Maha Adil sudah tentu mempunyai hikmah terselindung untuk kebaikan insan.

Justeru, apabila berhadapan dengan ketetapan Allah, seorang hendaklah sama ada bersabar atau bersyukur atau kedua-duanya. Firman Allah yang bermaksud:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - (Surah al Baqarah, 216 )
Memiliki sifat sabar dan syukur sangat penting. Manusia merancang, Allah menentukan. Ada masa gembira dan ada masa duka. Pepatah Melayu ada menyebut ‘hidup tidak selalunya indah’. Allah memberi panduan kepada manusia supaya tenang dalam apa keadaan baik gembira mahupun duka.

Tenang ini terhasil daripada sifat sabar dan syukur. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memaklumkan: sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." - (Surah Ibrahim, ayat 7)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan sudah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita dengan apa yang luput daripada kamu dan jangan terlalu gembira dengan terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri." - (Surah al Hadid, 22-23)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar." - (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Seorang manusia apabila ditimpa sesuatu musibah sama ada besar atau kecil lalu dia bersabar dan ingat kepada Allah serta yakin bahawa apa yang ditetapkan Allah kepadanya mempunyai hikmah, dia akan menjadi tenang.

Begitu jugalah apabila dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia tidak akan bersikap terlalu gembira sehingga melanggar perintah Allah atau merasa bangga, riak, sombong atau tamak. Sebalik dia bersyukur dan ingat kepada Allah lalu dia menjadi tenang.

Ada juga hadis yang menganjurkan supaya manusia bersikap sabar dan syukur bagi memperoleh ketenangan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
"Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." - (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:
"Tidak ditimpa seorang Muslim keletihan, penyakit, kerisauan, kesedihan, kesakitan, kesedihan yang amat sangat sehingga walaupun duri yang menyucuknya melainkan Allah menghapuskan dengannya dosanya." - (Muttafaq ‘Alaih)
Hidup adalah ujian dan ujiannya juga berbeza-beza. Kekayaan, kemiskinan, kesihatan tubuh badan, sakit, sempurna atau cacat anggota badan, kecerdikan, kecantikan rupa paras dan sebagainya adalah ujian.

Dalam menghadapi ujian inilah biasanya manusia akan bersifat gusar, keluh kesah, tidak tenteram dan takut. Tidak kurang juga bersikap sombong, angkuh, rasa tidak cukup, tidak puas, hasad dan dengki yang akibatnya ialah perasaan menjadi tidak tenang.

Ubat dan penawar kepada rasa tidak tenang ini ialah sifat sabar dan syukur. Satu perkara harus disedari manusia ialah Allah mengurniakan rezeki kepada manusia dalam pelbagai bentuk.

Antaranya memperoleh harta, tidak mengalami kerosakan atau kehilangan harta, mendapat cahaya mata, memperoleh tubuh badan sihat, mempunyai keluarga bahagia dan bermacam lagi. Ketenangan perasaan juga adalah satu bentuk rezeki.

Orang yang tidak mempunyai ketenangan jiwa biasanya hidup dalam kesempitan dan kepayahan. Kesempitan dan kepayahan perasaan menghasilkan kecelaruan kehidupan. Ketika itu duit yang banyak, harta bertimbun, tidak dapat memberikan sebarang kesenangan dan ketenteraman.




18 Februari 2011

Peringatan Nabi Berkaitan Akhlak

Assalamualaikum.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
Kita sebagai umat nabi Muhammad SAW perlulah sentiasa mengambil perhatian berhubung dengan akhlak. Berikut dikongsikan beberapa hadis Rasulullah SAW dan huraiannya berkaitan dengan akhlak. Sama-sama kita hayati!

1- Menjaga Imej Agama

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ” (Riwayat at-Tabrani)
Huraian

  • Akhlak yang mulia merupakan perhiasan diri selain daripada cerminan agama yang dianuti.

  • Islam memerintahkan penganutnya agar sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat-sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan berbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan di atas nama Islam.

  • Allah mengetahui segala yang tersirat di dalam hati manusia. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

2- Berakhlak Baik Dan Meninggalkan Perkara Yang Tidak Bersangkutan Dengannya

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
”Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya.” (Riwayat Abu Daud)
Huraian

  • Seorang mukmin yang sebenar akan melakukan kebaikan terhadap manusia tanpa mengharapkan balasan melainkan keredhaan daripada Allah S.W.T.

  • Perbuatan baik yang ikhlas adalah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah.

  • Akhlak yang mulia menandakan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Oleh itu umur yang berkat ialah orang yang hidupnya dipenuhi dengan jasa bakti dan kebaikan yang menjadikan masyarakat di sekelilingnya sayang terhadapnya dan merasa kehilangan apabila ketiadaannya. Bak kata pepatah”harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.

  • Begitu juga dalam kehidupan berumahtangga, suami isteri akan kekal bahagia jika di antara satu sama lain saling hormat-menghormati serta kasih mengasihi di antara satu sama lain. Mereka akan disayangi oleh anak-anak dan kaum keluarga.

3- Mengekalkan Akhlak Yang Baik

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
”Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.” (Riwayat at-Tarmizi)
Huraian

  • Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.

  • Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

4- Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”. (Riwayat Abu Daud)
Huraian

  • Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.

  • Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.

  • Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

5- Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.” (Riwayat at-Tarmizi)
Huraian

  • Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.

  • Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.

  • Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

6- Kesempurnaan iman

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.” (Riwayat At - Tirmidzi)
Huraian

  • Kesempurnaan iman seseorang itu adalah dinilai dari segi akhlaknya yang mulia.

  • Para suami dituntut oleh Islam supaya berlaku adil dan baik terhadap isteri serta bijaksana dalam mengendalikan urusan rumahtangga.

  • Asas keluarga bahagia adalah membentuk keluarga dengan sifat takwa dan mempunyai ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.

7- Syafaat rasulullah

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.” (Riwayat Abu Daud)
Huraian

  • Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.

  • Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.

  • Islam melarang umatnya berdusta kerana berbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.

  • Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama di mana dengan itu barulah seseorang itu dikatakan layak mendapat syafaat daripada Rasulullah sebagaimana yang tersebut di dalam hadith tersebut.

8- Kepentingan Berakhlak Mulia

Daripada Abdullah bin Amru bin al-’As r.a, katanya,
“Bukanlah rasulullah s.a.w seorang yang bersifat keji dan baginda tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji. Baginda bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian

  • Rasulullah adalah manusia yang paling sempurna. Baginda terpelihara dari sifat-sifat keji dan tidak pernah melakukan perbuatan keji.

  • Orang-orang yang berakhlak mulia adalah menjadi pilihan Allah dan mereka diberikan beberapa keistimewaan di dunia dan kedudukan yang tinggi di akhirat.

  • Kita hendaklah sentiasa berusaha menghindarkan diri daripada semua sifat-sifat yang buruk dan keji serta memperbaiki kualiti diri dengan menambahkan amal ibadat dan mengamalkan sifat-sifat mulia dari semasa ke semasa.

9- Kemulian Diri Dengan Berakhlak Baik

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”. (Riwayat Muslim)
Huraian

  • Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain.

  • Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya.

  • Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

10- Menjaga akhlak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Huraian

  • Islam adalah agama yang mengajar umatnya nilai peradaban yang tinggi serta sopan santun yang terpuji. Maka individu yang benar-benar beriman semestinya akan mengamalkan segala ajaran Islam untuk menjaga keselamatan dirinya iaitu dengan memelihara percakapannya demi menjaga hubungan baik dengan jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya sesuai dengan keadaan masing-masing.

  • Sebelum berkata hendaklah berfikir terlebih dahulu, bila didapati tidak ada bahaya kerananya, berkatalah, tetapi jika sebaliknya diamlah kerana diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang yang terpuji melainkan jika diam dari mengatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah kerana diam seperti ini adalah diam yang dicela oleh agama.

  • Setiap umat Islam hendaklah bertimbang rasa dalam pergaulan sesama jiran kerana jiran adalah orang yang paling dekat selain daripada sanak-saudara yang tinggal di sekeliling.

  • Memuliakan tetamu pula maksudnya ialah melakukan kebaikan kepada mereka sebagai orang yang datang berkunjung ke rumah di mana selaku tuan rumah hendaklah melayan tetamu mereka dengan senang hati, sopan dan memberikan jamuan kepada mereka sesuai dengan keadaan dan kemampuan. Manakala bagi tetamu pula hendaklah sebaik mungkin tidak sampai menyusahkan tuan rumah.

11- Sikap Yang Baik


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Huraian

  • Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

  • Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

  • Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

  • Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

  • Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.




14 Februari 2011

Kasih Mengasihi..

Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan.

Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya:
”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”
(Muslim)





30 Januari 2011

Keutamaan & Kelebihan Berzikir لا إله إلا الله

Assalamualaikum.
Sebelum ini telah diterangkan "Peranan Zikrullah". Kali ini pula saya ingin berkongsi berkaitan dengan keutamaan dan kelebihan berzikir dengan kalimah لاإله إلا الله berdasarkan dalil daripada hadis-hadis Rasulullah SAW. Semoga kita dapat beramal dengannya insyaAllah.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab, ayat 41-42:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا ﴿٤١﴾ وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا ﴿٤٢٢
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; (41) Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (42)
FirmanNya ini merupakan titah yang umum untuk orang-orang beriman menyebut dan mengingat Allah Ta'ala sebanyak-banyaknya dengan mana-mana lafaz zikir yang diiktiraf oleh syarak.

Keutamaan Zikir لاإله إلا الله
  • Dari Abu Hurairah RA, katanya : Rasulullah bersabda : "Perbaharuilah iman kalian." Mereka bertanya : "Wahai Rasulullah, bagaimana cara memperbaharui iman kami?" Baginda menjawab : "Banyakbanyaklah mengucapkanلاإله إلا الله(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabrani dengan sanad hasan)

  • Rasulullah SAW  juga pernah bersabda : "Yang paling utama yang diucapkan olehku dan para nabi sebelumku ialah لاإله إلا الله"

  • Daripada Talhah bin Khirash katanya, saya mendengar Jabir bin ‘Abdullah berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Zikir yang paling utama ialah لاإله إلا الله dan doa yang paling utama ialah الحمد لله (al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Nasa`i, Ibn Hibban)

  • Diriwayatkan dari Ali Karramallaha Wajhah: "Suatu ketika aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Wahai Rasulullah, apakah jalan paling hampir kepada Allah dan paling mudah bagi hamba-hamba Allah dan paling utama di sisi Allah Ta'ala?" Rasulullah SAW menjawab: "Wahai Ali, hendaklah engkau sentiasa tetap zikrullah". Ali RA bertanya lagi: "Semua manusia menyebut Allah". Jawab Rasulullah SAW: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga tiada tinggal lagi  di atas muka bumi ini orang yang menyebut "Allah". Kemudian Ali RA bertanya lagi: "Bagaimanakah kaifiat(cara) untuk berzikir wahai Rasulullah?" Maka jawab Rasulullah SAW: "Pejamkan kedua matamu dan dengarlah daripadaku tiga kali, kemudian katakanlah seumpamanya sambil aku mendengar". Maka Rasulullah SAW pun mengucapkan لاإله إلا الله sebanyak tiga kali dalam memejamkan kedua matanya, kemudian Ali RA mengucapkannya pula"
Beberapa Hadis Tentang Fadhilat لاإله إلا الله

Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.

Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).
Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.
Dari Umar Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu Lailahaillallah".(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).
Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.
Dari Abi Abas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah Lailahaillallah di sebelah yang lain, maka dacing kalimah (Lailahaillallah) itulah yang lebih berat".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).
Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.
Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : Anak-anak kunci Syurga ialah mengakui kalimah Lailahaillallah (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).
Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir kerana lalai dan lupa Allah Subhanahu Wataala itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 143-144 yang tafsirnya :
"Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih, tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia di bangkitkan keluar dari kubur".
Dalam zikir ini ada rasa ketenangan, keindahan, kemesraan, rindu, cinta dan kelazatan andainya dilakukan dengan penuh keikhlasan..InsyaAllah. Wallahua'lam..





29 Januari 2011

Elakkan Berkata "kalau"

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Huraian
  1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.

  2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

  3. Ucapan kalautidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.




22 Januari 2011

Ada Apa Dengan InsyaAllah??






Insya Allah (Arab: إن شاء الله‎) bererti "jika Allah menghendaki". Ini menunjukkan bahawa kita tidak tahu masa hadapan, apa yang berlaku kepada kita. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa manusia punya rencana, Allah punya kuasa. Dengan demikian, kata Insya Allah menunjukkan kerendahan hati seorang hamba sekaligus kesedaran akan kekuasaan Allah.

Kisah Sirah Rasulullah

Beberapa penduduk Mekkah datang kepada Nabi Muhammad SAW bertanyakan tentang roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Zulkarnain. Nabi menjawab, "Datanglah esok pagi kepadaku agar aku ceritakan." Keesokan harinya wahyu tidak datang menemui Nabi, sehingga Nabi gagal menjawab hal-hal yang ditanyakan. Tentu saja "kegagalan" ini menjadi cemuhan kaum kafir.

Saat itulah turun ayat menegur Nabi
"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi, kecuali (dengan menyebut): "Insya Allah". Dan ingatlah kepada Tuhan-Mu jika kamu lupa dan katakanlah "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini." (TMQ Surah Al-Kahfi 18:24)
Pengajaran dari Kisah Sirah Rasulullah

Dari kisah di atas kita tahu bahkan Nabi pun mendapat teguran ketika alpa mengucapkan Insya Allah. Beginilah kita harus memahami makna ungkapan Insya Allah; ia menegaskan kesedaran manusia akan keterbatasannya, perasaan rendah hati seseorang yang hendak berbuat sesuatu mengetahui bahawa di atas semua yang dia lakukan dan katakan, Tuhanlah yang memiliki kekuasaan untuk mewujudkannya.

Namun begitu, ada sebagian di antara kita sering melupakan peranan dan kekuasaan Allah ketika hendak berencana atau mengerjakan sesuatu. Sebagian di antara kita malah secara keliru mengamalkan kata Insya Allah sebagai cara untuk tidak mengerjakan sesuatu. Ketika kita diundang, kita menjawab dengan kata Insya Allah bukan dengan keyakinan bahawa Allah yang punya kuasa tetapi sebagai cara berbaik-baik untuk tidak memenuhi undangan tersebut. Kita rupanya berdalih dan berlindung dengan kata Insya Allah.

Jika berjanji, mesti tunaikan

Begitu pula halnya ketika kita berjanji, sering kali kata Insya Allah keluar begitu saja sebagai perkataan biasa dalam pergaulan. Sepatutnya ketika kita diundang atau berjanji dengan orang lain, kita ucapkan Insya Allah, lalu kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi undangan ataupun janji tersebut.

Bila tiba-tiba datang halangan seperti sakit, hujan, dan lainnya, kita tidak mampu memenuhi undangan ataupun janji itu, maka di sinilah letak kekuasaan Allah. Di sinilah baru berlaku makna Insya Allah.


Terjemahan lirik lagu Insha Allah - Maher Zain:

Ada ketika, hadir perasaan hampa
Kehilangan dalam diri sendiri
Bagai malam yang penuh kegelapan
Sendu, pilu, tiada jalan yang terang

Usah putus asa
Dan janganlah berduka
Kerna Allah sentiasa di sisimu

Insha Allah x2
Insha Allah, pasti ada jalan-Nya
Insha Allah x2
Insha Allah, pasti muncul jalan-Nya

Ada ketika
Kesilapan sering berulang
Hingga terasa lewat untuk berubah
Penuh keliru dan tersalah keputusan
Membelenggu penyesalan dalam minda

Usah putus asa
Dan janganlah berduka
Kerna Allah sentiasa di sisimu

Insha Allah x2
Insha Allah, pasti ada jalan-Nya
Insha Allah x2
Insha Allah, pasti muncul jalan-Nya

Kembalilah,
Kepada Ilahi
Yakin pada-Nya
Pohonkan doa, bertawakkallah

Oh ya Allah
Pimpinlah hamba dari kesesatan
Kau Yang Maha Esa
Maka tunjukkan nur kebenaran
Nur kebenaran
Di jalan yang terang
Di jalan yang terang




20 Januari 2011

Peranan Zikrullah

Assalamualaikum.
Mudah-mudahan entri ini menjadi asbab hidayah Allah untuk kita semua insyaAllah. Amin..

Perana zikir dalam kehidupan manusia ke arah untuk mengenali diri dan Allah sungguh besar dan bererti sekali. Dengan zikrullah seseorang itu dapat membersihkan hati dan dirinya yang sememangnya penuh dengan noda dan dosa. Diri (hati) manusia itu seperti perabut di dalam rumah yang sentiasa terdedah kepada hinggapan debu dan habuk. Maka ia selalulah kena bersih, sapu dan gilap. Alat untuk menyapu, membersih dan mengilap itu ialah ZIKIR. Kalau sembahyang (solat) mencegah kemungkaran, zikir pula mendekat dan merapatkan hamba dengan Tuhannya.
Maksud sebuah Firman Allah SWT: "Zikir untuk membersihkan hati" Dan Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: " Sucikan hati dengan berzikir".
Dari Firman dan Hadis itu jelas menunjukkan zikir itu sangat besar peranan dan gunanya. Bolehlah dianggap bahawa zikir itu sebagai alat nombor satu ataupun "serbuk" pencuci yang tiada ada tolak banding. Zikir menjadi cermin kepada setiap insan yang bercita-cita untuk melihat dirinya serta perkara-perkara ghaib yang berlegar-legar disekeliling kehidupannya.

Hakikat akan kebesaran dan ketinggian hikmah zikir ini dibuktikan sendiri oleh Allah dalam FirmanNya bermaksud: "Kalau engkau tidak tahu, bertanya kepada ahli zikir".

Ini menunjukkan ahli zikir menjadi "Prof." yang serba tahu mengenai sesuatu yang ghaib ataupun yang zahir. Golongan zikirilah inilah yang boleh tenggelam dalam kecintaan makrifat kepada Allah yang sebenarnya. Yang kasyaf dan dapat mengetahui sesuatu yang terlindung dari pancaindera zahir.

Pengertian Zikir

Sebelum kita membicarakan perihal zikir ini lebih lanjut lagi, marilah dulu sama-sama kita mengetahui apakah erti dan pengertian zikir itu. Apakah yang dikatakan zikir itu yang sebenarnya? Pengertian ini perlu kita ketahui dengan sebenarnya untuk mengelakkan kita daripada salah membuat tanggapan. Bahana salah membuat tanggapan terhadap sesuatu hakikat amal ibadat tak ubah seperti salah menaruh umpan di mata joran, di mana menyebabkan ikan yang kita harapkan makan kail, ikan lain pula yang dapat. Harap Tenggiri, dapat ikan Duri!

Perkataan ZIKIR ialah dalam bahasa Arab yang bererti atau membawa makna, "sebut" dan "mengingat Allah". Dalam pengertian ringkas ialah mengingati dan berdoa kepada Allah akan kesejahteraan, kebahagiaan dan kebermaknaan hidup kita dan umat Islam seluruhnya. Sebut itu baik pada mulut atau pun dalam hati. Dan ingat itu ialah di dalam hati tentang sesuatu apa-apa yang disebutkan.

Jadi ertinya kalau dikatakan zikir ialah ingat, sambil berdoa dan bermohon kepada Allah. Disebut berzikir, maknanya kita mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon kepadaNya, baik secara nyata ataupun diam. Sembahyang (solat), membaca al-Quran dan berpuasa juga termasuk dalam definasi "zikir" kepada Allah.

Tujuan zikir ialah untuk ingat akan kebesaran Allah, di mana bila kita mengingatkan kebesaranNya, maka dengan sendirinya pula kita tahu akan duduk dan martabat diri kita. Dengan berzikir juga kita sentiasa tahu duduk tara kita dengan Allah. Dengan berzikir juga boleh menguatkan Tauhid kita kepada Allah dan menguatkan i'tiqad kita kepada segala perintahNya.

Zikir adalah satu ibadat yang dituntut oleh Allah sendiri. Perintah supaya sentiasa mengingat Allah itu, adalah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Antara lain sebagai berikut:

1. Firman Allah Ta'ala Surah Al-Baqarah 152 yang bermaksud:
"Ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadaMu dan bersyukurlah kepadaKu dan jangan kamu mengingkari (nikmat)Ku."
2. Firman Allah Ta'ala Surah Al-Ahzab 41-42 yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang."
3. Firman Allah Ta'ala Surah Ab-Nisa' 103 yang bermaksud:
"Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat (mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu berdiri, di waktu duduk dan diwaktu berbaring."
Dan Sunnah yang menjadi dalil dianjurkannya banyak berzikir itu, antaranya ialah:

1. Hadis At-Turmizi dan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-Hakim, dari Abu Darda' (marfu') yang bermaksud:
"Tiadakah kuberitahukan kepada kamu tentang amalmu yang paling bersih disisi Tuhanmu dan paling tinggi (mengangkat) darjatmu, dan lebih baik bagimu dari (berperang) melawan musuh, lantas kamu memenggal batang leher mereka dan merekapun memenggal batang lehermu?"Para Sahabat menjawab:"Bahkan". Rasulullah S.A.W. kemudian bersabda: "zikrullah!"

2. Hadis Muslim dari Abu Hurairah, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Tiada satu kaum (kalangan) duduk berzikir mengingati Allah pada suatu majlis, melainkan Malaikat mengelilingi dan rahmat meliputi mereka dan Allah mengingat mereka, termasuk orang (yang dekat) disisiNya."

3. Hadis Riwayat Bukhari juga ada menyatakan yang bermaksud:
"Sesungguhnya bagi Allah itu ada Malaikat yang berkeliling di jalan-jalan, mencari orang-orang yang berzikir. Apabila mereka mendapati satu kaum (kalangan) yang berzikir kepada Allah, mereka berseru: "Ayuh, mari kepada hajat kamu."Lantas Rasulullah S.A.W. bersabda: "Maka malaikat-malaikat itu mengelilingi (melindungi) mereka dengan sayap-sayapnya sampai ke langit dunia."

Hadis-hadis yang menerangkan kelebihan zikir itu cukup banyak. Adapun pengertian dan fungsi zikir atau berzikir ini boleh dibahagikan kepada 2 (dua) bahagian, iaiti pengertian Syariat dan pengertian Hakikat.

Pengertian Syariat

Seperti disebutkan tadi, pengertian syariat zikir itu ialah mengingat dan sebut, atau sebut dan mengingat. Sebut di sini ialah sebut Asma' (nama) Allah serta ingat di dalam hati akan makna dan pengertian Asma' itu. Misalnya lidah menyebut Al-jabar (Pemaksa), maka hati mengingatkan kepada sifat pemaksaanNya. Bila lidah sebut Ar-Rahman, hati akan ingat kepada sifat-sifat kemurahanNya. Bila lidah menyebut Al-Latiff, maka hati akan terkenang kepada sifat kelemah-lembutan- Nya. Bila lidah sebut Ar-Rahim, hati ingat kepada sifat pengampunan-Nya dan begitulah seterusnya. Setiap kali lidah menyebut NamaNya, hati akan mengenangkan kepada sifat-sifatNya.

Perlu diingatkan, mengenai butir zikir ini ia tidak terbatas kepada perkataan tertentu, atau pun kepada "asma' ul'husna", sebaliknya ada perkataan-perkataan atau sebutan lain. dan paling unik ialah sebutan diri yang lahir dari lubuk hati seseorang itu. Sebutan ini berbeda dengan kebanyakan atau pun dengan butir-butir zikir yang popular.

Pengertian Hakikat

Zikir dalam pengertian hakikat ialah apabila kita menyebut Asma' Allah kita akan ingat kepada diri kita sendiri. Misalnya kita sebut "Jamal", kita ingat akan sifat "Jamal" Allah itulah yang ada kepada kita. Justeru itu kita perlu menggunakan (apa yang kita sebutkan) itu untuk terus mengingatkanNya. Kita sebut Allah, maka kita kembalikan kekuasaan Allah itu ke atas diri kita. Kita ingat dan sedar, tanpa ada Dia tidak mungkin kita dapat hidup dan menyebut serta menerimaNya sebagai Tuhan kita.

Pengertian hakikat zikir itu ialah kita ingat kepada diri kita sendiri, sebagai hambaNya yang mulia dan harus melaksanakan tanggungjawab kita kepadaNya pada sepanjang masa. Di samping itu kita sedar bahawa kita adalah makhluk yang mulia yang diturunkan untuk menjadi khalifah dan pemimpin di atas muka bumi ini.
"Sebaik-baik kejadian ialah manusia."
Zikir pada hakikatnya itu bukan untuk Allah sebab Allah tidak memerlukan apa-apa lagi seperti mana FirmanNya yang bermaksud:
"Wahai manusia sesungguhnya kamulah yang memerlukan Allah dan Allah yang Maha Kaya, tidak memerlukan apa-apa. Jika Dia mahu nescaya, Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk lain (sebagai ganti)." (Al-Fatir 15-16)

Allah berdiri di atas SifatNya sendiri, "mukhalafatuhuta'ala lilhawadith)", malahan Dia tempat bergantung dan meminta.

Jadi, apabila kita berzikir itu kita mencari kekuatan untuk diri kita sendiri dan bukan lagi untuk Allah. Apa yang kita lakukan itu hanya sebagai menjalankan tanggungjawab dan sumpah janji kita sahaja semasa di alam "luh mahfuz" dahulu.

Bagaimana Zikir berperanan menyucikan diri?

Peranan dan hikmah zikir sungguh besar dan luas sekali, sehingga ia boleh menyucikan diri seseorang dan hasil dari penyucian (muhasabah) itu pula membolehkan seseorang itu kenal diri dan Tuhannya. Tetapi bagaimanakah ia berperanan menyucikan diri? Apakah cukup hanya setakat menyebut dan ingatkan diri kepada Allah, maka diri kita terus suci dan dapat berfungsi menjadi sebuah cermin untuk tilikan? Seperti mana serbuk penyuci berfungsi membersihkan kotoran kain baju. Begitukah?

Kalau setakat sebut sahaja atau ingat, maka diri terus menjadi suci, maka alangkah mudahnya zikir itu? Ia nampak semudah mengupas kulit pisang sahaja. Ataupun semudah serbuk penyuci menyentalkan kotoran di kain baju. Ternyata peranan penyucian zikir ke atas hati itu bukan seperti itu. Ia tidak semudah yang disangkakan.

Peranan zikir dan penyucian kepada hati, mesti melalui proses tertentu. Ada kaedah dan juga cara atau sistem tersendiri. Seperti juga usaha kita untuk melahirkan zuriat yang cerdas dan pintar, ada kaedah dan teknik persetubuhan tertentu dan amalan-amalan yang harus dilakukan.

Untuk memahami dengan cara mudah peranan zikir itu bolehlah kita huraikan begini, apabila kita sebut sesuatu kalimah zikir maka kita akan ingat dan tanamkan maknanya ke dalam hati. Misalnya kita sebut "Subhanallah" iaitu Maha Suci Allah, maka kita hayati dalam diri kita yang Allah itu adalah Zat yang suci. Kesucian itu tidak ada tolak banding dengannya. Maka kita harus bertindak dengan akal dan fizikal, bahawa yang suci adalah Allah semata-mata, tidak ada yang lain. Segala unsur syirik yang bersarang secara diam dan tersembunyi hendaklah disingkirkan dari menjadi warga hati kita dan kurungkan Allah semata-mata dalam diri.

Kalau kita menyebut "Allah Hu Akbar" Allah yang Maha Besar (Agung), maka keagungan itu kita masukkan ke dalam diri kita. Kita tanamkan bahawa yang agung hanya Allah dan tidak ada yang lain. Baik diri kita ataupun kuasa lain. Justeru itu kita harus komitkan (iltizam) diri kita kepada keagunganNya sahaja.

Dengan cara itulah baru wujud penyucian. Penyucian di sini bermaksud, dengan mengingatkan segala sifat Allah itu, seperti Ar-rahman. Al-Rahim, Al-Latiff dan sebagainya. dan menyuci diri itu bermakna menyucikan diri/hati kita daripada syirik, kufur, munafik dan kafir kepada Allah. Suci ialah apabila mematuhi dan kenal denganNya.

Ingat, selagi kita masih syirik, kufur, munafik dan kafir serta memiliki sifat-sifat mazmumah yang mutlak masih belum tercapai lagi. Apabila hati kita tidak didindingi oleh segala elemen-elemen itu baharulah ia bersih dan menjadi sekeping cermin khuwah yang memungkinkan kita kasyaf dan dapat melihat apa-apa yang ghaib.

Demikianlah secara ringkas dahulu mengenai peranan zikir membersihkan hati dan diri insan. Ingin saya berpesan, bahawa zikir yang sebenarnya bukan sahaja setakat menyebut kalimah-kalimah ataupun pengucapan tertentu sahaja. Kalau setakat sebut sahaja ia tidak menjadi. Yang penting menghayati kemudian seterusnya bertindak dengan fizikal dan akal terhadap pengertian apa yang disebut itu.

Kalau setakat berzikir ia tidak menjamin kebersihan hati dan diri seseorang. Malahan perbuatan itu tidak lebih daripada sia-sia sahaja. Sebab itu kalau kita perhatikan ada ahli zikir yang perangainya tidak pernah berubah. Kalau dulu dia pembohong, penipu, maka kini pun dia penipu dan pembohong, walau pun dia sudah mengerjakan zikir beratus juta kali. Kalau dulu dia mencuri dan mencaci, kini pun setelah berzikir sampai juta-juta kali, dia tetap juga dengan perangainya, mencaci orang itu dan orang ini. Itulah tanda zikir orang itu zikir pada lahir sahaja tetapi tidak meresap atau "jelira" ke dalam diri batinnya.

Dalam pada itu kalimah zikir bukan terbatas kepada "asma' ul'husna" yang 99 atau kalimah-kalimah pujian yang melulu sahaja. Malahan apa saja kalimah yang terdetik di hati dan terdengar dibibir ia merupakan "Asma'" Allah dan boleh dijadikan kalimah zikir. Pokok pangkalnya pengertian dan niat itu sahaja yang dikira.

FirmanNya yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), dengan sebanyak-banyaknya (bermacam-macam sebutan)." (Al-Ahzab 41)
Sebaik-baik amalan itu elok pada Syariat, tepat pada Hakikat, kena pada Tariqat dan sampai pada Makrifat.

Wallahhu ta'ala a'lam.

"inna afdhalaz zikra fa'alam annahuu lailahaillallah"
InsyaAllah bersambung..




16 Januari 2011

Selingan Video : Dosa 24 Jam di Facebook??

Dosa 24 Jam di Facebook?? Saksikan video ini!












TABARRUJ di facebook


Facebook merupakan laman sosial kegilaan ramai buat masa kini. Cukup aneh untuk berjumpa dengan seseorang yang tidak mempunyai sekurang-kurangnya sebuah akaun facebook. Namun di sebalik penggunaan facebook ini, tanpa kita sedari pelbagai dosa berlaku di kalangan pengguna. Ustaz Zaharudin ada mengulas mengenai dosa-dosa & facebook, bagaimanapun saya ingin menfokuskan pada salah satupoint yang diberi beliau iaitu 'terlebih gambar'. Sikap suka menunjuk-nunjuk gambar boleh dikaitkan dengan tabarruj, iaitu suatu dosa yang dianggap remeh oleh masyarakat kita. Apakah itu tabarruj? Suatu persoalan yang perlu dihurai lanjut.


TABARRUJ ialah mendedahkan kecantikan rupa paras sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. Al-Bukhari rahmatullah 'alaihi ada berkata:
“tabarruj, iaitu seorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya”.
Untuk menjaga masyarakat daripada bahaya pendedahan ‘aurat dan disamping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka dengan yang demikian Allah melarang setiap wanita yang berakal lagi telah baligh dari bertabarruj. Allah s.w.t telah berfirman dalamsurah an-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan jangalah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan seksaan dari-NYA. Berikut pula mari kita renungi firman Allah khasnya yang ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Hai isteri-isteri Nabi(a.s), kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kau bertaqwa. Kerana itu janganlah kamu terlalu lunak dalam bicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada perasaan serong di dalam hatinya, tetapi ucaplah perkataan yang baik.” (Al-ahzab: 32)

Daripada ayat ini dapatlah difahamkan bahawa suara lemah lembut adalah sebahagian daripada ‘aurat wanita juga.Kembali lagi kita kepada jenis alat-alat make-up. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Andainya wanita keluar dari rumah serta memakai bau-bauan, maka dia sudah dianggap melakukan perzinaan”
Penggunaan wangi-wangian sembur atau jenis jenis bauan bagi kaum wanita diwaktu keluar dari rumah adalah dilarang, kerana syari’at Islam, apabila melarang perzinaan, maka segala sumber-sumber dan cirri-ciri yang membawa kepada perbuatan keji tadi semuanya juga dilarang.

Ummu salamah ada menceritakan, maksudnya begini:
“ Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasulullah s.a.w pada suatu hari dengan pakaian yang nipis. Lantas Rasulullah.s.a.w menasihatinya dengan bersabda yang maksudnya :“ Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaidh (baligh), tidak harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” Ketika itu, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan kepada muka dan kedua tapak tangan.

Sekarang kita khususkan konsep tabarruj ke dalam penggunaan facebook. Jenguklah sebentar ke laman facebook dan lihatlah bertapa ramai muslimah tanpa segan silu meletakkan gambar-gambar memperlihatkan kecantikan masing-masing dengan pelbagai aksi. Macam-macam gaya ditunjukkan, ada yang menunjukkan peace, ada yang membeliakkan mata, memuncungkan mulut dan sebagainya. Apabila bila ditanya apakah motif memperlihatkan gambar sedemikian rupa? Rata-rata akan menjawab sekadar berkongsi kegembiraan, pengalaman dan sebagainya. Namun tidakkah dapat kita berfikir sejenak, memperlihatkan gambar tersebut boleh mendatangkan pelbagai respon dan persepsi ramai. Terutamanya kepada kaum berlawanan, gambar tersebut dapat mendatangkan keghairahan. Jikalah kaum hawa mengetahui apakah kaum adam berkata sesama sendiri mengenai gambar tersebut, nescaya mereka tidak akan meletak gambar sedemikian rupa lagi!

Islam merupakan agama yang menghendaki kita bersederhana. Janganlah berlebih-lebihan meletak gambar, seolah-olah saling berlawan siapakah memiliki paling banyak gambar. Jika tersangat beringinan untuk menunjukkan wajah diri sebagai pengenalan diri, cukuplah sekadar meletak satu gambar dengan syarat gambar tersebut tanpa aksi-aksi tertentu yang mampu menarik perhatian orang luar. Mudah-mudahan kita mampu melawaj sifat ingin menunjuk-nunjuk ini. Nah... mulalah berubah. Anda mampu untuk mengatasi penyakit ini!

Sumber Artikel : http://salafus-sholih.blogspot.com



15 Januari 2011

Sayang Menyayangi

Diriwayatkan daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”(al-Bukhari)
Fikir & Amal :
  • Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita?
  • Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin?
  • Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri?
  • Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu hidup menderita?
Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. Rasa bersama dan menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa berterima kasih, ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.

Kita tidak perlu meraikan Valentine Day semata-mata untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya telah menjadi haram.

Justeru budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.







26 Disember 2010

Bagaimana Supaya Tidak Sombong?


Berikut beberapa panduan oleh Imam Al-Ghazali bagaimana mengelakkan hadirnya sifat sombong di dalam hati.

Pertama
Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

Kedua
Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.

Ketiga
Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah dia pelajari dan ketahui.

Keempat
Apabila melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

Kelima
Apabila melihat orang jahil, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia membuat dosa dalam keadaan kejahilan sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.

Keenam
Apabila bertemu dengan orang kafir, katakanlah dalam hati bahawa mungkin suatu hari nanti dia akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk islam, maka segala dosanya akan diampuni Allah.
"Ya Allah lindungi kami dari maksiat yang menyesatkan, dari kesombongan yang menyelimuti hati kami, dari rasa rakus yang menguasai jiwa kami. Kami mohon penjagaan-Mu ya Allah agar setiap langkah, perbuatan dan ucapan kami tetap di jalan yang Engkau redhai"




15 Disember 2010

Berhati-hati dalam kata-kata

Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu tentang agama Allah SWT, jangan kamu cepat menghukum dengan sesuatu yang kamu jahil tentangnya kerana ianya telah diperingatkan oleh Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam kepada Abu Dzar r.a. Nabi sallaLlahu 'alaihi wassalambersabda: "Hai Abu Zar, jika engkau ditanya sesuatu yang tidak engkau ketahui, jawablah saya tidak mengetahui supaya selamat dari tanggungjawabnya, dan jangan memberi fatwa terhadap apa yang engkau tidak ketahui, supaya selamat dari siksa Allah swt pada hari kiamat." 


Tanda orang alim yang warak dan merendah diri bukan terletak pada serban atau pada pakaiannya, tetapi kewarakan orang alim adalah berdasarkan sikap berhati-hati dalam fatwanya. Mereka lebih suka menyatakan "waLlahu 'alam" dalam hal yang mereka kesamaran. Ulama-ulama di zaman para sahabat sentiasa tolak-menolak di antara satu sama lain apabila datangnya orang bertanya meminta fatwa. Ini kerana mereka bimbang takut-takut tersalah dalam memberikan fatwa mereka. Bagi mereka, setiap kali orang meminta fatwa, ia bagaikan sebuah gunung yang dihempaskan ke atas kepada mereka. 

Seorang yang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak memiliki sifat warak, adalah melambangkan keegoan dan sifat takabur. Iblis tersesat dan dimurkai Tuhan disebabkan kesombongannya, walaupun ilmu dan amalnya banyak. Janganlah kamu wahai saudaraku berlagak alim kerana berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahuLlah: "Kerosakan agama akan berlaku apabila orang-orang jahil berlagak alim." 

Dan dikatakan lagi di akhir zaman begitu ramai orang ahli pidato, tetapi sikit ahli ilmu. Kita wajib bersifat warak dalam masalah ilmu agama kerana sejauh manakah kita mampu menguasai bahasa Arab dan segala syarat-syarat yang dikehendaki dalam mengeluarkan hujah. Begitu juga berapa ribu hadithkah yang kita ingat sama ada dari hadith Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan sebagainya? Berapa dalamkah kita mengaji usul fiqh dalam perbahasan kaedah ulama-ulama dalam mengeluarkan hukum? 

Begitulah juga, kita perlu memahami bahawa setiap amalan yang tiada kita jumpa dalam Al-Quran perlu dirujuk kepada hadith dan dalam setiap matan hadith pula berapa banyak ulama berbeza pendapat. Bukan mereka menolak kebenaran hadith tetapi mereka berbeza pendapat dalam masalah mentakwilkannya. Ada yang mentakwil secara zahir hadith, ada yang secara batin hadith dan pelbagai lagi kerana ketinggian ilmu Islam yang begitu luas. Apabila sesuatu amalan itu tiada kita temui dalam hadis, rujuklah ulama yang soleh, apakah pendapat mereka. Jika pendapat ulama itu tidak ijma' dan ada ulama Islam lain menentangnya dan tidak bersetuju dengan pendapatnya, maka ia adalah khilafiah. Jika perkara itu khilafiah, kita perlu berlapang dada. Yakni kita boleh menerima dan mengamalkannya atau meninggalkannya dengan tidak mencerca pendapat yang lain. 

Islam telah menyatakan satu kaedah bahawa tiada bidaah atau kemungkaran dalam perkara khilafiah. Tetapi, umat Islam hari ini berpecah-belah kerana bergaduh dalam masalah perbezaan pendapat, sehingga dalam masalah fekah berlaku tuduh menuduh antara satu sama lain dan begitu juga dengan hal-hal yang lain. Sedangkan, ia tidak terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersandarkan kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qias.

WaLlahu 'alam.

Sumber Artikel : Kuliah Ad-Deen






"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.