TAQWA bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan الله. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan. Bukan juga setakat meninggalkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada الله. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada الله. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja dan bukan setakat beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada الله semata-mata.
Takrif TAQWA
Bila disebut TAQWA, kebanyakkan dari kita memahaminya sebagai takutkan الله. Takut kepada الله hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat TAQWA tetapi ia bukan TAQWA. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.
TAQWA berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat الْقُرْآنَ seperti berikut:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” (At Tahrim: 6)Kerap di dalam الْقُرْآنَ, ALLAH menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil الله sebagai pemelihara/ pembenteng/ pelindung. Iaitu hendaklah jadikan الله itu pelindung. Jadikan الله itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng الله, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan الله itu dinding dari kejahatan. [1]
Usaha untuk menjadikan الله sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh الله lahir dan batin. Dengan kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina sifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah (terpuji) itulah usaha bagi menjadikan الله itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah TAQWA.
TAQWA atau wiqoyah telah disalahertikan. Maksudnya telah disempitkan. Ia sebenarnya adalah lebih global dan luas. Ia adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, berkasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan sebagainya. Seluruh sifat mahmudah itulahTAQWA. Jadi, besarlah erti TAQWA. Ia membawa keselamatan dunia dan Akhirat.
Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah, maknanya yang sebenar ialah:
‘Hendaklah kamu mengambil الله sebagai pemelihara!'
Untuk menjadi orang yang BERTAQWA ertinya:
- Orang yang berada dalam perlindungan الله atau dalam pemeliharaan الله;
- Orang yang berada dalam benteng dan kubu الله. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut (Eng: penetrate) dan tidak mengenai dirinya.
- Orang BERTAQWA itu seolah-olah telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru.
TAQWA adalah perkara dalaman dan banyak melibatkan amalan HATI. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil, benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas kasihan dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda:
“TAQWA itu terletak di sini”, sambil beliau صلیﷲ علیﻪ و سلم menunjuk ke dada/HATI beliau tiga kali.” [Hadith Riwayat Muslim]Orang yang BERTAQWA adalah orang yang luar biasa. Sebab dia manusia yang mempunyai bersifat malaikat. Sifat-sifat malaikat persis ada dalam dirinya. Orang BERTAQWA sahaja yang akan selamat di dunia dan di Akhirat.
Asas TAQWA
Asas TAQWA yang lahir bermula dari aqidah yang betul diikuti dengan solat, puasa, zakat dan naik haji. Itu adalah asas TAQWA. Kalau asas TAQWA ini tidak wujud, artinya kita tidak mempunyai benih untuk ditanam. Kalau tidak ada benih, masakan akan ada pokoknya. Amalan-amalan yang lain adalah sebagai tambahan.
Asas TAQWA yang ruhaniya ialah rasa kehambaan yang sungguh mendalam. Di antaranya rasa serba-serbi dhaif, lemah, hina di sisi Allah SWT. Rasa diri benar-benar dimiliki oleh الله. Rasa diri tidak punya apa-apa.
Diri yang rasa lemah itu sangat merasakan ianya terdedah kepada berbagai kerosakan dan cacat cela. Tiada daya, tiada upaya dan tidak mampu berbuat apa-apa. Rasa kehambaan yang mendalam ini menjadikan hati penuh pasrah, merintih, mengharap dan memohon setiap sesuatu itu hanya dari الله.
Amalan TAQWA
Amalan TAQWA pula bukan sekadar apa yang terkandung di dalam rukun Islam seperti puasa, zakat, haji dan solat sahaja. Bukan setakat membaca الْقُرْآنَ atau berwirid dan berzikir sambil mengira tasbih. Bukan juga beruzlah (menyendiri ditempat sunyi), menjauhkan diri dari orang ramai. Amalan TAQWA bukan sahaja di surau atau di masjid.
Amalan TAQWA adalah apa sahaja amalan dan perbuatan di dalam kehidupan yang berlandaskan syariat sama ada yang fardhu, wajib, sunat atau harus atau apa sahaja amalan dan perbuatan yang dijauhi dan ditinggalkan sama ada yang haram atau makruh yang dibuat berserta ROHNYA iaitu ada batinnya (bersifat ruhaniyah), penghayatan dan penjiwaannya. Dengan kata-kata yang lain, ada terkait dengan akal, ROH dan terhubung dengan الله, dibuat kerana الله dan mengikut cara yang الله kehendaki.
Apa saja yang dilakukuan atau ditinggalkan itu berkait dan kerana الله maka itulah TAQWA. Amalan yang tidak berkait dan tidak dibuat kerana الله, itu adalah amalan kosong, yang tidak ada nyawa, jiwa atau ROHNYA. Ia tidak sampai kepada الله dan tidak ada apa-apa nilai di sisi-Nya.
Firman ALLAH dalam Surah al-Hajj, ayat 37:
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu."Di dalam Islam, di samping ibadah lahiriah, terdapat banyak ibadah batiniah atau ibadah yang bersifat ruhaniyah. Ibadah lahir banyak syarat rukun dan sah batalnya.
Tetapi ibadah batiniah (ruhaniyah atau dalaman) tidak mengira tempat, waktu, masa, suci atau berhadas, haul atau nisabnya. Ia boleh dilakukan bila-bila masa.
Ini termasuklah bertafakkur, muhasabah diri, musyahadah, mujahadah, bertaubat, merintih dengan الله, sabar dalam menanggung sakit, ujian, musibah, cacian, kehinaan dan makian orang, menyuburkan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan dan berzikir di hati. Ini semua adalah amalan rohani yang boleh menghasilkan TAQWA.
Arahan Supaya BerTAQWA
Allah SWT berfirman:
“Hendaklah kamu bertaqwa kepada الله sejauh yang termungkin (menurut kesanggupanmu, sedaya upaya).” (At Taghabun: 16)Sejauh yang termungkin di sini bermaksud turun-naik nafas mesti dijadikan TAQWA. Mendengar, melihat, makan minum, berjalan, berhibur, semuanya mesti dijadikan amalan TAQWA. Jangan ada satu hembusan nafas yang tidak jadi TAQWA. Jangan ada seulas nasi yang tidak jadi TAQWA. Jangan ada satu pendengaran atau satu penglihatan yang tidak jadi TAQWA. Malahan jangan ada satu apa pun dalam hidup ini yang tidak membawa kepada TAQWA. Itulah maksud sejauh yang termungkin dalam mengusahakan TAQWA.
Beramal Untuk Menambah TAQWA
Firman Allah SWT (artinya):
“ Dan hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah (sifat) TAQWA. Dan bertaqwalah pada Aku, wahai orang-orang yang berakal (al-bab)” (Al Baqarah: 197)Di dalam ayat di atas ini الله menyuruh kita supaya sentiasa menambah sifat TAQWA. Kerana sifat TAQWA ini adalah bekalan kita di Akhirat. Ia juga untuk mendapat bantuan الله di dunia dalam berbagai bentuk. Itulah yang merupakan khawariqul ‘adah. Kalau bagi Rasulullah SAW dikatakan mukjizat. Kalau bukan di zaman Rasulullah dikatakan keramat atau berkat atau rahmat dari الله.
Seperti yang pernah berlaku dan dipaparkan dalam sejarah, dalam peperangan, umat Islam yang sedikit boleh mengalahkan musuh yang ramai, atau mendapat rezeki dari sumber yang tidak diduga dan lain-lain lagi contoh yang banyak berlaku di kalangan para Sahabat. Itu dikurniakan الله di dunia, tetapi yang paling utama ialah di kurniaan الله di Akhirat.
الله sebut dalam firman-Nya di atas, hendaklah kita senatiasa menambah bekalan iaitu sifat TAQWA. Kita disuruh membangunkan asset (harta) di Akhirat sambil mendapat pertolongan dan bantuan الله di dunia. Menambah sifat TAQWA ini mestilah di atas landasan syariat. Yang asas-asasnya ialah solat, puasa, zakat dan haji. Itu asas atau tapak untuk menambah TAQWA.
Sifat TAQWA banyak di tengah-tengah kehidupan. Bukan di masjid atau di surau sahaja. Membantu orang, bersatu padu, berkasih sayang, menyelesaikan masalah orang dan berkerjasama, itu semua adalah amalan TAQWA.
Di atas penglihatan, pendengaran, gerakan tangan, gerakan kaki ke tempat-tempat yang kita pergi. Malahan ia berlaku dalam apa sahaja aktiviti hidup kita. Di situlah kita akan dapat TAQWA.
TAQWA Itu Perkara Dalaman
Syariat itu adalah rangka. Kalau rangka sahaja yang ada, tidak bernyawa, tidak ada roh, maka tidak ada erti apa-apa.
Kita contohkan dalam ibadah asas, seperti solat. Rukuk, sujud dan bacaan-bacaan itu rangka. Kalau hanya badan sahaja yang rukuk, tetapi hati tidak rukuk ertinya kita hanya bawa rangka.
Kita hanya bawa rangka yang dalamnya KOSONG. Kalau badan sahaja yang sujud, hati tidak sujud, ertinya rangka sahaja yang sujud. Sebab itu kadang-kadang dalam meniti di atas Syariat pun, dalam melaksanakan ibadah fardhu pun, kita tidak dapat menambah TAQWA. Padahal itu ibadah asas. Kalau kita membawa atau laksanakan itu rangka sahaja tetapi tidak besertakan roh (ruhaniyah) maka ibadah seperti itu tidak akan menambahkan TAQWA.
Kebanyakan perkara2 yang melibatkan pencapainTAQWA adalah perkara ruhaniyah, paling tidak ia bersifat maknawiyah. Kalau tidak ada ruhaniyah, walaupun ibadah itu tampak sempurna, walaupun ia menjadi bualan orang-orang setempat, namun ia adalah kosong. Solat kosong, haji kosong, pekerjaan (occupation), pendidikan kosong. Ianya tidak bernyawa dan tidak bernilai di sisi الله. Padahal itu perkara-perkara yang melibatkan syariat, namun kalau tidak ada rohnya, ia tidak boleh menambah TAQWA.
Mengusahakan TAQWA
Mengamalkan Islam yang lahir itu, seperti solat fardhu dan sunat, puasa, zakat, baca dan tadabbur الْقُرْآنَ, wirid dan zikir, tujuannya supaya kita menjadi orang BERTAQWA. Namun kalau kita boleh beribadah seperti itu dua puluh empat jam sehari pun, yang kita akan dapat dari usaha itu hanya 10% sahaja dari nilai TAQWA keseluruhannya.
Tetapi untuk mencapai tingkatan 10% itu pun bukan mudah. Bukan mudah untuk bangun solat malam, berpuasa, berzakat dan bersedekah, tadabbur الْقُرْآنَ dan wirid zikir. Untuk mendapat TAQWA cara lahiriyah itu pun amat susah.
Untuk mencapai TAQWA sepertimana yang dikehendaki 90% dari usahanya berada dalam bentuk yang tersirat yang bersifat maknawiyah dan ruhaniyah. Pencapaiannya adalah lebih susah untuk diperolehi. Bukan mudah hendak takut dengan اللهkerana ia menyentuh soal ruhaniyah. Ia bersifat rasa (feel). Bukan mudah hendak cinta الله. Ia juga soal ruhaniyah. Lebih mudah untuk kita cinta anak isteri dari cinta الله. Bukan mudah untuk rasa bertuhan. Bukan mudah untuk bawa rasa bertuhan ke mana-mana. Bukan mudah hendak bawa rasa bertuhan kalau tidak dididik dari kecil lagi. Kecualilah bagi orang yang الله hendak anugerahkan rasa bertuhan itu. Tetapi berapa ramai orang yang begitu?
Bukan mudah hendak terasa hebatnya الله dan rasa diri kita kerdil dan dha’if . Ketika solat, bagaimana hendak lahirkan rasa “tersentuh” dengan apa yang dibacakan sehingga bergelombang dan gementar hati kita - tidaklah mudah. Bila disebut Allahu Akbar, ada sejenis rasa, bila disebut Alhamdulillah, ada satu rasa lagi yang lain. Berbagai ayat yang kita baca, berubah-ubah rasa kita. Ini bukan mudah. Soal lafaz lain. Soal rasa pula lain. Sedangkan 10% TAQWA itu dari ibadah lahir manakala 90% adalah dari ibadah batiniah atau ruhaniyah yang seperti ini yang ada lahir daripada HATI.
Tidak menjadi kesalahan atau dosa menjjadi orang kaya tetapi bukan mudah untuk tidak cinta harta dan kekayaan kita itu. Padahal الله benarkan kita jadi kaya, hanya الله tidak benarkan kita mencintai kekayaan kita itu.
Sepatutnya bila dapat jawatan (pangkat atau kedudukan), kita rasa malu dan menangis kerana rasa tidak layak dan takut kita akan lupa diri dan tidak pandai bersyukur. Kerana kita tahu bahawa hakikatnya, jawatan itu dari الله. Tetapi sebaliknya kita rasa bangga dan rasa jadi tuan.
Dalam mengusahakan TAQWA ini, yang perkara-perkara luaran yang yang berasaskan syariah, hukum-hukum fiqah, perbuatan kena dilaksanakan menurut yang telah disyariatkan, tetapi prioritinya ialah perkara-perkara dalaman yang melibatkan HATI, deria-rasa. Jadi mengamalkan amalan Islam dengan tujuan hendak menjadi orang BERTAQWA, yang lahir 10% sahaja, yang dalam (ruhaniyah) adalah 90%. Yang luar walaupun hebat, kalau yang dalam kosong, kita akan masuk Neraka sekiranya الله tidak ampunkan kita.
Rasulullah SAW mengambil masa tiga belas tahun di Mekah untuk menanam iman dan TAQWA di hati para Sahabat. Selama sepuluh tahun kemudian, barulah Baginda melaksanakan perintah dan syariat ALLAH – membangun negara kecil yakni di Madinah. Dibangunkan madrasah yang menjadi kilang untuk mengeluarkan para ilmuan yang BERTAQWA sebagai penyambung dan pelapis perjuangan. Dibangunkan ekonomi dengan membuka pasar Ansar yang diuruskan oleh Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya tiga perempat dunia menyerah diri kepada Islam. Semua itu bertolak dari TAQWA.
Itulah cara perjuangan Islam yang dibuat oleh Rasulullah SAW. Dan itulah satu-satunya cara yang benar dan tepat.
Roh Amal
Islam itu ada lahir, ada batin. Ada jasad, ada roh. Ada rangka, ada nyawa. Islam itu ada kulit dan ada isi. Batin Islam atau roh Islam atau nyawa Islam atau intipati Islam itulah yang dikatakan rohul amal.
Rohul amal inilah yang hendak kita jaga sungguh-sungguh kerana ia merupakan nyawa bagi amalan kita di samping kita tidak pula menafikan amalan atau syariat lahir. Roh amal inilah tempat jatuh pandangan الله kerana ia merupakan intipati amal. Itulah perkara yang الله nilai. الله tidak pandang amalan lahir kita kalau rohnya tidak ada. Justeru itu, kita beribadah mesti ada roh. Berdakwah dan berjihad, mesti ada roh. Begitu juga bermusafir, bergaul, berdoa, berzikir, berekonomi, bertani dan sebagainya mesti ada roh.
Amalan yang tidak ada roh samalah seperti manusia yang tidak ada nyawa. Ertinya sudah dianggap kosong.
Menghadirkan Roh Dalam Amalan
Hendak wujudkan, hendak lahirkan dan hendak hadirkan roh dalam aktiviti kita, usaha kita, tindak-tanduk kita dan dalam aspek apa sahaja, itu yang susah. Kadang-kadang kita ingat, tetapi diganggu.
Sebab itu selepas solat, selepas buat baik, kita disuruh istighfar? Mengapa? Kalau selepas buat jahat kita disuruh istighfar – itu lebih logiklah. Kenapa pula kita disuruh istighfar selepas membuat kerja atau amal baik? Sebab kita takut, takut kita tidak dapat TAQWA dalam solat atau dalam amalan baik yang kita lakukan itu. Takut-takut dalam amalan kita itu tidak ada rohnya dan الله tidak pandang.
Mengapa pula selepas berdakwah, selepas mengajar, selepas berniaga, kita tidak istighfar? Mengapa selepas berniaga kita tidak menung sekejap. Patutnya balik sahaja dari berniaga kena merenungkan apa yang telah kita buat dan bertaubat. Sebab mungkin berniaga kita tidak ada roh. Hanya dapat KOSONG sahaja. Patutnya di situlah kita minta ampun sebab mungkin ada orang yang telah kita zalimi, yang telah kita sakiti, yang tidak senang dan yang sakit hati dengan kita semasa kita berniaga dan berurusan dengan pelanggan. Mengapa balik berniaga tidak minta ampun kepada الله?
Kalau kita boleh buat seperti ini, الله akan selamatkan kita. Sifat TAQWA akan bertambah. Untung di dunia lagi الله akan berikan. Memang sifat TAQWA itu untuk Akhirat, tetapi TAQWA juga memberi kita untung dunia untuk keperluan di dunia.
Wallahua'lam.
Sumber Rujukan :
http://www.usahataqwa.com/TAQWA/apakah-sebenarnya-TAQWA.html
http://www.lightofislam.info/phpBB3/viewtopic.php?f=12&t=601
0 komen:
Catat Ulasan