Satu isu yang sering menjadi dilema besar kita semua hari ini, antara dakwah & tarbiyah manakah yang patut didahulukan. Hakikatnya, dakwah & tarbiyah itu saling berkaitan serta tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Tarbiyah itu laksana enjin yang menggerakkan dakwah sebagai kenderaan ke arah destinasi yang satu. Destinasi itu tidak lain adalah untuk mengembalikan seluruh umat manusia kepada fitrah asal kejadian manusia itu sendiri sepertimana dalam firman Allah dalam surah Az-Dzariyat: 56, “Tidak Aku (Allah) cipta jin dan manusia itu melainkan mengabdikan (beribadah) kepada Aku (Allah)”.
Kesan dari pengaruh sekularisme yang membelenggu masyarakat Islam hari ini termasuk para daie (pendakwah) telah mewujudkan kelompok-kelompok yang memilih-milih dalam beramal dengan Islam sedangkan Islam yang bersifat syumul mewajibkan kita beramal sepenuhnya dengan Islam sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah: 208, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
Antara kelompok yang memilih-milih dalam beramal dengan Islam ini termasuklah (1) kelompok yang hanya memilih tarbiyah untuk diri semata-mata tanpa melaksanakan tugas dakwah; dan (2) kelompok yang hanya semangat dalam berdakwah tetapi tidak merelakan diri untuk menerima tarbiyah Islamiyah.
Berdasarkan Fiqh Keutamaan (Allawiyat), di antara 2 kelompok ini, kelompok (1) yang hanya berkehendak kepada tarbiyah dianggap kurang memberikan mudarat berbanding kelompok (2), meskipun kedua-duanya amat bercanggah dengan Islam. Ini kerana kelompok (1) tidak mempengaruhi masyarakat sekeliling ke arah yang lebih buruk dan menyesatkan.
Sedangkan kelompok kedua lebih besar mudaratnya kepada masyarakat kerana dibimbangi akibat kefahaman Islam yang lemah tanpa tarbiyah, kelompok ini boleh menjadi sesat lagi menyesatkan masyarakat. Antara kesesatan tersebut termasuklah pengamalan Islam hanya dalam soal-soal ibadah khusus sedangkan pada masa sama diri bergelumang dengan dosa riba’, pecah amanah, curi tulang (ponteng kerja & ponteng kuliah), serta menganggap Islam tidak perlu mencampuri urusan politik & pemerintahan. Tidak mustahil akibat tiada kefahaman ini menyebabkan kita semakin jauh dari Islam sebenar.
Ingatlah, bahawa Rasullullah S.A.W sendiri ditarbiyah Allah S.W.T bermula saat kelahiran sehinggalah kewafatan Baginda menerusi wahyu, dugaan serta cabaran yang tidak terbanding dalam melaksanakan tugas dakwah mengembangkan Islam. Sedangkan Rasullullah sendiri rela ditarbiyah & pada masa sama berdakwah sepanjang hayat!!! Mengapa pula kita umat Rasullullah bersikap sombong tidak mahu melaksanakan dakwah dan tidak juga mahu menerima Tarbiyah?
Tarbiyah asas ini termasuklah usrah, tamrin, liqa’, mukhayyam (perkhemahan), rehlah, dan daurah (seminar). Jika dalam mengikuti tarbiyah asas ini juga kita masih banyak berhelah, usah bicara soal tarbiyah lanjutan yang pastinya lebih menuntut komitmen & pengorbanan lebih besar!! Semoga kita semua tidak termasuk dalam kelompok yang sesat lagi menyesatkan.
Sumber Artikel : Persatuan Pengajian Islam UNITENMuat Turun Fail Fiqh Keutamaan.pdf di sini
0 komen:
Catat Ulasan