Assalamualaikum WBT.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Segala Pujian hanya untuk Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam, Dialah Yang Menghidupkan dan Dialah Yang Mematikan dan Dialah yang berkuasa keatas tiap-tiap sesuatu. Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan sifat kepujianNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan para sahabat keseluruhannya. Aku mohon keampunan-Mu ya Allah Yang Maha Agung.
Mesej ini ditujukan kepada semua ahli kariah Kg. Melayu Bt. 16 khususnya dan kepada semua muslimin dan muslimat umumnya.Tiba masanya..untuk saya memperkenalkan diri dengan tujuan tidak lain dan tidak bukan hanya untuk orang ramai khususnya ahli kariah semua kenal akan diri yang lemah dan serba kekurangan ini. Bukannya untuk menyombong diri, apatah lagi ingin diri dipuji.
Muslimin dan Muslimat yang dihormati dan dikasihi sekalian,
Berkaitan dengan masjid..
Saya ingin memaklumkan bahawa saya adalah salah seorang jemaah masjid Al-Ehsaniah sejak 2008. Baru-baru ini melalui mesyuarat Pengurusan Masjid, saya telah dilantik menjadi Muazzin 2 dan nama saya telah dicadangkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Tidak lama selepas itu, dalam menunggu maklumbalas daripada JAIS, saya telah dilantik pula oleh Pengurusan Masjid memegang jawatan Imam 2 setelah Imam Hj. Sulaiman meletakkan jawatan.
Menurut Pengurusan Masjid, oleh kerana maklumbalas cadangan jawatan Muazzin 2 masih baru dan belum diterima daripada JAIS, maka cadangan tersebut telah ditukar kepada cadangan untuk jawatan Imam 2. Kini kelulusan dan pentauliyahan secara rasminya masih dalam proses tindakan pihak JAIS. Walau bagaimanapun, sementara menunggu maklumbalas pihak JAIS, Pengurusan Masjid meminta saya memangku untuk jawatan Muazzin 2 dan Imam 2 tersebut. Muazzin 1 dan Imam 1 juga telah memberikan jadual untuk saya bertugas dan sehingga hari ini saya telah menjalankan tugas yang ditanggungjawabkan itu dengan penuh kewaspadaan andai hati ini tergelincir daripada Lillahi Taala.
Maka dengan rendah diri, saya ingin memohon jasabaik ahli kariah, pemuda pemudi, muslimin dan muslimat yang dihormati dan dikasihi sekalian agar memberikan maklumbalas tentang diri ini dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya tersebut.
Mungkin anda telah melihat saya menjadi Muazzin, dan mungkin juga anda telah menjadi makmum dalam solat yang diimamkan oleh saya.Andainya ada yang tidak berasa senang dengan saya maka jangan segan silu khabarkan sahaja kepada saya, saya sedar andai imam itu tidak disenangi oleh makmum, maka hendaklah imam yang disenangi oleh makmum perlu mengimamkan sesuatu solat itu. Saya sedia berundur bila-bila masa sahaja sekiranya perkara ini berlaku.
Berikut dicatatkan serba sedikit maklumat saya:
Nama Penuh : محمد خيرالامين بن رملي
Panggilan : Khairol
Asal : Pahang (Jengka 18)
Latarbelakang Pendidikan
Saya bersekolah rendah di Sek. Keb (LKTP) Jengka 18. Kemudian saya melanjutkan pengajian peringkat menengah di Sek. Men. Agama Chenor, Pahang. Setelah mendapat keputusan 8A di dalam PMR, saya ditawarkan dan berpindah ke aliran sains di Sek. Men. Agama Al-Ihsan, Kuantan. Di sana, saya menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) dengan keputusan 7A12B dengan Hafazan dan Tajwid Al-Quran mendapat Mumtaz. Antara pencapaian saya di sekolah, saya merupakan Pengerusi Badan Dakwah dan Kebajikan disamping aktif dalam Kokurikulum terutamanya bidang ilmiah, saya telah dianugerahkan Johan Peringkat Daerah dalam syarahan Bahasa Arab. SPM pula hanya mendapat 3A daripada 11 subjek. 3A tersebut ialah subjek Pendidikan Al-Quran Dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi. Setelah tamat SPM, saya telah ditawarkan melanjutkan pengajian Diploma Tahfiz di Masjid Negeri Pahang, walau bagaimanapun di atas nasihat orang yang saya percayai, saya menolak tawaran tersebut dan memilih untuk beralih bidang Sains Komputer. Orang dipercayai itu (Dr. Hj. Mohd Shafie Md Amin - Pengasas sistem HUFFAZ) menasihatkan agar di samping belajar akademik teruskan juga dengan menghafaz al-Quran. Beliau antara guru saya berkaitan Al-Quran.
Latarbelakang Pekerjaan
Setelah tamat pengajian Sains Komputer, saya telah bekerja sebagai guru Tajwid di Pahang, Kemudian saya telah bekerja dengan AirAsia (2005), LHDNM (2006-2010). Di LHDNM, alhamdulillah saya telah dianugerahkan Tokoh Pekerja Cemerlang Tahun 2008. Kini saya bekerja sendiri dan alhamdulillah masa untuk saya mendampingi masjid lebih banyak. Untuk makluman anda juga, saya kini sedang dalam proses menunggu tauliah mengajar al-Quran di Negeri Selangor.
Sekadar ini sahaja, semoga dengan ta'aruf ini akan menautkan ukhwah fillah dengan anda semua. Wallahu'alam.
alfaqir ilallah
Ibadur Rahman
blogger @ alehsaniah.blogspot.com
1 komen:
SYUKRAN...
Catat Ulasan