Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Diceritakan pada suatu hari seorang yang soleh bernama Syaqiq Al Balkhi bertanya kepada seorang muridnya, Hatim Al Asamm :
"Berapa lamakah kamu duduk belajar bersamaku?"
"33 tahun," jawab Hatim.
"Dan apakah yang kamu telah pelajari daripadaku selama masa itu?"
"Lapan perkara," kata Hatim.
Syaqiq berseru, "Kita adalah dari Allah dan kita akan kembali kepadaNya!"
"Kamu telah pergunakan seluruh kehidupan kamu denganku dan hanya belajar lapan perkara!!!!
Apakah perkara-perkara itu?
PERTAMA :
Jawab Hatim :
"Pertama sekali, saya melihat kepada manusia dan saya dapati setiap mereka mencintai sesuatu dan meneruskan usaha untuk mendapatkan apa yang dicintai itu. Apabila dia sampai ke kubur, apa yang dicintai selama ini meninggalkannya. Oleh itu saya membuat bekalan amal kebaikan sebagai perkara yang saya cintai kerana apabila saya memasuki kubur, amal-amal kebaikan ini akan masuk bersama saya."
Syaqiq berkata, "Kamu telah lakukan yang terbaik. Apakah perkara yang kedua?"
KEDUA :
"Perkara yang kedua ialah apabila saya memikirkan ayat-ayat Allah Yang Maha Agung.”
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya, maka sungguh, syurgalah tempat tinggalnya.” (QS An Naazi’aat : 40 – 41)Mengetahui bahwa ayat-ayat Allah ini benar, saya berusaha bersungguh-sungguh terhadap diri saya untuk menahan keinginan-keinginan saya sekuat-kuatnya sehingga saya bergantung sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Agung.
KETIGA :
Perkara ketiga ialah apabila saya melihat kepada manusia dan saya mendapati setiap mereka mempunyai sesuatu yang berharga yang membuatkan mereka menghargai dan menjaganya dengan baik. Kemudian saya meneliti ayat-ayat Allah Yang Maha Agung :
“Apa yang ada disisimu akan lenyap dan apa yang ada disisi Allah adalah kekal.” (QS An Nahl : 96)Oleh itu apabila sesuatu yang berharga datang kepadaku, saya akan serahkannya kepada Allah Yang Maha Agung supaya ianya akan disimpan oleh Allah untukku.
KEEMPAT :
Perkara keempat ialah apabila saya melihat kepada makhluk-makhluk Allah dan saya dapati kesemua mereka meletakkan nilaian yang tinggi terhadap :
- Harta.
- Harga diri.
- Maruah.
- Keturunan.
“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (QS Al Hujuraat : 13)Oleh itu saya meletakkan ketakutan saya kepada Allah sepenuhnya supaya saya akan dipandang tinggi pada kacamata Allah swt.
KELIMA :
Perkara yang kelima ialah apabila saya melihat kepada manusia dan saya dapati sebahagian mereka menyerang peribadi sebahagian lain dan sebahagiannya pula mengutuk sebahagian yang lain dan saya sedar bahwa sebab utama yang berlaku demikian ialah kerana dengki. Kemudian saya meneliti ayat-ayat Allah Yang Maha Agung :
“Kamilah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia.” (QS Az Zukhruf : 32)Oleh itu saya meninggalkan sifat dengki dan permusuhan terhadap makhluk-makhluk dengan kesedaran bahwa apa-apa yang telah ditetapkan untuk saya adalah mutlak dan akan sampai kepada saya.
KEENAM :
Perkara yang keenam ialah apabila saya melihat manusia berlawan dan bermusuh sesama mereka. Saya mencari-cari dan akhirnya mendapati bahwa musuh sebenar saya adalah syaithan dan benarlah Allah Yang Maha Agung berfirman :
“Sesungguhnya syaithan itu adalah musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh.” (QS Faathir : 6)Oleh itu saya menjadikannya sebagai musuhku dan menyayangi yang selain darinya.
KETUJUH :
Perkara yang ketujuh ialah apabila saya melihat kepada manusia dan mendapati mereka mencari kekayaan secara berlebihan dan menghinakan diri mereka kerananya. Saya meneliti ayat-ayat Allah Yang Maha Agung :
“Dan tidak ada satu pun makhluk yang bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya.” (QS Hud : 6)Saya sedar bahwa saya adalah salah seorang yang dikurniakan sesuatu oleh Allah justeru saya menyibukkan diri saya dengan Allah Yang Maha Agung dan meninggalkan segala sesuatu selain dariNya.
KELAPAN :
Perkara yang kelapan ialah apabila saya melihat kepada manusia dan mendapati mereka bergantung kepada berbagai perkara seperti :
- Perniagaan mereka.
- Jawatan mereka.
- Kekayaan mereka.
“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (QS At Thalaq : 3)Oleh kerana itu saya meletakkan keyakinan saya sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Agung.
Akhirnya Syaqiq berkata :
"Hatim, sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepada kamu keuntungan dan tidak ada kerugian bagi kamu sedikitpun. Dia memberi hikmah kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya."
Demikianlah secebis kisah orang-orang yang soleh dan bagaimana mereka melihat kehidupan dunia ini dan cara-cara untuk berinteraksi dengannya secara yang benar sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah berdasarkan ayat-ayat Allah di dalam Al Qur'an yang mulia.
Akhir sekali marilah kita sentiasa meneliti dan mengambil i'tibar yang sewajarnya terhadap ayat-ayat Allah yang sebanyak 6,666 ayat yang terdapat di dalam Al Qur'an dan cuba untuk memahami dan melaksanakan perintah-perintahNya sehingga Al Qur'an itu benar-benar menjadi rujukan dan panduan hidup kita kerana kita tidak akan sesat selama-lamanya selagi kita mengambil dari sumber airnya yang bersih dan jernih yang dapat menghilangkan kehausan keyakinan dan ketenteraman hati sehingga hidup kita benar-benar akan terasa nikmat dan mendapat keridhaan Allah swt.
Ya Allah, jadikanlah Al Qur'an ini sebagai pembimbing kami sehingga ianya dapat menuntun kehidupan kami ke jalan yang benar dan lurus dan kami mohon kepadaMu supaya kami dapat beristiqamah di atas jalan ini sehingga kami menemuiMu di akhirat nanti.
0 komen:
Catat Ulasan