Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama melazimi takwa kepada Allah SWT dengan menerima syariat Islam sebagai cara hidup di samping tekun mengerjakan segala perintah-Nya dan menghindari segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita akan dirahmati di dalam kehidupan di dunia yang fana' ini dan berbahagia di akhirat yang kekal abadi.
Sidang hadirin yang berbahagia,
Menerima dan mengamalkan Islam sebagai Ad-Diin, iaitu sebagai cara hidup adalah perlu dilaksanakan oIeh seluruh umat Islam, demi membuktikan ketulusan dan keyakinan kita kepada ajaran suci yang dibawa oIeh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Selari dengan tuntutan ini, Khutbah hari ini akan memperkatakan perihal: "Haram Menyambut Hari Kekasih".
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine 's Day adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oIeh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya juga bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oIeh Islam.
Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi,
Hari Kekasih juga digelar sebagai: "Valentine 's Day" yang disambut pada 14 Februari setiap tahun adalah sambutan yang dinanti-nantikan kebanyakan remaja bagi menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Ia disambut dengan pelbagai cara dan acara bermula dengan kiriman kad dan bunga hingga parti tari-menari. Malah ada yang menyambutnya dengan pertemuan dan berakhir dengan perzinaan demi membuktikan cinta dan kasih sayang mereka. Jelas dan nyata sekali bahawa sambutan ini bukan dari ajaran Islam yang suci, malah melanggar syariat dan bertentangan dengan tatasusila fitrah murni manusia.
Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat di kalangan remaja dan pasangan Islam di negara ini, turut meraikan "Hari Valentine" ini. Mereka meraikannya kerana ingin bersukaria dan terikut-ikut dengan budaya ini tanpa mengetahui sejarahnya.
Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa tidak ada istilah "Hari Kekasih" atau "Hari Valentine" dalam Islam. Justeru, orang Islam tidak boleh menyambutnya, menyertainya dan merayakannya. Islam memang menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu melalui saluran yang dibenarkan oIeh syarak. Bukan dengan jalan yang mendorong atau merangsang kepada kemungkaran dan maksiat.
Islam adalah Agama Fitrah yang praktikal, bukan menyekat kebebasan tanpa sebab dan bukan membiarkan umatnya bebas tanpa pedoman. Islam adalah agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna untuk umatnya. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang antara umatnya. Malah terlalu banyak ayat Al-Quran dan Hadith menyatakan hikmah berkasih sayang.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal ayat 63:
"Dan Dialah yang menjadikan hati mereka mesra antara satu sama lain. Seandainya engkau membelanjakan segala (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak akan dapat menautkan kemesraan antara hati mereka, tetapi Allah telah membibitkan kemesraan antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana".Sidang Jumaat yang berbahagia,
Sumber Catholic Encyclopedia menjelaskan bahawa Valentine adalah nama seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama itu di Rome sehingga dia ditangkap dan diseksa dalam penjara. Selama dipenjara, ia tetap mengajar dan menyebarkan agama itu di kalangan banduan dan membantu tawanan melepaskan diri dari penjara. Dikatakan juga bahawa ketika dalam penjara, dia jatuh cinta dengan gadis, anak salah seorang Pegawai Penjara. Di akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis itu yang bertandatangan "Daripada Valentinemu". Maka semenjak itu orang Kristian mengambil sempena hari 14 Februari untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka, Valentine ini.
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Jelaslah bahawa Sambutan Hari Kekasih ini merujuk kepada kisah tersebut dan sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan kerasulan Muhammad s.a.w., wajarkah kita merayakan hari kekasih ini?, patutkah kita mengambil peristiwa ini untuk disambut dan diraikan?. Alangkah jahilnya kita sehingga tidak dapat lagi membezakan antara ajaran agama kita dengan agama lain. Benarlah kenyataan hadith daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Demi Allah yang nyawaku di dalam genggaman-Nya, pasti kamu akan turut jejak langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sedepa demi sedepa, sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang dhab. Lantaran itu, sahabat bertanya: "Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab: "Siapa lagi kalau bukan mereka?".Hadirin sidang jemaah sekalian,
Apa yang lebih menyedihkan akibat dari merayakan sambutan hari-hari seperti ini remaja Islam semakin liar dan semakin ramai yang terjebak dengan gejala sosial serta keruntuhan moral. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara bahawa sejak tahun 2000 hingga 2008 sebanyak 257,411 Sijil Kelahiran telah didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa. Rekod ini menggambarkan betapa ramai anak-anak yang tidak sah taraf atau lahir secara luar nikah untuk tempoh 9 tahun tersebut.
Jumlah yang begitu ramai untuk tempoh kurang 10 tahun ini sewajarnya mengundang rasa bimbang dan gerun dengan masa depan Generasi Islam. Jumlah itu membawa purata sebanyak 28,601 orang bayi setiap tahun. Sedarlah! segalanya ini bermula dengan gaya hidup barat yang songsang, yang telah diterima dalam masyarakat kita.
Justeru, setiap orang Islam khasnya golongan remaja seharusnya meninggalkan budaya "Hari Kekasih" yang hanya bertujuan merosakkan akhlak masyarakat Islam. Ingatlah sesungguhnya Yahudi dan Nasrani akan terus berusaha sedaya-upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka. Pelbagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian umat Islam.
Malangnya, masih ada umat Islam yang tidak menyedari hakikat ini. Maka ,ramai dari kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta cara hidup mereka. Kononnya, menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti itu bertentangan dengan ajaran Islam dan budi pekerti mulia. Harus diingat, meniru budaya asing, terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latarbelakang perayaan itu, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak umat Islam, bahkah boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.
OIeh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mengikut landasan Islam yang sebenar. Bukankah lebih baik kita mengamalkan adat dan budaya kita yang sopan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita renung beberapa perkara penting sebagai rumusan dan peringatan bagi kita semua, antaranya:
Pertama : Hari kekasih adalah sambutan penganut Kristian yang mengenang hari kematian seorang paderi mereka. Tiada sambutan ini dalam ajaran Islam.
Kedua : Umat Islam adalah dilarang sama sekali menyambut Hari Kekasih ini, termasuklah memberi sokongan, mempromosikan, mengajarkan dan menyebarkan apa-apa sambutan yang berkaitan dengannya.
Ketiga : Umat Islam digalakkan berkasih sayang sesama manusia sepanjang masa tanpa membataskannya pada hari-hari tertentu sahaja.
Keempat : Pihak Media dan pengamal Laman Sosial adalah diminta untuk tidak mempromosikan Sambutan Hari Kekasih ini walau dalam apa bentuk sekalipun.
"Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. Orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedangkan mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutar-belitkan maksudnya), mereka itulah orang yang beriman kepada-Nya dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang yang rugi".(Al-Baqarah: 120-121)
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 11 Februari 2011
Sumber : JAIS
2 komen:
Syabas ...pihak Masjid membincangkan isu berhubung hari Vale...Semalam pun Halaqah TV9 juga telah membahaskan isu Valentine's Day ini, jadi sebagai muslim hendaklah menyebarkan kepada saudara mara dan kengkawan kita agar tidak menyambut Hari tersebut....Inin semua adalah propoganda Yahudi yang sentiasa mahu melihat umat Islam sentiasa lalai dan ingin melihat umat Islam hancur di dunia ini....
Semoga perkara ini benar² dapat difahami oleh semua umat islam khususnya golongan remaja islam kita.
Catat Ulasan