14 Januari 2011

Jom Ke Masjid Siri 3 : Kelebihan Solat Berjemaah (1-2)

Di antara anugerah Allah SWT yang terbesar kepada hambanya ialah memperuntukkan ganjaran berlipat kali ganda untuk mereka yang melakukan solat berjemaah. Pengurniaan ini bermula semenjak terikatnya hati seseorang hamba Allah dengan masjid, kemudian disusuli dengan tindakan menuju ke masjid kerana ingin melakukan solat berjemaah, seterusnya berurutan dan berurutan di mana penghujungnya ialah selesainya hamba Allah itu dari solat jemaahnya dan kembalinya ke rumah.

Dalam pada itu pula, Allah SWT juga telah memperuntukkan pahala istimewa kepada hambaNya yang melaksanakan solat Subuh, Asar dan Isyak secara berjemaah. Untuk lebih meyakinkan lagi perhatikan hadis-hadis daripada Rasulullah SAW yang telah menceritakan tentang kelebihan solat fardhu berjemaah di bawah tajuk-tajuk seperti berikut:

Pertama

Kelebihan Solat Berjemaah Berbanding Solat Bersendirian

Di antara kelebihan yang sudah dimaklumi ialah bergandanya pahala solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Mengenai kelebihan ini, Imam Bukhari telah meriwayatkan suatu hadis sahih yang bermaksud :

Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, katanya: "Suatu hari saya telah dengar Rasulullan SAW bersabda : "Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 25 kali ganda".

Terdapat di dalam hadis lain sesungguhnya solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda. Hadis ini antaranya telah diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

Daripada Abdullah bin Umar RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: "Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian 27 kali ganda".

Ada kalangan ulama telah menghuraikan dan menyatukan kembali percanggahan yang berlaku di antara dua riwayat ini. Masing-masing telah memberikan alasan-alasan mereka mereka yang tersendiri. Kesimpulan secara keseluruhannya perbezaan bilangan fadhilat adalah bergantung kepada keadaan orang yang solat dan jenis solat itu sendiri. Mereka yang khusyuk dalam solatnya dan menyempurnakan segala bacaan dalam solat sudah pasti akan mendapat lebih fadhilat berbanding mereka yang sebaliknya. Ahli jemaah yang ramai, tempat yang mulia seperti Masjidil Haram dan Imam yang alim sudah pasti lebih banyak fadhilat berbanding dengan yang sebaliknya. Justeru itu, ada setengahnya mendapat fadhilat 27 kali ganda dan setengahnya pula mendapat 25 kali ganda.

Kedua

Tinggal di Bawah Naungan Allah SWT di Hari Akhirat Kelak

Hadis berikutnya menerangkan bahawa sesiapa yang bersangatan rindunya untuk ke masjid semata-mata kerana ingin melakukan solat secara berjemaah, sesungguhnya Allah SWT akan meletakkan hambaNya itu di bawah naunganNya di Padang Mahsyar kelak pada hari yang tidak ada naungan melainkan naunganNya sahaja.

Janji Allah SWT ini telah disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, katanya: "Ada tujuh golongan manusia yang akan ditempatkan oleh Allah di bawah naunganNya pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan Allah iaitu: Imam yang adil, pemuda yang membesar (Hidup) dalam keadaan (sentiasa menjaga) ibadatnya kepada Tuhannya (iaitu Allah), lelaki yang hatinya sentiasa bertaut kepada masjid-masjid (Allah), dua orang lelaki lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah (iaitu) keduanya bertemu dan berpisah kerana Allah, lelaki yang digoda (untuk berzina) oleh mana-mana perempuan yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu dia menjawab:"sesungguhnya aku takut kepada Allah", lelaki yang suka bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan (akhir sekali ialah) lelaki yang sentiasa mengingati Allah ketika bersendirian, lalu mengalirlah air mata dari kedua-dua matanya (kerana takutkan Allah)".

Dalam satu riwayat daripada Imam Malik pula bermaksud :

"Lelaki yang hatinya bertaut dengan masjid (iaitu bermula dari) apabila dia keluar dari masjid sehinggalah dia kembali (semula) kepadanya".

Berkata Imam al-Nawawi ketika mentafsirkan sabda Nabi SAW tersebut; "Maknanya ialah bersangatan mengingati masjid dan sentiasa beristiqamah pergi ke masjid kerana solat berjemaah. Bukan ianya bermaksud berterusan duduk dalam masjid".

Al-Allamah al-'lini ketika mengulas mengenai pengajaran yang dapat disimpulkan daripada sabda Nabi SAW tadi pula berkata: Dalam hadis diterangkan kelebihan yang bakal diperolehi bagi sesiapa yang beristiqomah ke masjid untuk solat berjemaah. Kelebihan sedemikian diberikan kerana masjid adalah rumah Allah, rumah bagi setiap yang bertaqwa. Memang sudah menjadi adat dan kelaziman orang yang diziarahi akan menghormati orang yang bertandang. Justeru itu, cuba bayangkan bagaimana penghormatan yang akan kita dapat daripada seMulia-Mulia yang paling mulia, iaitu Allah SWT Yang Maha Mulia!!.

bersambung..




1 komen:

Tanpa Nama berkata...

MASJID=RUMAH ALLAH.. KUNJUNGILAH..

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Artikel Terkini

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.