Sabda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam :
“Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya. Mereka adalah :
1. Pemimpin yang adil
2. Anak muda yang sentiasa beribadah kepada Allah
3. Seorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid
4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah
5. Seorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian mencucur air matanya
6. Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita bangsawan lagi rupawan lalu ia menjawab, “Sesungguhnya aku takut pada Allah!”, dan
7. Seorang yang mengeluarkan sedekah lantas disembunyikan sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya.” (Bukhari dan Muslim)
Masyarakat Islam mutakhir ini menghadapi berbagai krisis moral sama ada di kalangan ahli politik, ahli agama, profesional, usahawan, pelajar, remaja, ibu bapa, golongan muda dan lainnya.
Hadis Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam di atas yang menyebut tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar adalah sifat-sifat peribadi manusia yang tinggi nilai kerohaniannya dan mulia darjatnya di sisi Allah. Sifat-sifat peribadi yang mulia ini adalah merupakan tiang yang kukuh dalam menunjangi kekuatan sebuah negara dan masyarakat. Apabila tiang-tiang ini runtuh, maka negara itu akan menuju kepada kehancuran tamadun manusia, kesejahteraaan dan keharmonian masyarakat akan bertukar kepada kacau bilau dan ketakutan.
Golongan Pertama : Pemimpin yang Adil
Negara akan kukuh dan maju jika pemimpin adalah golongan yang adil dalam pentadbirannya yang tidak meletakkan kepentingan diri, kroni dan kaum sebagai penentu dalam setiap keputusan yang dibuatnya. Keadilan yang ditegakkan seorang pemimpin ialah keadilan dalam segala bidang sama ada bidang hukum, bidang hak asasi manusia, bidang politik, bidang ekonomi ataupun bidang kemasyarakatan. Yang penting ia meliputi segala sistem kehidupan manusia.
Keadilan yang dijalankan pemimpin melahirkan masyarakat yang bersatu, taat dan harmoni. Keadilan Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a telah membawa rakyat kepada pembebasan daripada kemiskinan dan rasuah. Beliau berlaku adil pada dirinya dalam menjaga harta rakyat sehingga sanggup hidup dalam kesusahan.
Keadilan menyebabkan harta rakyat benar-benar sampai pada rakyat, bukannya berlegar di kalangan golongan tertentu sahaja. Di zaman yang penuh dugaan ini, ramai golongan politik mempunyai impian untuk menjadi pemimpin yang adil jika diberi kekuasaan, namun ramai yang tewas dengan nafsu apabila silauan harta mula terbuka. Justeru itu bukan sahaja kita perlu menaikkan tokoh yang adil, tetapi kita juga perlu mewujudkan satu mekanisme politik, ketelusan perundangan dan kesedaran rakyat agar ia dapat mengawal seorang pemimpin agar berlaku adil.
Segala mekanisme dan peranan ini wujud di Amerika, Britain, Jepun, Korea dan beberapa negara lain. Keadaan ini menyebabkan seseorang pemimpin tidak boleh bertindak sesuka hati mereka, melainkan mereka mesti berlaku adil pada rakyatnya (walaupun mereka terutamanya Amerika dan Britain banyak berlaku tidak adil kepada masyarakat antarabangsa).
Kealpaan rakyat akan menyebabkan pemimpin boleh melakukan apa sahaja asalkan keselesaan mereka terjaga. Firaun dapat mengaku dirinya Tuhan lantaran kejahilan ratusan ribu rakyatnya walaupun beliau hanyalah seorang diri dan seorang manusia yang sama sifat dengan mereka.
Golongan Kedua : Golongan Muda yang menghabiskan usia mudanya dengan ibadah
Golongan muda yang terdidik dengan ibadah akan mempunyai akhlak dan pemikiran yang bersih dari budaya yang merosakkan. Mereka akan hidup dalam masyarakat dan mengawal negara ke arah citarasa mereka yang murni. Mereka menjadi golongan muda yang terkawal dari kerosakan yang dibawa arus kemajuan dunia dan mempunyai jatidiri yang hebat walau dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.
Ibu bapa dan semua lapisan masyarakat akan merasa selamat dan tenang apabila generasi muda ini berada dalam kelompok mereka. Generasi ini adalah aset yang amat penting kepada negara dalam memastikan negara terpelihara dari kerosakan dan terus harmoni dari satu generasi ke generasi yang lain.
Golongan Ketiga :Golongan yang terikat hatinya dengan Masjid
Masjid adalah institusi memupuk ilmu, akhlak, persaudaraan dan kerohanian. Apabila jiwa-jiwa dapat diikat dengan masjid, maka budaya-budaya yang disuburkan masjid akan hidup subur pula dalam masyarakat. Lahir masyarakat yang berilmu, mempunyai akhlak yang mulia, persaudaraan yang jitu dan ketakwaan yang tinggi.
Dengan nilai-nilai ini, negara berada dalam suasana yang amat bersatu, aman dan baik. Golongan ini mampu menjadi penasihat dan memerhatikan antara satu sama lain dan juga kepada para pemimpin. Apabila nilai-nilai yang menjadi budaya ini diserap dalam sektor-sektor awam atau badan korproat, nescaya ia akan melahirkan budaya kerja yang sihat sehingga boleh membawa kemajuan kepada negara.
Kemajuan Jepun dan Korea dimulakan dengan menanamkan nilai-nilai yang tinggi dalam jiwa rakyatnya sehingga budaya tersebut mampu menjadikan mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diterokai. Amat malang sekali budaya Islam diamalkan oleh golongan yang tiada iman, tetapi budaya rendah diamalkan oleh golongan yang Al-Quran ada di tangan mereka.
Golongan Keempat :Mereka yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah
Mereka adalah golongan yang menjadikan asas pertemuan mereka adalah cinta pada Allah dan berpisah kerana Allah. Mereka memupuk budaya cinta sesama insan dan cinta kepada kebaikan.
Apabila ahli politik bertemu, mereka membincang dan merangka tindakan-tindakan yang akan memberi kebaikan pada agama dan rakyat. Apabila bertemu para ulama, mereka berbincang tentang ilmu dan dakwah yang membawa kebaikan kepada manusia. Apabila bertemu ahli korporat, mereka berbincang kaedah untuk menjana pendapatan dalam membantu kemajuan negara dan kebaikan masyarakat.
Dua pasangan yang mahu berkahwin juga berdasarkan cinta pada Allah, bukan nafsu semata-mata. Pertemuan keluarga diadakan untuk merapatkan silaturrahim kerana Allah, bukannya untuk tunjuk menunjuk atau cela mencela dan begitulah seterusnya. Mereka menjadikan apa jua bentuk kehidupan mereka di dunia adalah kerana Allah demi kehidupan mereka di akhirat.
Golongan ini tiada memisahkan sedikit pun setiap langkah mereka dengan Allah dan Hari Akhirat. Mereka adalah golongan yang mencari kebaikan di dunia dan kebaikan akhirat.
Golongan Kelima : Mereka yang berzikir di tempat yang sunyi lalu mengalir air mata
Mereka adalah golongan yang ikhlas, menyembunyikan kebaikan namun hati mereka amat cinta dan takut pada Allah. Golongan seperti ini ialah mereka yang tiada berebut untuk mencipta nama, mengejar jawatan, menunjuk-nunjuk amal kebaikan atau kealiman mereka. Hubungan mereka dengan Allah tersembunyi, mereka hidup dengan nilai-nilai akhlak yang tinggi walaupun sebagai ahli politik, usahawan, profesional, berpangkat tinggi dalam sektror-sektor awam atau swasta, atau apa jua bidang yang lain kerana jiwa yang dipupuk dengan ikhlas dan tawadhu.
Mereka adalah golongan yang menjauhi rasuah, melakukan setiap kerja dengan mengutamakan redha Allah daripada redha manusia, menjauhi pujian dan tiada bersifat menunjuk-nunjuk.
Golongan Keenam : Seorang lelaki diajak perempuan berzina, ia mengatakan takut kepada Allah
Masyarakat yang menghalalkan zina akan menghancurkan tamadun manusia. Anak-anak yang lahir daripada budaya bebas, sistem keluarga yang hancur dan status yang tidak jelas pasti menjejaskan masyarakat dan negara.
Masyarakat barat yang hidup tanpa mengambil nilai status kekeluargaan akan menuju kehancuran tamadun manusia, walaupun maju dalam tamaddun kebendaan. Ketidakseimbangan yang berlaku akan membawa kekacauan dalam struktrur kehidupan masyarakat sehingga seorang bapa atau ibu tiada hak untuk menegur atau mengawal anak-anak mereka. Ia ibarat membina generasi haiwan berakal yang boleh bertindak ganas sesama sendiri pada bila-bila masa apabila kemahuan mereka tidak dihiraukan
Malaysia sudah mula menuju kepada kehidupan gaya bebas ini sehingga anak-anak menjadi mangsa sama ada semasa mereka lahir atau apabila dewasa. Istilah ‘ibu bapa’ akan hilang dalam kamus pemikiran anak-anak zina dan peratus mereka yang membesar dengan nilai-nilai keimanan dan akhlak yang tinggi amat sedikit.
Bagaimana negara akan kuat jika lahir anak-anak yang tiada memahami nilai kasih sayang malah membenci kehidupan beragama atau beretika yang dianggap sebagai mengongkong kebebasan mereka? Negara juga akan berada dalam keadaan amat lemah kerana mereka tidak akan mempunyai jati diri untuk mempertahankan negara terutama bila sampai masa negara menuntut pengorbanan mereka.
Kebebasan wanita kini yang begitu hebat adalah punca terbukanya pintu zina. Peratusan tertinggi punca berlaku zina adalah disebabkan dari sikap perempuan sendiri. Mengajak zina bukan bermakna ajakan dengan mulut secara terbuka, tetapi secara berpakaian yang amat terdedah, tutur kata yang menggoda, bebas bergaul dengan lelaki atau lainnya adalah seruan kepada kaum lelaki untuk berzina dengannya.
Lelaki yang amat nipis imannya pada zaman ini akan mudah jatuh dalam godaan ini. Sifat lelaki memang ‘memburu’ tetapi jika buruannya liar, maka sukar untuk mereka mencapai hajatnya. Namun jika buruannya amat jinak, maka amat bodoh lah sang harimau tidak makan sang kambing yang berlegar-legar berhampiran tempat tidurnya!
Namun jika lelaki itu dapat menahan dirinya walaupun ada peluang untuk melakukannya kerana takut pada Allah, mereka adalah golongan yang benar imannya, amat dicintai oleh Allah dan Rasul, bahkan ia menjadi pemangkin kekuatan pada negara serta dapat menyelamatkan masyarakat daripada berleluasanya zina.
Hari ini kes pembuangan bayi kerana kebebasan zina bagaikan tiada terkawal. Walaupun ketegasan undang-undang akan dijalankan (seperti mensabitkan kesalahan bunuh kepada mereka yang membuang bayi), namun ia bukan penyelesaian yang utama sekiranya langkah-langkah punca zina tidak dikawal.
Dalam sistem pemerintahan sekular yang tiada meletakkan Islam sebagai dasar dalam pentadbirannya, ia tidak akan mampu memberi rawatan kepada masalah ini. Ini kerana pintu berlakunya zina seperti budaya kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan tanpa sempadan tiada ditutup sama ada dalam sistem pendidikan, ekonomi, hiburan, pakaian dan lainnya.
Kerajaan bagaikan ayah bagi anak-anak. Sebagaimana kita mengawal anak-anak kita di rumah daripada rosak, begitu juga kerajaan wajib menjaga rakyatnya agar tiada rosak, segala pintu yang membawa kepada kerosakan wajib dikawal. Kita wajib membangunkan negara di atas nilai budaya kita berlandaskan prinsip Al-Quran, bukannya mengamalkan segala budaya Barat yang tiada pedoman.
Golongan Ketujuh : Orang yang menderma dimana tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibuat tangan kanannya
Inilah masyarakat Islam yang wujud di Madinah di bawah pentadbiran Khulafa Ar-Rasyidin. Ramai golongan yang kaya membayar hutang golongan miskin di kedai-kedai, memikul gandum pada waktu malam untuk dihantar ke pintu rumah orang miskin tanpa mahu diketahui identiti mereka.
Alangkah indahnya masyarakat ini apabila orang kaya bukan memikirkan untuk berlagak angkuh kepada golongan miskin, tetapi sentiasa berfikir untuk membantu orang-orang di bawahnya. Ia lahir daripada sifat syukur yang terpancar daripada takwa kepada Allah.
Sifat ini boleh merapatkan jurang perbezaan antara si kaya dan si miskin sehingga wujud masyarakat yang bersih daripada kemiskinan yang tegar dan berkasih sayang. Sifat mereka akan membawa penyelesaian terhadap permasalahan sosial yang disebabkan kemiskinan dan membantu negara dalam memacu kemajuan.
Tujuh sifat ini ialah bunga-bunga yang menyegarkan taman, bukan sahaja dengan keindahannya tetapi juga dengan kewangian baunya. Mereka adalah pemangkin negara dan pengukuh masyarakat yang dinamik. Negara boleh mencapai tamadun yang hebat di atas nilai-nilai modal insan yang tinggi akhlak dan kerohaniannya.
Masyarakat seperti ini hanya akan terbina apabila Islam dijadikan dasar oleh masyarakat dan kerajaaan yang menekankan kepada aspek kemajuan dunia tanpa memisahkan kemajuan kerohanian. Islam meletakkan pembinaan kemajuan kerohanian adalah lebih utama kerana ia adalah asas yang penting kepada kebaikan dalam mencapai kemajuan dunia. Tanpa asas kerohanian yang kuat, kemajuan negara akan menuju kemunduran aspek manusiawi sehingga masyarakat tiada menemui ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.
Segalanya hancur ; Anak tiada menghormati ibu bapa, ibu bapa mengabaikan anak-anak, murid –murid menyaman para guru, para guru tiada keikhlasan dalam mendidik, para korporat sombong dengankekayaan, berlumba-lumba menunjuk kekayaan dengan rumah dan kenderaan yang hebat tanpa memperdulikan orang di sekelilingnya yang memerlukan pertolongan.
Ahli politik pula hidup untuk mencari peluang kekayaan dan menyeleweng harta rakyat, para ahli agama menjual ilmu mereka untuk mencapai kekayaan duniawi, golongan muda hanya mahu keseronokan dan hiburan, masyarakat hidup dalam api dendam, bermusuhan, benci membenci dan lain-lain lagi. Mereka bagaikan parasit-parasit yang akan meruntuhkan negara dan menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat.
Sesungguhnya tujuh golongan di atas bukan sahaja mendapat perlindungan Allah di Hari Akhirat tetapi mereka juga adalah golongan yang akan menjadikan negara ini mendapat perlindungan Allah sehingga Allah membuka pintu rezeki dan keampunanNya.
Firman Allah :
"Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkannya) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Allah cukuplah baginya..." (At-Thalaq: 2-3)
Sumber Artikel : Kuliah Ad-Deen
0 komen:
Catat Ulasan