28 Februari 2011

Mengapa 27 Kali Ganda? : (1) Menjawab Seruan Azan

Assalamualaikum.

Kelebihan Pertama : Menjawab Seruan Azan

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai kelebihan yang pertama: "Menjawab seruan muazzin dengan niat ingin menunaikan solat fardhu secara berjemaah"

Ulasan

Maksud Azan

Dari segi bahasa : Memberi tahu
Dari segi Istilah Syarak : Memberitahu waktu solat dengan menggunakan lafaz tertentu

Berkata Imam al-Qurtubi dan ulama' lainnya: Azan, walaupun sedikit sahaja kalimahnya, tetapi terkandung di dalamnya persoalan-persoalan mengenai akidah. Buktinya ialah azan itu dimulai dengan ucapan takbir Allahu Akbar yang mengandungi makna dan erti kewujudan Allah SWT dan kesempurnaanNya. Kemudian kalimah berikutnya menyimpan makna ketauhidan kepada Allah SWT dan menafikan syirik kepadaNya. Setelah itu ianya mempastikan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW. Selepas itu azan mengajak kepada ketaatan khusus iaitu ibadah solat kepada Allah SWT. Ianya disebut mengiringi ucapan penyaksian terhadap kerasulan Rasulullah SAW, kerana ibadah ketaatan tidak dapat diketahui melainkan dengan perantaraan Rasulullah SAW. Kalimah berikutnya mengajak kepada kejayaan iaitu kebahagiaan kekal abadi, yang ditujukan kepada kewujudan Alam Akhirat.

Akhirnya azan diakhiri dengan diulangi kembali lafaz pertama tadi sebagai menguatkan lagi persoalan akidah yang utama iaitu kewujudan Allah SWT. Dengan gema seruan azan tercapai matlamat untuk memberitahu masuknya waktu solat, mengajak kepada solat berjemaah dan menzahirkan syiar Islam.

Berdasarkan kepada ulasan Imam al-Qurtubi itu, peranan azan di dalam mengajak manusia kepada solat berjemaah sangat besar. Oleh kerana itulah, Islam memberi ganjaran yang sangat besar bagi sesiapa yang menjawab seruan azan dan kemudiannya datang ke masjid untuk solat berjemaah.

Berdasarkan kata-kata al-Hafiz Ibnu Hajar di atas, pengajaran yang diambil oleh seseorang mukallaf yang menjawab azan dengan niat ingin menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah lebih afdhal daripada seorang yang menjawab azan tetapi di dalam hatinya tidak ada pun niat ingin melaksanakan solat tersebut secara berjemaah.

Bahkan Rasulullah SAW memberi amaran yang sangat keras kepada sesiapa yang mendengar azan tetapi tidak datang solat berjemaah. Ini terkandung di dalam sabdanya yang telah diriwayatkan oleh Imam Daaruqutni yang bermaksud:
Daripada Abdullah bin Abbas RA, daripada Nabi SAW, sabdanya: "Sesiapa yang mendengar azan, tetapi tidak menjawabnya, maka tidak sempurna atau tidak diterima solatnya melainkan jika dia uzur"
Dalam hadis lain Rasulullah SAW telah menegaskan dengan keras bahawa sesiapa yang enggan datang ke masjid walaupun setelah mendengar azan, maka dia adalah munafik. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam at-Thobraani yang bermaksud:
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Munafik ialah sesiapa yang mendengar seruan Allah yang mengajak kepada solat berjemaah, tetapi dia tidak menjawabnya"
Apabila seorang mukallaf mengambil berat dengan solat berjemaah dan sentiasa datang ke masjid, pada kebiasaannya bila dia mendengar azan, dia akan segera menjawabnya dengan penuh khusyuk dan penuh rasa tanggungjawab. Dia akan meninggalkan segala kerja-kerja dunianya dan terus segera bersiap sedia untuk solat berjemaah selepas azan dikumandangkan. Sikap seperti ini sudah tentu tidak wujud dalam diri seorang munafik yang tidak ada niat dan keinginan untuk melaksanakan solat fardhu secara berjemaah. Justeru itu, sudah tentu orang yang menjawab azan dengan niat ingin menunaikan solat fardhu berjemaah lebih afdhal daripada orang yang menjawab azan tetapi tidak ada niat tersebut.

Menjawab Azan

Mengenai lafaz yang digunakan untuk menjawab azan, Imam Muslim telah menyebutkan di dalam kitab sahihnya, hadis yang telah diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab RA yang bermaksud:
"Berkata Umar: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Apabila muazzin berkata : الله اکبر,الله اکبر maka kata olehmu: الله اکبر,الله اکبر, apabila dia berkata: اشهد ان لا اله الا الله, maka kata olehmu: اشهد ان لا اله الا الله, apabila dia berkata: اشهد ان محمدا رسول الله, maka kata olehmu: اشهد ان محمدا رسول الله, apabila dia berkata: حى على الصلاة, maka jawab olehmu: لا حول ولا قوة الا بالله, apabila dia berkata: حى على الفلاح, maka jawab olehmu: لا حول ولا قوة الا بالله, apabila dia berkata: الله اکبر,الله اکبر, maka kata olehmu: الله اکبر,الله اکبر. Akhir sekali apabila muazzin mengucapkan: ان لا اله الا الله, maka dia hendaklah menjawab juga: ان لا اله الا الله. Sesungguhnya sesiapa yang mengucapkan kesemua ungkapan-ungkapan di atas dengan ikhlas daripada hatinya, nescaya dia akan dimasukkan ke dalam syurga"
Kelebihan menjawab azan sangat besar fadhilatnya sebagaimana yg telah termaktub di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar. Berikut dinyatakan sebahagian daripadanya:

Hadis Pertama
Daripada Abdullah bin Amru bin al-'As RA katanya: "Sesungguhnya suatu hari aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu mendengar azan yang dikumandangkan oleh muazzin, maka hendaklah kamu menjawab azan seperti ucapan yang dilakukan oleh muazzin. Kemudian berselawatlah ke atas diriku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali nescaya Allah SWT akan selawat yakni menurunkan rahmat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Selepas itu pohonlah kepada Allah SWT bagi diriku al-Wasilah. Sesungguhnya al-Wasilah itu merupakan suatu kedudukan atau darjat yang sangat istimewa dan tertinggi di dalam syurga yang hanya layak untuk salah seorang saja daripada hamba-hamba yang sangat mulia di sisi Allah di akhirat kelak dan aku mengharapkan bahawa akulah hamba itu. Justeru itu, sesiapa yang memohon untukku al-Wasilah, nescaya dapatlah baginya syafaatku" (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam kitab sahihnya)
Hadis Kedua
Daripada Jabir bin Abdillah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang berdoa ketika mendengar seruan azan dengan doa: "Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan Azan dan sembahyang yang didirikan, kurniakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. ketinggian dan kelebihan serta kedudukan yang terpuji yang Engkau telah janjikan" nescaya dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat kelak". (Riwayat Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya)

Selain ganjaran pahala yang besar yang diperolehi dengan menjawab azan dan kelebihan berdoa memohon al-Wasilah untuk Rasulullah SAW selepas azan, para jemaah juga berpeluang merebut masa keemasan. Maksud masa keemasan ini ialah Rasulullah SAW telah memberitahu kita di dalam hadis bahawa selang masa di antara Azan dan Iqamah merupakan masa mustajab untuk berdoa. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Tidak akan ditolak permohonan doa (yang dilakukan) ketika selang masa di antara Azan dan Iqamah. Lalu para sahabat bertanya: "Apakah yang sepatutnya kami pohon, ya Rasulullah!" Jawab Rasulullah: "Mintalah kepada Allah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat".
Wallahu'alam. InsyaAllah bersambung..




0 komen:

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.