11 Januari 2011

Jom Ke Masjid Siri 1 : Nilai Solat Berjemaah di sisi Salafus Soleh


Di dalam kitab المنح السنية على الوصية المبتولية, karangan al-Qutub al Sya'rani menyatakan bahawa mereka yang hidup pada sepanjang tiga kurun pertama yang dikenali sebagai Salafus Soleh beranggapan bahawa terlepas daripada menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah suatu musibah suatu bala daripada Allah SWT.

Pernah suatu ketika, ada seorang lelaki pergi ke kebun kurmanya. Apabila dia pulang, didapatinya orang ramai sudah pun selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah. Dalam keadaan sedemikian, dia lantas menyebutkan "ان لله وانا اليه راجعون, aku telah terlepas solat berjemaah. Bersaksikan kamu semua, dengan ini aku mengisytiharkan sesungguhnya kebun kurmaku itu, aku sedekahkan kepada fakir miskin".

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa suatu ketika Abdullah bin Umar RA telah terlepas daripada melaksanakan solat Isyak berjemaah. Dengan sebab itu, dia telah mengulangi solat Isyak sepanjang malam sehingga terbit fajar. Tujuannya ialah untuk menampung kekurangan pahala yang berlaku kerana ketinggalan solat berjemaah tadi.

Begitu juga kisah yang diriwayatkan mengenai Abdullah bin Umar al-Qawariri, katanya: "Aku tidak pernah tertinggal solat fardhu berjemaah sehinggalah pada suatu malam aku telah didatangi tetamu. Dengan sebab sibuk melayan mereka, maka aku telah terlepas daripada menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid. Namun begitu aku pergi juga ke masjid dengan niat untuk solat berjemaah, tetapi setibanya aku di sana, aku dapati masjid sudah pun berkunci, Justeru itu, aku pulanglah ke rumah dengan perasaan penuh kecewa. Hatiku berbisik: Rasulullah ada bersabda: "Sesungguhnya solat berjemaah kelebihannya mengatasi solat bersendirian sebanyak 27 darjat".

Oleh itu, aku pun melakukan solat Isyak pada malam itu sebanyak 27 kali dan selepas itu aku pun tidur. Di dalam tidur aku bermimpi melihat aku sedang menunggang kuda bersama-sama orang kampungku. Tetapi yang peliknya mereka berada di hadapanku dan aku pula berada di belakang mereka. Aku telah memacu kudaku selaju-lajunya. Puas aku melakukannya tetapi aku tidak dapat mengejar mereka.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka berpaling ke arahku sambil berkata: "Engkau hanya memenatkan kudamu sahaja! Engkau tidak akan dapat mengejar kami". Lantas aku bertanya kepadanya: "Mengapa?" Jawabnya : "Kerana malam tadi kami solat Isyak secara berjemaah, sedangkan engkau hanya melakukannya bersendirian. Selepas dialog itu aku pun terus terjaga dari tidurku dengan perasaan penuh kesedihan.

Sebahagian ulama' Salaf berpendapat bahawa seseorang itu tidak akan terlepas dan tertinggal daripada solat berjemaah melainkan kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya. Pada umumnya masyarakat di zaman itu berpandangan bahawa solat berjemaah adalah suatu ibadah yang sangat penting dalam kehidupan mereka. Jika ada di antara mereka yang terlepas solat fardhu berjemaah satu waktu sahaja, maka seluruh anggota masyarat yang lain akan mengucapkan takziah berlanjutan selama seminggu. Ada riwayat yang menyebutkan walaupun hanya terlewat satu rakaat sahaja.

Begitu juga, mereka akan mengucapkan takziah selama tiga hari kepada sesiapa yang terlewat dan tidak mendapat Takbiratul Uula bersama-sama imam.

Melihat kepada catatan di atas, marilah kita semua cuba menghayati kepentingan solat berjemaah untuk kebahagian hidup di dunia dan akhirat! InsyaAllah.

Nantikan siri berikutnya insyaAllah...



2 komen:

osman berkata...

blog masjid ini saya linkkan di blog islamic sentral http://i-sentral.blogspot.com/

Tanpa Nama berkata...

Syukran akhi Osman..mudah²an bermanfaat insyaAllah :)

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.