Kepentingan agama perlu didahulukan-kepentingan bangsa dan bahasa akan menyusul dengan sendirinya.Dimana kekuatan agama, bangsa dan bahasa? Adakah ketiga-tiganya satu atau terpisah? Jika persoalan ini dapat diselesaikan, maka perjuangan menegakkan islam, kepentingan Melayu dan bahasa, akan lebih jelas. Dan tentunya ini akan dapat mengurangkan konflik atau dilema yang kerap berlaku dalam usaha mendaulatkan agama, memperkuatkan bangsa dan memartabatkan bahasa.
Islam adalah pegangan hidup yang tertinggi mengatasai sebarang agama dan ideologi. Allah SWT berfirman:
“Dan Dialah yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa agama (sisitem hidup) yang sebenarnya untuk dimenangkan di atas segala bentuk agam (sistem hidup) selainnya, walaupun orang-orang yang syirik tidak menyukainya.” (As Saff: 9)Ini diperkuatkan lagi oleh sabda Rasulullah SAW:
“Islam adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.” (Riwayat Baihaqi dan Darul Quthni)Dengan itu, mana-mana bangsa atau golongan yang benar-benar menjadikan Islam sebagai pegangan hidup, layak untk memperolehi ketinggian darjat selaras dengan ketinggian Islam. Allah SWT telah menegaskan hal ini melalui firmanNya:
“Jangan kamu berasa takut, jang kamu merasa gentar, engkaulah ummah yang tertinggi dan mulia jika kamu beriman.” (Ali Imraan: 139)Tegasnya, bangsa yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup akan menjadi bangsa yang mulia. Mereka menjadi kuat kerana dengan Islam, mereka akan mendapat taqwa – satu kekuatan yang akan memuliakan manusia, tidak kira apa bangsa atau warna kulit sekalipun.
Bila satu-satu bangsa bertaqwa, maka Allah akan menjadi pembela dalam setiap usaha dan perjuangan mereka. Firman Allah:
“Allah menjadi pembela kepada orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 190)Justeru itu tidak hairanlah, mana sahaja bangsa yang bertaqwa, Allah akan menjadikan mereka penguasa dunia. Firman-Nya:
Dan Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman di kalangan kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa sesungguhnya akan dijadikan khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana telah dijadikanNya khalifah yang berkuasa orang-orang sebelum mereka.” (An Nur: 55)Sejarah telah membuktikan hakikat ini bangsa Arab yang sebelumnya terkenal jahil, telah bertukar menjadi bangsa yang kuat dan mulia setelah menerima Islam. Dalam jangka masa yang tidak sampai 30 tahun selepas ke-Islamannya, umat Arab telah menjadi empayar dunia. ini telah diakui oleh Saiyidina Umar Ibnul Khattab r.a dengan katanya:
“Kami bangsa Arab kuat dan berkuasa kerana Islam semata. Tanpa Islam kami tetap akan menjadi bangsa yang rendah dan terhina.”Ketetapan Allah ini tidak hanya kepada bangsa Arab, malah, Turki, Mongol, Kurdi, Tartar dan lain-lain juga telah pernah menempa zaman keagungan masing-masing dengan Islam. Inilah rahsia kekuatan yang dibina oleh pemimpin-pemimpin yang bertaqwa di kalangan bangsa-bangsa itu, seperti Nabi Muhammad dari kalnagn bangsa Arab, Muhammad Al Fateh dari bangsa Turki, Salahuddin Al Ayubi dari bangsa Kurdi dan Timurlame dari bangsa Tartar. Dengan mendaulatkan Islam, mereka menjadi bangsa yang kuat dan mulia.
Bangsa Melayu juga tidak terkecuali daripada ketetapan Allah ini. walaupun bangsa Melayu belum pernah menjadi empayar bertaraf dunia, tetapi Islam telah terbukti memuliakan bangsa ini sejak kedatangannya ke Nusantara pada kurun ke-9 Masihi. Setelah menerima Islam, bansa Melayu telah mengalami revolusi dalaman yang merubah mereka menjadi mulia dan bertamadun. Islam telah membebaskan bangsa Melayu daripada kongkongan sistem kasta ajaran Hindu dan feudal,belenggu dongeng kepercayaan animisme, tahyul paganisme, lagenda dan mitos sihir.
Dengan kedatangan Islam, barulah bangsa Melayu dapat menikmati kemerdekaan jiwa dan fikiran berteraskan iman dan ilmu. Lalu dalam masa yang singkat sahaja, bangunlah mereka dengan kekuatan barunya itu, dengan tertegaklah beberapa kerajaan Melayu Islam berpengaruh di Asia Tenggara. Contohnya, kerajan Sriwijaya Islam (dalam bahasa Arabnya Sribudza Islam) yang berhubung rapat dengan kerajaan Islam Bani Umayyah di Damsyik, kerajaan Melayu Melaka yang menjalin hubungan dengan Laksamana Cheng Ho (Haji Syed Ho) di China, kerajaan Acheh yang rapat dengan kerajaan Turki Usmaniah dan lain-lain. Kerajaan Melayu Islam ketika itu sentiasa dinaungi oleh empayar-empayar Islam yang lebih gagah didunia Islam yang lain.
Dengan Islamnya bangsa Melayu, mereka menjadi kuat, dan secara automatik bahasa mereka turut berpengaruh. Penerimaan Islam oleh bangsa Melayu telah menyebabkan bahasa Melayu mengalami proses Islamisasi. Dengan masuknya perbendaharaan ‘bahasa Islam’ kedalam bahasa Melayu, bererti satu kekuatan baru telah disuntik pada jiwa bangsa itu melalui bahasanya. ‘Bahasa Islam’ seperti ilmu, muafakat, alim, ulama dan sebagainya sudah cukup untuk membuktikan betapa teras hidup bangsa Melayu telah diperteguh sejak Islam.
Dengan itu, dominasi bahasa Sanskrit yang berhubung rapat dengan agama Hindu-Buddha telah digantikan oleh ‘bahasa Islam’. Bahasa Melayu sudah di-Islamisasikan. ‘Roh’ baru ini sangat rapat hubungannya dengan bahasa Arab dan ajaran Islam. Ini juga merupakan akibat langsung daripada penghapusan adat-istiadat warisan Hindu yang telah digantikan dengan syariat Islam dalam kehidupan bangsa Melayu.
Bahasa adalah jiwa bangsa. Bangsa Melayu dengan penerimaan iman, maka bahasanya juga kian berpengaruh. Inilah rahsia bagaimana bahasa Melayu mampu bertapak kukuh di kalangan etnik Melanesia – nama antropologi bangsa yang tinggal di Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Singapura, Burma, Vietnam, Myanmar, Sri Lanka, Afrika Selatan, dan Madagascar.
Akhirnya bahasa Melayu berjaya diangkat sebagai ‘bahasa Islam’ di gugusan Kepulauan Melayu. Para Mubaligh telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa dakwah Islamiyah. Para ulama menggunakannya sebagai bahasa persuratan untuk menterjemahkan kitab-kitab Arab mahupun menghasilkan karya-karya mereka sendiri. Para pedagang menggunakannya dalam urusan ekonomi. Pihak pemerintah, Islam atau bukan Islam, menggunakannya dalam hubungan diplomatik. Pakar hukum menggunakannya dalam menggubal undang-undang.
Oleh itu, apabila Islam berdaulat di seluruh Nusantara, maka bahasa Melayu secara automatik diterima sebagai bahasa rasminya. Faktor inilah yang menyebabkan pemuda-pemudi Indonesia mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa bagi bangsa Indonesia pada tahun 1928, walaupun ada bahasa lain, misalnya Jawa, yang kuat juga pengaruhnya. Bahasa Melayu tetap dipilih disebabkan seluruh Nusantara di-Islamkan dengan perantaraan ‘bahasa Islam’ itu.
Terbuktilah bahawa hasil perjuangan mendaulatkan Islam, bahasa Melayu telah mencapai martabatnya secara automatik. Bila kepentinagn agama didahulukan, kepentingan bahasa dan bangsa akan menyusul dengan sendirinya. Hasil pendaulatan Islam dari hujung Marauke di Timur Indonesia sehinggalah Pattani di selatan Thailand, hingga hari ini bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan lebih dari 200 juta manusia,
Bangsa dan bahasa Melayu sangat identikal dengan Islam sehingga ada anggapan Islam itu Melayu, Melayu itu Islam walaupun hakikatnya kenyataan itu tidak tepat.
Sungguhpun begitu, dalam mentakrifkan siapakah sebenarnya bangsa Melayu itu, ada pendapat di kalangan intelek yang mentakrifkan Melayu adalah: Bangsa yang memiliki satu agama (Islam) dan satu bahasa (Melayu), bukan lagi ditentukan dengan sempadan geografi. Menurut mereka, Al Quran sendiri mengakui kewujudan umat Arab, bukan kerana mereka tinggal di dunia Arab tetapi kerana mereka berbahasa Arab. Pepatah Arab ada menyatakan:
“Barangsiapa yang bercakap Arab, maka dia adalah umat Arab.”Seperkara lagi, kedatangan Islam ke Alam Melayu juga membawa bersamanya Al Quran yang wajib dibaca dan difahami oleh umatnya. Dalam proses mempelajari AlQuran inilah bangsa Melayu dapat mengubahsuaikan huruf-huruf Arab untuk digunakan dalam menulis perkataan Melayu. Huruf-huruf inilah yang telah melahirkan tulisan jawi. Dengan adanya tulisan jawi, penggunaan bahasa Melayu semakin meluas dalan bidang pendidikan, ekonomi, perundangan, pehubungan antarabangsa dan kesusasteraan.
Malangnya ‘perjalanan’ bangsa dan bahasa Melayu menuju kemuncak kegemilangannya dengan Islam itu telah tersekat dengan kedatangan penjajah mulai abad ke-16. sasaran Imperialis Barat – Portugis, Belanda, Inggeris dan Sepanyol – ialah memecah-belahkan kesatuan Melayu yang satu agama dan satu bahasa ini. Oleh kerana kekuatan Islam masih muda, ditambah pula dengan krisis dalaman oleh perebutan kuasa dan harta di kalangan umat Melayu waktu itu, maka Barat telah berjaya melumpuhkan bangsa Melayu dengan kekuatan quwwah (lahiriah).
Dengan kekuatan tentera atau tipu daya diplomatik melalui konsep ‘divide and rule’nya. Barat memisahkan bangsa Melayu disebelah Selatan (Indonesia) dari rumpun Melayu lain dan diserahkan kepada Belanda. Melaka diserahkan kepada Portugis, Filipina kepada Sepanyol dan selebihnya kepada Inggeris.
Sama seperti taktik yang dijalankan di negara-negara Arab, Barat mula meniupkan fahaman assabiah supaya kesatuan umat atas dasar seagama dan sebahasa musnah. Semangat assabiah telah mengikis kesatuan jiwa dan fikiran bangsa yang besar oleh satu bahasa dan agama, melalui sempadan geografi yang terbatas. Inilah yang melemahkan kerajaan-kerajaan kecil Islam di zaman Pertengahan, hingga mereka tidak seia-sekata lagi dalam menghadapi penjajah.
Dalam usaha menawan semula Melaka dari Portugis misalnya, kerajaan Melayu Acheh dan Johor tidak sepakat bahkan kadang-kala berperang pula sesama sendiri. Inilah yang mewujudkan perang tiga segi Portugis-Johor-Acheh, yang amat pelik itu. Dengan ini kesatuan bangsa Melayu yang dahulunya kuat semakin lemah bersama lunturnya perjuangan mendaulatkan agama.
Salah satu strategi Barat untuk melemahkan Melayu ialah memisahkan mereka daripada Islam dengan mencabut ‘roh’ Islam pada bahasa Melayu. Barat berusaha menjatuhkan bahasa daripada agama. Khazanah-khazanah para ulama Melayu berupa kitab-kitab dan manuskrip ilmu dan bukti-bukti keagungan Islam yang pernah terbina di Nusantara dimusnahkan atau ‘dilarikan’ ke negara-negara mereka.
Barat adalah bangsa yang bijak. Tindakan mereka tidaklah seperti bangsa Monggol yang buta huruf ketika membakar jutaan kitab ketika menjarah Baghdad. Namun kejahatan atas nama kebijaksanaan, tidak kurang buruknya. Maksud Barat dan Monggol sama sahaja yakni untuk memutuskan keterikatan generasi terdahulu supaya umat Islam yang dijajah hilang jatidiri lalu secara psikologi merasa inferiority complex sebagai satu bangsa kecil yang tidak beridentiti lagi.
Kini setelah puluhan tahun merdeka, segalanya telah mula berubah., setelah mencapai kestabilan politik, kepesatan ekonomi, pembangunan yang memberangsangkan, dan yang lebih penting kesedaran Islam yang tinggi, bangsa Melayu mula mencari kekuatan mereka semula.
Arus kesedaran Islam yang mula melanda Nusantara pada abad ke-9 Masihi telah melanda lagi pada akhir dekad 60-an hingga 80-an. Kali ini bukan untuk meng-Islamkan, tetapi memurnikan lagi Islam yang sedia ada.
Arus kesedaran gelombang kedua ini melanda golongan bawahan. Pada tahun 90-an, arus kesedaran gelombang ketiga mula melanda. Kali ini lebih berpotensi kerana ia melibatkan golongan korporat, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin-pemimpin politik. Hal ini tidak sahaja berlaku di Malaysia dan Indonesia, malah turut berlaku di negara-negara ASEAN yang lain.
Pada ketika inilah sejarah pendaulatan agama seligus memperkuatkan bangsa dan memartabatkan bahasa berulang lagi. Perjalanan yang disekat oleh penjajah dahulu kini bersambung semula. Dunia telah mengakui bahwa bangsa Melayulah yang paling keterhadapan dalam usaha mendaulatkan Islam disamping dalam pencapaian ekonomi.
Malaysia misalnya, telah diakui sebagai negara contoh dalam hal ini. Dunia kagum dengan peningkatan amalan-amalan Islam rakyat Malaysia yang terjadi begitu harmoni dalam sebuah masyarakat majmuk.
Kerajaan Malaysia dan juga negara-negara Nusantara yang lain adalah kejayaan bangsa Melayu. Ini tentunya merangsang bahkan ‘memaksa’ dunia antarabangsa mendekati bangsa Melayu secara lebih terperinci. Pemikiran dan minda Melayu semakin tinggi nilainya. Dah tentunya salah satu aspek yang tidak boleh disisihkan selain agama ialah bahasa, kerana bahasa adalah pakaian bagi pemikiran.
Pemikiran, wawasan dan perancangan para ilmuwan, pemimpin dan aktivis Melayu kini mula terserlah setelah terpendam puluhan tahun angkara penjajahan. Sarjana-sarjana luar negara pasti menanti-nanti untuk mendalami pemikiran ini yang tentunya secara first hand diluahkan dalam bahasa Melayu.
Hasrat untuk mengetahui ucapan dan tulisan bangsa Melayu boleh dibuat dengan cara penterjemahan, tetapi untuk menjiwai pemikiran Melayu tentulah dengan mempelajari bahasa Melayu itu sendiri. Sungguhpun begitu, usaha penterjemahan tulisan dan ucapan itu juga akan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Tidak hairan di tengah keghairahan membesarkan lagi keluarga ASEAN dengan memasukkan sekali Vietnam dan Myanmar, bahasa Melayu akan diterima sebagai bahasa rasmi seperti yang terkandung dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka di Kuala Lumpur baru-baru ini. Jalan ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa teknologi, bahasa diplomatik sudah direntang.
Malah, tidak mustahil mungkin juga jalan-jalan ke arah menjadikan Melayu ‘bahasa Islam’ di Nusantara sepertimana yang berlaku dalam sejarahnya. Apakah ini kaedah bahasa Melayu mencapai tahap globalisasi selaras dengan pandangan para intelek seperti Malek Ben Nabi, Alvin Toffler dan Prof. Fazlur Rahman tentang dominasi Islam Alam Melayu pada masa akan datang?
Jika track record berdasarkan sejarah bangsa-bangsa yang pernah menjadi empayar diambil kira, hal ini boleh dicapai dengan syarat 200 juta bangsa Melayu benar-benar serius dalam mendaulatkan agama. Dengan Islam menjadi matlamat, bangsa dan bahasa menjadi alat, maka Allah akan diagungkan dengan sifat taqwa.
Bila bertaqwa, bangsa yang kecil sekalipun, akan besar kerana membesarkan Allah. Betapalah bengsa Melayu, bangsa yang memang besar…
1 komen:
Terima kasih tuan :)
Catat Ulasan