30 Disember 2010

Khutbah Jumaat Minggu Ini - 31 Disember 2010

Sumber Khutbah ini adalah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS). 
Sila klik pada tajuk untuk membuka/menutup paparan.

1 - "Sambutan Tahun Baru 2011: Jauhi Zina"
(Untuk bacaan Masjid Negeri dan Masjid-Masjid Daerah)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T.,


Marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan segala perintah Allah dengan penuh kesabaran dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan dengan bersabar, berusaha keras dan bertakwa kepada Allah  kita akan mendapat balasan baik di dunia dan di akhirat kelak.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T.,


Sempena Tahun Baru 2011, kerajaan Negeri Selangor tetap komited untuk meneruskan program-program yang membawa masyarakat kepada kebaikan serta menjauhi kemungkaran. Saban tahun setiap kali sambutan tahun baru diadakan, kedengaran pelbagai isu terutama yang melibatkan gejala sosial dalam masyarakat oleh sebahagian remaja bahkan orang dewasa seperti pergaulan bebas yang menyebabkan pelbagai gejala tidak baik seperti zina, hubungan seks bebas dan sebagainya atas alasan kerana menyambut kedatangan tahun baru. Dalam hubungan ini JAIS melalui pendekatan dakwah, melancarkan Gerakan Anti Zina dan  Kaunseling yang bertujuan untuk membendung dan mencegah dari berleluasa.


Ketahuilah, zina diertikan sebagai hubungan terkutuk dan merupakan antara tujuh dosa-dosa besar di sisi Islam. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang dosa perbuatan zina, antaranya firma Allah S.W.T. di dalam surah Al-Furqan ayat 68-69;


"Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain disamping Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina. Sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya dan akan digandakan baginya azab pada hari kiamat, dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan".

Apa itu zina? Zina adalah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Ini termasuk kegiatan-kegiatan pelacuran atau apa juga perbuatan lain yang membawa keseronokan nafsu dan syahwat. Zina adalah perbuatan mungkar yang mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada pembinaan generasi institusi keluarga dan masyarakat. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. di dalam surah Al-Isra' ayat 32;


"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)".


Ayat tersebut menjelaskan bahawa zina adalah perbuatan yang sangat keji kerana ia membawa kepada jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia dan azab di akhirat. Ini juga ditegaskan oleh baginda saw, riwayat Al-Baihaqi, bahawa rasulullah s.a.w bersabda:


"Wahai golongan Muhajirin! Ada lima perkara buruk yang aku pohon agar tidak menimpa kalian. Antaranya adalah; tidak merebak perzinaan dalam sesebuah bangsa sehingga mereka melakukan dengan sewenang-wenangnya melainkan akan tersebar di kalangan mereka pelbagai penyakit yang belum pernah menimpa umat Islam sebelum mereka".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T.,


Perbuatan salah laku zina, homoseks dan lesbian adalah berpunca daripada perkembangan teknologi dan komunikasi masa kini yang gagal dikawal sepenuhnya. Pelbagai jenis gambar lucah sama ada dalam bentuk foto mahu pun video terlalu mudah diakses melalui internet. Sebahagian rancangan televisyen pula banyak menyajikan kisah-kisah percintaan yang hanya menambahkan rasa ghairah penonton. Manakala gejala-gejala hiburan  melampau yang merangsang nafsu dan menjadi keseronokan seolah-olah telah menjadi budaya kehidupan seharian.  


Dalam masa yang sama, peniaga VCD lucah mengambil kesempatan menjual secara bebas dan berleluasa. Telefon mudah alih juga telah disalahguna dengan mengirim gambar atau video lucah. Kesemua perkara itu adalah faktor  pendorong kepada pelbagai perlakuan maksiat dan perzinaan.


Perangkaan sumber Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan anak luar nikah Melayu/Islam yang didaftarkan dari  tahun 2005 hingga tahun 2009 mencatatkan sebanyak 74,723 orang.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T.,


Fenomena yang berlaku itu, perlulah kita sama-sama menyedari dan menginsafi akan kesan yang akan  membawa kerosakkan kepada keturunan institusi keluarga dan boleh memporak-perandakan masyarakat. Antara langkah-langkah yang dapat kita  dilakukan segera oleh umat Islam ialah:


Pertama      Di tahun baru sebaiknya kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan membaca Al-Quran dan menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi keluarga mentarbiyah dan mengawasi pergerakan anak-anak mestilah dipertingkatkan dan memastikan hanya Islam sebagai asas pembinaan keluarga ke arah pembinaan" Baiti Jannati " iaitu (Rumahku Syurgaku).


Kedua          Pembentukan insan soleh oleh institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi melahirkan kesedaran dan kefahaman yang boleh memandu generasi pelajar ke arah mencapai kehidupan yang berlandaskan agama. Forum-forum dan pengajian agama di masjid dan surau hendaklah dihadiri demi membentuk jatidiri insan yang mulia disisi Allah.


Ketiga          Setiap individu hendaklah berperanan membendung gejala pergaulan bebas di kalangan remaja dan semua peringkat umur. Konsep " Ad-Din Nasihah" iaitu  (Agama Itu Nasihat). Penyusunan aktiviti dan program hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala-gejala ini. Peranan Masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan ahli masyarakat hendaklah proaktif dalam  melaksanakan tanggongjawab yang telah ditetapkan.


Keempat     Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam dan kerjasama yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk membanteras kegiatan pelacuran segala bentuk jenayah syariah akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa. Seharusnya semua pihak hendaklah menyokong usaha itu dan bukannya mencela atau mempersoalkannya  di media-media.


Kelima         Mengamalkan cara hidup Islam dengan menggalakkan pasangan belia yang telah cukup syarat untuk berkahwin kerana hanya sistem perkahwinan dapat membendung pelakuan zina, homoseks dan lesbian. Dengan cara inilah mereka akan mendapat nikmat perhubungan suami isteri yang sah dan zuriat yang suci untuk menyambung keturunan mereka.


Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nur ayat 32;


 "Dan kahwinkanlah orang bujang di kalangan kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya), lagi Maha Mengetahui".

Keenam         Meyakini dengan pendekatan Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah ini. Pihak berkuasa pula hendaklah memainkan peranan yang amat penting bagi melaksanakan hukum Islam dalam usaha menegakkan yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar. Kita hanya meyakini sekiranya Islam ditegakkan baharulah masalah-masalah ini akan selesai. Pihak kerajaan juga disarankan untuk melaksanakan beberapa langkah pencegahan gejala seks bebas daripada terus berleluasa, antaranya;


1.   Membenarkan pihak polis memeriksa telefon bimbit remaja atau pelajar sekolah  untuk mengelakkan mereka daripada menyimpan bahan-bahan lucah.


2.   Menguatkuasakan peraturan bagi menghalang remaja bawah umur 18 tahun keluar rumah selepas jam 12 malam.


3.   Menyekat laman web lucah, mengawal siber kafe dan penjualan perisian tidak bermoral.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T.,


Islam melihat setiap kali perubahan waktu, hari dan tahun yang di tinggalkan seharusnya bersikap  "hari ini adalah lebih baik dari semalam". Kerana itu kita dituntut supaya memperkuatkan azam dan tekad seawal-awal pagi lagi sewaktu membaca doa itu kita panjatkan pengharapan kita kepada Allah bagi mengharungi sepanjang hari dengan amal yang mulia. Seorang Muslim yang kuat mempunyai semangat serta keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan. Minda umat Islam perlu disi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Tidak kira apa jua kerja yang diceburi, seharusnya ia memberi manfaat kepada diri dan agamanya. Masa yang terluang perlu disi dengan kerja-kerja yang bermanfaat. Inilah antara azam yang perlu kita terapkan sempena kedatangan Tahun Baru 2011. Usah biarkan diri kita dilalaikan lagi dengan budaya hiburan dan keseronokan yang sementara. Kepada anak muda, merekalah harapan umat Islam dan kepimpinan negara.


Sebagai tindakan tegas, JAIS akan menggerakkan para sukarelawan menjalankan tugas memantau dan menguatkuasakan pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah kepada umat Islam dalam menyambut Tahun Baru. Elakkan segala unsur hiburan yang merosakan dan pergaulan bebas yang boleh membuka kepada perlakuan zina. Kita tidak mahu lagi mendengar dan membaca di akhbar-akbar akan perilaku manusia memperlihatkan perbuatan yang lebih rendah daripada haiwan dalam isu-isu hamil luar nikah, kes pembuangan bayi yang berpunca dari sambutan Tahun Baru ini. Jadikanlah tahun baru ini sebagai permulaan yang baik dan mulia dan bukannya permulaan bagi bencana dan kerosakan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan insan yang sentiasa mendapat perlindungan dari Allah S.W.T.


"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukuman Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan daripada orang yang beriman". 
     (An-Nur : 2)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 


Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.


2 - "Amanah Terhadap Diri, Harta Dan Maruah Orang Lain"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Marilah kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Antara tuntutan taqwa itu adalah menyerahkan segala amanah kepada yang empunya dan mengelakkan diri dari menceroboh hak orang lain, sama ada pada keselamatan nyawa, harta mahupun maruah mereka. Semoga kita mendapat keselamatan srpenuhnya di akhirat kelak.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Merujuk kepada satu kisah yang telah dipaparkan dalam sebuah akhbar mengenai seorang lelaki luar Negara yang bukan Islam telah memulangkan sebuah buku yang dipinjamnya dari sebuah perpustakaan selepasnya 47 tahun, yang mana buku tersebut telah disahkan hilang, tetapi ditemui semula, dipulangkan bersama-sama cek bayaran denda kerana lewat memulangkan buku tersebut. Menurutnya, "Saya sedar, saya tidak perlu menunggu sepuluh tahun lagi untuk memulangkannya. Itu lebih memalukan".


Kisah ini menunjukkan bahawa walaupun tidak berada dalam lingkungan masyarakat Islam, namun tindak-tanduknya sangat bertepatan dengan ajaran Islam.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal hak, amanah dan tanggungjawab. Ia dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah An-Nisa' ayat 58:


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)...."


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Penegasan tentang hak dan amanah ini juga dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadithnya yang bermaksud:


"Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di Negerimu ini dan dalam bulanmu ini. Dan engkau semua kan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran)".
                                                                                                      (Muttafaqun ‘Alaih)

 Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Kehormatan yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadith tersebut ialah wajib melindungi nyawa orang yang tidak berdosa dan tidak boleh direnggut, darah tidak boleh ditumpahkan, harta tidak boleh dirampas tau diambil sewenang-wenangnya dan maruah tidak boleh dicemarkan tau diaibkan. Persoalan hak dan amanah ini sangat ditekankan oleh Islam, sehingga Baginda mengiaskannya dengan kehormatan dan kesucian Hari Raya Korban, Bulan Haram Zulhijjah dan Tanah Haram Makkah. Baginda menegaskan dalam hadith yang lain:


"Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepada kamu dan janganlah kamu mengkhianati seseorang yang pernah mengkhianati kamu".                                           
    (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tarmizi)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,


Persoalan hak dan amanah itu pula tidak mengira sama ada ia besar atau kecil. Cukup membimbangkan kita, amal-amal yang mulia pun akan terhalang dengan pengkhianatan dalam perkara yang kita anggap remeh, tetapi besar di sisi Allah S.W.T. Dalam hadith yang lain, Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan hakikat ini. Umar bin Al-Khattab R.A telah meriwayatkan bahawa: "Ketika terjadi perang Khaibar, ada sekelompok dari sahabat-sahabat Nabi S.A.W. datang menghadapi Baginda, kemudian mereka mengatakan: " Si Polan itu mati syahid dan Si Polan itu juga mati syahid", sehingga akhirnya mereka menyebutkan nama seseorang lalu mereka berkata; " Si Polan itupun mati syahid pula". Lalu Baginda bersabda: "Tidak sama sekali, Si Polan itu hanya saya lihat masuk ke dalam neraka kerana sehelai baju dari hasil rampasan perang yang disembunyikannya".                                 
       (Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim)

Justeru, Rasulullah S.A.W. sendiri telah menunjukkan contoh sifat amanah yang tinggi, walaupun kepada golongan bukan Islam yang tinggal dalam masyarakat Quraisy yang memusuhi Baginda S.A.W. Ulama' mencatatkan bahawa sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah, Baginda telah mewasiatkan kepada Saidina Ali bin Abi Thalib supaya memulangkan barang-barang Wadi'ah dan amanah dalam jagaan Baginda kepada pemiliknya di kalangan penduduk Makkah.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,


Sifat jujur dan amanah inilah yang mat ditekankan dalam Islam kerana amanah sangat berkait rapat dengan iman. Sabda Rasulullah S.A.W. seperti diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:


" Tiada sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji ".
                                                                                                          (Riwayat Ahmad)

Sekarang, marilah kita menilai diri kita pula. Setakat manakah kita menghormati hak orang lain sama ada pada tubuh badannya, hartanya atau maruah dirinya. Adakah di kalangan kita yang pernah memukul atau mencederakan orang lain, walaupun hanya kerana kesilapan kecil di jalanraya? Adakah kita mengambil hak orang, hak majikan, hak kerajaan atau hak syarikat walaupun hanya sekadar sebatang pen? Bagaimana pula orang yang memanipulasi atau menyalahgunakan gambar orang lain untuk menjatuhkan maruahnya hanya dengan mudah memetik tetikus komputer beberapa kali?.


Sidang Jumaat Sekalian,


Banyak hadith Rasulullah S.A.W. yang mengingatkan kita tentang soal hak dan amanah pada jiwa, harta dan maruah. Antaranya adalah hadith yang bermaksud:


" Sesiapa yang kami lantik di antara kamu semua sebagai petugas atas sesuatu pekerjaan, kemudian dia menyembunyikan dari kami sebatang jarum, apalagi yang lebih besar dari jarum itu, maka hal itu adalah pengkhianatan yang ditanggung sendiri pada hari kiamat". Kata perawi hadith: Kemudian ada seorang lelaki berkulit hitam dari kaum Ansar berdiri. Saya rasa seolah-olah terbayangkan susuk tubuh lelaki tersebut. Dia berkata: "Ya Rasulullah! Ambillah kembali tugas yang Tuan serahkan kepadaku dahulu (dia mohon ditamatkan tugas)". Rasulullah S.A.W. bertanya: "Mengapa engkau mohon berhenti?". Ia menjawab:" Saya mendengar Tuan bersabda begitu dan begini". Baginda S.A.W. lalu bersabda pula: " Saya tegaskan sekali lagi: "Sesiapa yang kami lantik sebagai petugas untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan, maka hendaklah menemui kami dengan menyerahkan hasil kutipan sama ada sedikit atau banyak. Apa-apa yang diberikan padanya, ambillah itu dan apa-apa yang dilarang, janganlah ambil".                                                                 
(Riwayat Muslim)

Manakala hadith kedua dari Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: " Adakah engkau semua tahu, siapakah orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: " Orang muflis di kalangan kita ialah orang yang sudah tidak memiliki lagi sesuatu benda apapun." Baginda S.A.W. lalu bersabda: " Orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan solat, puasa dan zakatnya ketika di dunia dahulu, dia pernah mencaci, menuduh, memakan harta dan membunuh seseorang (tanpa alasan yang benar). Maka orang yang dianiaya itu diberikan pahala orang tadi. Mangsa yang lain pun diberikan pahalanya juga. Jikalau pahala-pahalanya sudah habis sebelum terlunas tanggungan kezalimannya, maka ambillah dari dosa-dosa orang-orang yang dianiayanya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, kemudian orang tersebut dilemparkanlah ke dalam neraka".                 
                                                                         (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, marilah kita meningkatkan kepekaan dan sensitiviti kita terhadap soal hak dan amanah ini. Semoga kita mendapat keselamatan di dunia dan akhirat dari segala kesengsaraan dan azab Allah S.W.T.


"Dan mereka menjaga amanah dan janji; dan mereka yang tetap memelihara solatnya (pada waktunya). Mereka itulah orang yang mewarisi; yang kan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya".
    (Al-Mukminun: 8-11)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 


Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.


0 komen:

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.