12 Januari 2011

Jom Ke Masjid Siri 2 : Nilai Solat Berjemaah di sisi Masyarakat Kita Masa Kini


Dewasa ini kita dapati dengan ketara kebanyakan umat islam kurang perasaan ingin berlumba-lumba khususnya dalam menunaikan  solat fardhu secara berjemaah.

Mungkinkah perkara ini berlaku disebabkan kefahaman dalam mazhab kita yang menghukumkan solat fardhu secara berjemaah ini hanya fardhu kifayah maka mereka dengan mudah membuat kesimpulan bahawa menunaikan solat fardhu secara berjemaah ini cukuplah dengan orang lain yang melakukannya sahaja. Ada dikalangan mereka pula yang membuat pantun ringkas yang berbunyi "Fardhu Kifayah, Orang Buat Aku Tak Payah". Bagi yang muda berkata "biarlah orang-orang tua yang buat". Bagi yang tua pula berkata "takpelah nanti dah pencen baru nak nak tumpu masa sepenuhnya di masjid".

Kesan daripada fahaman sedemikian, masyarakat kita terlalu memandang sepi dan mudah dengan solat berjemaah solah-olah ianya tidak ada nilai dalam kehidupan mereka. Justeru itu, bila kita bertandang ke mana-mana masjid pun di negara kita hari ini, kita akan dapati bilangan ahli jemaah cukup mendukacitakan. Kadang-kadang ada setengah masjid, tiang lebih banyak dari ahli jemaahnya.

Cuba kita perhatikan dua hadis berikut yang mempunyai kaitan dengan perbincangan kita sekarang iaitu :

Hadis Pertama
Daripada Abu Mas'ud al-Ansori RA, katanya "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah merapatkan bahu-bahu kami ketika hendak didirikan solat sambil Baginda SAW bersabda: "Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu. Jangan jadikannya bengkang bengkok, nescaya nanti akan berselisih hati-hati kamu. Hendaklah saf paling dekat dengan aku terdiri daripada orang cerdik pandai dan matang fikirannya dari kalangan kamu. Kemudian hendaklah mengikuti saf seterusnya orang yang baligh tetapi belum matang pemikirannya atau orang-orang yang hampir mencapai umur baligh. Kemudian hendaklah mengiringi saf seterusnya kanak-kanak yang telah mumayyiz dan yang sepertinya". Berkata Abdullah bin Mas'ud: "Aku melihat kamu semua hari ini sangat kuat berselisih dan bertelingkah". (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis Kedua
Daripada Abdullah bin Umar RA, katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika melurus dan merapatkan saf dan jangan sekali kali membiarkan ruangan-ruangan kosong dalam saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya nescaya Allah SWT akan menyambungkan rahmatNya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmatNya dan inayahNya daripada orang tersebut". (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)
Ulasan
Dalam hadis pertama kita dapati bahawa Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa saf solat yang bengkang bengkok akan membawa kepada perpecahan dalaman iaitu hati. Kata sebahagian ulama', bila hati tidak bersatu maka perpaduan tidak akan wujud. Seterusnya ia akan membawa kepada perselisihan dan pertlingkahan di dalam masyarakat islam.

Dalam hadis kedua pula, Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa saf yang tidak rapat akan membawa kepada putusnya hubungan dengan Allah SWT. Ini berlaku kerana bila solat tidak rapat maka syaitan akan datang mengambil tempat itu. Lalu dia melalaikan ahli jemaah sehingga mereka tidak lagi mengingati Allah SWT. Ini menyebabkan terputus hubungan mereka dengan Allah SWT. Dua janji buruk ini, jika benar-benar berlaku, maka ianya sudah cukup untuk menghancurkan kekuatan umat islam dan melemahkan mereka selemah-lemahnya.

Persoalannya adakan dua janji buruk tersebut sudah tertimpa ke atas masyarakat kita atau sebaliknya? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita cuba meninjau bagaimanakah kedudukan dan keadaan umat islam masa kini?

Bila kita perhatikan dan amati, kesimpulan akan kita perolehi bahawa umat islam sekarang sangat-sangat menyedihkan. Di sana sini umat Islam hidup dalam kehinaan, samada kehinaan itu berpunca daripada tindakan dan strategi tersusun yang dirancang oleh pihak musuh Islam atau disebabkan oleh budaya hidup umat islam itu sendiri. Kita lihat di mana-mana sahaja umat Islam hidup berpecah belah dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Ini semua terjadi tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan mereka meninggalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW pada umumnya dan solat berjemaah khususnya.

Dalam konteks solat fardhu berjemaah, mereka bukan sahaja memutuskan atau membengkang-bengkokkan saf solat, malah langsung tidak mewujudkan apa-apa saf solat kerana mereka tidak menghadiri solat berjemaah!. Ini membawa maksud mereka sekarang sedang berada di dalam perpecahan yang dahsyat dan perselisihan yang berganda-ganda!!!..

Untuk keluar daripada kepompong masalah dan penyakit tersebut, formula terbaiknya ialah kita semua umat Islam perlu kembali berlumba-lumba menunaikan solat berjemaah. Kita perlu menghormati sesiapa sahaja yang berjuang mengajak umat Islam kepada solat berjemaah, memberi kerjasama yang padu dan sebaik-baiknya kepada mereka dan sebagainya.

Kita ajak mereka bersama-sama menghadap ke arah kiblat, sebagai lambang bersatunya hati kita di atas dasar sebenar iaitu sama-sama mempunyai matlamat yang satu iaitu mencari keredhaan Allah SWT.

Semasa kita solat, bukan hanya dada dan muka sahaja kita hadapkan ke arah kiblat, malah setiap anggota badan kita daripada  hujung rambut sampailah hujung kaki, semuanya kita hadapkan ke arah kiblat. Ini bermakna kalau kita benar-benar ingin mengamalkan ajaran Islam yang syumul dalam seluruh kehidupan kita, maka asasnya adalah bermula daripada solat berjemaah.

Bila kita mampu beristiqamah dengan solat berjemaah barulah kita mampu kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah di dalam perkara-perkara ekonomi, sosial, politik, ketenteraan dan sebagainya. Bila kita sudah mengamalkan Islam dalam seluruh sistem kehidupan kita, maka di saat itu, barulah kita akan berjaya mencapai matlamat utama iaitu "mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat". Bertitik tolak dari sinilah maka "hidup di dunia dihormati kawan dan digeruni lawan, hidup di akhirat mendapat Syurga Allah SWT" InsyaAllah, amin..

bersambung..


1 komen:

Tanpa Nama berkata...

slam,boleh x tuan ber tahu kitab2 rujukan tuan,saya amat berbesar hati jika dapat mengetahuinya..

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.