Assalamualaikum.
Alhamdulillah, ikuti sambungan siri Jom Ke Masjid!.
Ketiga
Allah SWT Merasa Hairan Dengan Solat Berjemaah
Hadis berikut ini menerangkan bahawa Allah SWT sendiri merasa hairan dan takjub apabila ditunaikan solat fardhu secara berjemaah. Hadis ini juga menjadi dalil betapa besarnya kelebihan yang bakal diterima bagi mereka yang menjaga solat berjemaah. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:
Daripada Abdullah bin Umar RA, katanya: "Suatu hari saya dengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT sangat hairan dan takjub dengan solat yang didirikan secara berjemaah".Alangkah bahagia dan beruntungnya mereka yang melakukan suatu amalan yang Penciptanya sendiri merasa hairan, kagum dan takjub dengan amalannya!!.
Keempat
Keampunan Bagi Orang Yang Solat Berjemaah Selepas Menyempurnakan Wudhu'
Rasulullah SAW telah memberitakan bahawa solat berjemaah yang didirikan melalui perantaraan wudhu' yang sempurna akan menjadi sebab yang kukuh bagi Allah mengampunkan dosa hambanya. Ini juga salah satu kurniaan dari Allah SWT yang menandakan besarnya kelebihan solat berjemaah. Dalam hal ini, Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis yang bermaksud:
Daripada Uthman bin 'Affan RA, katanya: "Suatu hari saya telah dengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwudhu' untuk solat, lalu menyempurnakan wudhu'nya, kemudia dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardhu, lalu dia pun menunaikannya bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya".Kelima
Bertambah Kelebihan Solat Berjemaah Dengan Bertambahnya Bilangan Ahli Jemaah
Kita sebagai umat Islam perlu mengambil berat dan bersungguh-sungguh menjaga solat berjemaah kerana Allah SWT akan menggandakan kelebihan solat berjemaah dengan bertambahnya bilangan ahli jemaah. Dalam hal ini, Imam Abu Daud telah meriwayatkan satu hadis yang bermaksud:
Daripada Ubai bin Ka'ab RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: "Sesungguhnya solat berjemaah yang dilakukan oleh dua orang lelaki lebih afdhal di sisi Allah berbanding kedua-duanya melakukannya secara bersendirian. Begitu juga solat berjemaah tiga orang lelaki lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat berjemaah yang dilakukan oleh dua orang lelaki sahaja. Semakin ramai jemaah maka ianya semakin disukai di sisi Allah SWT".Perhatikan juga riwayat daripada Imam al-Bazzar yang bermaksud:
Daripada Qabath bin Asyim al-Laithi RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: "Solat dua orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah berbanding solat yang dilakukan oleh empat orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat empat orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh lapan orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat lapan orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh seratus orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian".Kesimpulannya berdasarkan kepada hadis di atas, marilah kita semua datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana semakin ramai ahli jemaah maka semakin banyak pahala dan ganjaran yang kita dapat. Janganlah kita mencipta berbagai alasan bertujuan untuk mengelakkan diri kita daripada datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana yang ruginya adalah diri kita sendiri!!
Wallahua'lam.
bersambung..
0 komen:
Catat Ulasan