27 Januari 2011

Kepentingan Guru Murabbi


Dalam mentafsir rahsia-rahsia yang terbuka dari lapisan sirr, ia perlukan penghuraian oleh Guru Murabbi agar dapat memberi jawaban yang benar serta tiada lari dari garisan akidah ASWJ.

Pentarbiyah ilmu (mu’allim) berbeza dengan pentarbiyah rohani (murabbi). Tidak semua ulama adalah murabbi, tidak semua murabbi adalah alim dalam ilmu syariah, namun wajib baginya memiliki ilmu yang melepasi fardhu ‘ain pada fekah, tauhid dan tasawwuf. Kekurangan mereka perlu ditampung oleh para muridnya yang alim dalam ilmu syariah atau persahabatan dengan para ulama syariah jika ada kekeliruan dalam permasalahan hukum.

Guru Murabbi mentarbiyah ketauhidan sehingga mencapai maqam tauhid syuhudiah (Ihsan), mentarbiyah nafsu sehingga mencapai Mutmainnah, mentarbiyah akhlak zahir dan batin sehingga mencapai akhlak yang terpuji, mentarbiyah sehingga berada dalam amal ibadah yang dituntut, mentarbiyah agar berada pada landasan hukum syariah, mentarbiyah agar segala rahsia yang terbuka dapat difahami dengan benar.

Guru Murabbi adalah golongan yang berjaya mentarbiyyah dirinya terlebih dahulu dengan berada di bawah tarbiyyah para Mursyidnya, sehingga beliau mendapat keizinan untuk mentarbiyyah manusia yang lain.

Keizinan dalam tarekah adalah penting agar disiplin ilmu Islam terpelihara dan selamat dari penyelewengan ilmu, kesalahan penghuraian dan nafsu mazmumah yang masih melekat dalam diri. Memberi keizinan kepada mereka yang belum layak mentarbiyah murid akan merosakkan dirinya dan para muridnya. Dan berdosa para guru yang mudah memberi keizinan mentarbiyyah rohani kepada murid yang belum layak kerana ia membawa mudharat bagaikan memberi pisau pada kanak-kanak.

Imam Al-Ghazali rahimahullah banyak menegaskan dalam beberapa kitab bahawa ‘Sesungguhnya jalan mendekati Allah adalah jalan sufi, namun jalan untuk menjadi golongan yang terhijab dengan Allah juga adalah sufi’. Ia akan berlaku apabila jalan sufi dipimpin oleh para guru murabbi yang belum mencapai kelayakan mentarbiyah walaupun padanya sudah ada dzauk dan pembukaan makrifat akibat ditarik secara majzub.

Syaikh Ahmad Al-Fatani dalam kitab al-Fatawa Fathaniah mengatakan, ‘Golongan yang majzubadalah mandul yakni tiada boleh mengandungkan anak-anak rohani'. Mereka perlu berada di bawah dagu beberapa Mursyid untuk memimpin kerana seni ilmu sufi bukannya semata-mata pada pembukaan rahsia, bahkan masih banyak selok belok perjalanannya yang perlu difahami.

Justeru disebabkan kelayakan para guru rohani di akhir zaman adalah terhad, malah amat sukar mencari guru yang benar-benar mencapai kelayakan mursyid yang dinisbahkan pada ilmu tasawwuf, maka seorang guru murabbi perlu banyak bermurajaah dengan para syaikh tarekah yang lain, walau berbeza aliran, untuk ditimba ilmu dan pengalaman mereka dalam pentarbiyahan.

Demi Allah, sifat mazmumah para mursyid tarekah hari ini yang banyak menghancurkan dan membinasakan ilmu tarekah tasawwuf ini yang tinggi nilainya dalam ilmu Islam.
Ya Allah! Selamatkan diriku dan ummah ini dari kejahatan nafsu ammarah yang berselindung di sebalik kealiman, ibadah, adab dan syariah. Demi Allah, sesungguhnya syaitan tiada akan mudah berputus asa dari membawa anak Adam kepada penyelewengan untuk membawa bersamanya ke dalam neraka Allah. Oleh itu, janganlah merasa aman daripada tipu daya syaitan walau pun berada dalam martabat kewalian mana sekalipun.

Jika para Nabi-Nabi a.s didatangi syaitan untuk menggoda dan menipu mereka, siapakah kita untuk mendabik dada akan selamat dari tipu dayanya? Jalan syaitan menyelusup ke dalam jiwa anak Adam adalah apabila ada sekelumit perasaan ‘ujub (merasai kesempurnaan diri) dalam jiwa mereka. Merasa sempurna diri adalah ibu bagi segala kejahatan, sedang jiwa yang gerun dan tawadhu’ dengan Allah adalah pintu segala kebaikan.

Hanya jiwa yang fakir dapat menerima zakat kerahmatan dari Allah!

Dipetik daripada Kuliah Ad-Deen





Kepentingan Sanad & Silsilah

Dalam perjalanan ilmu dan amalan kerohanian, silsilah merupakan salah satu perkara dasar yang amat penting. Silsilah yang sah dan benar ialah yang muttasil (yang bersambung-sambung) hingga sampai kepada Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam tanpa terputus. Bermaksud ilmu dan amalan ini diterima oleh seseorang itu dari Gurunya; Gurunya itu pula menerima dari Gurunya. Begitulah keadaannya sehingga akhirnya sampai kepada Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam.

Kepentingan silsilah (yang berlandaskan pengajian & pengamalan secara sanad dan talaqi) ini ialah bagi :

  • Menjamin pakej pegangan, fahaman dan pengamalan yang benar

  • Mengelak sebarang syubhat atau penyelewengan

  • Mewarisi sumber yang asli

  • Memelihara kesinambungan barakah (al-barakah) .

  • Memelihara pembentukan adabiah murid dengan Gurunya

  • Mendapat limpahan kerohanian yang haq.

Shaikh Abd. Halim Mahmud menegaskan :
"(Mesti ada) perhubungan dengan silsilah yang benar. Kerana, sesungguhnya keberkatan yang akan dicapai dari adanya persambungan silsilah yang benar-benar sah itu menjadi syarat yang pokok/asas (bagi ilmu tasawuf), kerana tanpa silsilah tersebut seseorang itu tidak akan mencapai satu darjat pun dari berbagai-bagai darjat tasawuf, sekalipun darjat permulaan (yang paling rendah) dalam tasawuf itu." (Kitab Al-Munqidh Min al-Dalal)
Demikianlah huraian ringkas mengenai kepentingan silsilah.

Sesungguhnya tipu daya dalam jalan kerohanian ini terlalu banyak. Kadang-kadang ilmu dan amalan itu disandarkan kepada perjalanan kerohanian (tasawuf) namun sebenarnya ia bersalahan dengan disiplin-disiplin tasawuf dan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Atau mungkin ia hanyalah amalan untuk memperolehi kelebihan-kelebihan dunia semata-semata berdasarkan kekuatan diri dan tenaga yang datang dari alam Malakut, bukan berdasarkan Tauhid dan Ubudiyyah kepada Allah.

Kadangkala amalan itu berupa ayat Al-Quran atau wirid yang pada zahirnya tidak kelihatan salah, namun aspek dari siapa diambilnya amalan itu amat mempengaruhi natijah dari amalan yang dilakukannya. Dibimbangi adanya anasir-anasir luaran yang beserta dengan amalan yang dilakukan itu, yang akan menghasilkan natijah yang batil dalam batinnya, dan biasanya akan terlihat pada zahirnya dalam bentuk akhlak, perbuatan dan sebagainya.

Fahamilah, dan bertanyalah kepada Ahlinya. Wallahu 'alam.




26 Januari 2011

Jom Ke Masjid Siri 5 : Kelebihan Solat Berjemaah (6)

Kelebihan Solat Isyak, Subuh dan Asar Berjemaah

Sebagai tambahan kepada kelebihan yang telah disebutkan pada siri-siri yang lepas, terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa solat Isyak, Subuh dan Asar yang dilakukan secara berjemaah mempunyai banyak kelebihan dan besar ganjarannya. Kelebihan-kelebihan yang dimaksudkan antaranya ialah:

Solat Isyak berjemaah seperti solat separuh malam. Solat Subuh berjemaah seperti solat semalaman.

Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat disebalik solat Isyak dan Subuh yang didirikan secara berjemaah nescaya mereka akan (bertungkus lumus) mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak"
Berkata Imam Nawawi dalam mengulas hadis tersebut: "Pengajaran di dalam hadis ini ialah Rasulullah bersunguh-sungguh menggalakkan umatnya supaya datang ke masjid atau tempat yang seumpamanya untuk solat Isyak dan Subuh secara berjemaah"

Selain itu, Imam Muslim juga ada meriwayatkan hadis yang bermaksud:
Daripada Abdul Rahman bin Abu Amrah RA, katanya: "Suatu malam Uthman bin 'Affan RA telah masuk ke dalam masjid selepas selesai didirikan solat Maghrib. Lantas dia pun duduk berseorangan. Lalu aku pun datang mendekatinya dan duduk disampingnya. Tiba-tiba dia berkata kepadaku: "Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bersolat Isyak secara berjemaah maka (ianya akan diberikan ganjaran) seperti solat sunat separuh malam dan sesiapa yang bersolat Subuh secara berjemaah nescaya (ianya akan diberikan ganjaran) seperti mendirikan solat sunat sepenuh malam"
Malaikat mengiringi orang yang mula-mula sampai ke masjid.

Di antara dalil yang menunjukkan betapa besarnya kelebihan datang ke masjid untuk melaksanakansolat subuh berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi 'Asim dan Imam Abu Nu'aim yang bermaksud:
Daripada Miitham RA, katnya: "Telah sampai kepadaku suatu hadis daripada Rasulullah yang berbunyi: "Sesungguhnya seorang Malaikat akan datang berpagi-pagi dengan bederanya ke masjid sambil menemani orang yang mula-mula sekali datang ke masjid pada pagi itu. Malaikat itu berterusan menemani orang tersebut dengan benderanya sehingga orang itu kembali kerumahnya. Sesampai di rumahnya Malaikat itu akan masuk ke dalam rumah orang tadi bersama-sama bendera yang dibawanya. (Begitulah juga) syaitan akan berpagi-pagi datang ke pasar dengan benderanya sambil menemani orang yang paling awal sampai ke pasar pada pagi itu. Syaitan berterusan menemaninya sehingga apabila orang tersebut sampai ke rumahnya maka syaitan akan turut masuk ke dalamnya bersama-sama dengan bendera yang dibawanya".
Cuba perhatikan betapa tinggi dan hebatnya kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang mula-mula sampai ke masjid untuk menunaikan solat Subuh Berjemaah!

Solat Subuh Berjemaah akan ditulis bersama solat golongan Abrar (Golongan yang suka melakukan kebajikan dan ibadah) dan bersama utusan Allah.

Hadis berikutnya akan menyedarkan kita lagi betapa perlunya sebagai seorang muslim bersungguh-sungguh mengambil berat dengan Solat Subuh berjemaah. Hadis yang menceritakan kelebihan seperti yang tercatat di atas ialah riwayat daripada Imam al-Thabrani yang bermaksud:
Daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW, sabdanya: "Sesiapa yang berwudhu' kemudian dia datang ke masjid, lantas bersolat sunat subuh dua rakaat, kemudia dia duduk menanti sehinggalah dia menunaikan solat subuh berjemaah, maka dituliskan baginya solat subuh pagi itu bersama solat golongan Abrar dan dianya juga ditulis termasuk dalam kalangan utusan Allah".
Solat Subuh Berjemaah berada dalam jaminan keamanan Allah SWT

Di antara dalil yang menunjukkan besarnya kelebihan solat Subuh Berjemaah ialah penegasan
Daripada Rasulullah SAW bahawa mereka yang menunaikan solat Subuh Berjemaah akan mendapat jaminan keamanan dan pemliharaan daripada Allah SWT. Hakikat ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani yang bermaksud:
Daripada Abu Bakrah RA katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah maka dia berada di dalam jaminan keamanan dan pemeliharaan Allah SWT. Sesungguhnya sesiapa yang memperlekeh dan mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah akan menghumbankannya ke dalam Neraka".
Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini: "Yang dimaksudkan dia berada dalam jaminan Allah SWT ialah berada di dalam tanggungan dan pemilharaanNya di dunia dan juga akhirat.

Al-Allamah al-Manawi pula berkata: "Ulama' telah memberikan dua pentafsiran kepada maksud sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: "Maka sesiapa yang mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah SWT akan menghumbankan mukanya ke dalam Neraka". Dua pentafsiran itu ialah:
  1. Yang dimaksudkan dengan jaminan Allah SWT atau Tanggungan Allah: "Solat Subuh berjemaah menuntut jaminan keamanan daripada Allah SWT. Maka kesimpulannya ialah: "Jangan kamu meninggalkan solat Subuh berjemaah dan jangan kamu memperlekehkan dan memandang rendah kemuliaannya, nanti akan terbatal dan terungkai perjanjian jaminan keamanan di antara kamu dengan Tuhan kamu, lantaran itu Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Api Neraka".

  2. "Sesiapa yang bersolat Subuh berjemaah, nescaya dia memperolehi jaminan keamanan di dunia dan akhirat dari Allah SWT. Justeru itu, jangan kamu semua mengkhianatinya dengan apa cara sekalipun. Sesungguhnya jika kamu melakukannya, takut nanti Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Neraka".

Solat Subuh Berjemaah diberi pahala seperti mengerjakan Haji dan Umrah

Kelebihan seperti ini memang tidak terdapat pada solat-solat fardhu yang lain. Oleh kerana itulah bila kita datang solat waktu subuh, kita akan dapati tiang-tiang masjid lebih banyak daripada ahli jemaahnya. Rupa-rupanya makin besar pahala, makin sedikit bilangan ahli jemaahnya. Ini mungkin kerana syaitan bekerja keras bagi memastikan umat islam tidak datang untuk solat Subuh Berjemaah!

Imam al-Thabrani juga ada meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:
Daripada Abu Umamah RA, katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian setelah selesai solat dia terus duduk mengingati Allah sehingga terbit matahari. Kemudian dia menunaikan solat sunat dua rakaat maka dia akan kembali (ke rumahnya pagi itu dengan diberi ganjaran pahala) seperti pahala menunaikan Haji dan Umrah".
Hadis di atas juga telah dikuatkan oleh hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang bermaksud:
Daripada Anas RA, katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudia dia terus kekal mengingati Allah SWT sehingga terbit matahari, selepas itu dia solat sunat dua rakaat, nescaya akan diberi baginya pahala menunaikan haji dan umrah". Berkata Anas RA: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sempurna, sempurna, sempurna!".

Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri: "Perkataan 'sempurna' itu ialah sifat bagi Haji dan Umrah yang diulang sebut sebanyak 3 kali oleh Rasulullah SAW bertujuan bagi menguatkan keyakinan bahawa pahala yang bakal diterima ialah seperti pahala melakukan haji dan Umrah dengan sempurna".

Pertemuan Malaikat Malam dan Malaikat Siang ketika Solat Subuh dan Asar

Pertemuan para Malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para Malaikat yang bertugas waktu siang memberi pengertian betapa besarnya kelebihan solat Subuh dan Asar berjemaah kerana mereka bukan semata-mata bertemu di saat itu, tetapi mereka akan menjadi saksi kepada sesiapa saja yang mendirikan solat sSubuh dan Asar secara berjemaah. Bukan itu saja, bahkan mereka akan memohon keampunan untuk mereka semua. Semuanya telah diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis sahih.

Dalil yang menunjukkan berlaku pertemuan di antara para Malaikat ini di waktu solat Subuh ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat yang dilakukan oleh sesiapa saja dari kalangan kamu secara bersendirian sebanyak 25 kali ganda dan sesungguhnya Malaikat malam dan Malaikat siang bertemu ketika solat Subuh". Kemudian Abu Hurairah berkata: " Justeru itu bacalah jika kamu kehendaki ayat al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya solat Subuh secara berjemaah itu akan disaksikan oleh para Malaikat".
Dalil yang menunjukkan berlakunya pertemuan mereka ketika solat Subuh dan Asar ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Bersilih ganti datang kepada kamu Malaikat malam dan Malaikat siang lalu mereka bertemu ketika solat Subuh dan Asar. Kemudian ketika naik Malaikat malam ke langit, maka bertanyalah Allah SWT kepada mereka sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui segala tindak tanduk mereka: "Bagaimanakah keadaan hambaKu ketika kamu meninggalkan mereka?" Lalu para Malaikat pun menjawab: "Kami telah tinggalkan meraka dalam keadaan mereka bersolat dan ketika mula-mula mendatangi mereka, meraka juga sedang bersolat".
Imam al-Nawawi berkata dalam mengulas hadis ini:
"Sesungguhnya pertemuan para Malaikat malam dan Malaikat siang ketika solat Subuh dan Asar adalah menandakan betapa Allah SWT Maha Lembut dan Maha Bertimbang Rasa dengan hambaNya yang mukmin. ianya juga merupakan suatu penghormatan dari Allah bagi mereka yang beristiqomah menunaikan solat fardhu berjemaah, kerana menjadikan pertemuan dan perpisahan para Malaikat pada waktu-waktu solat berjemaah iaitu ketika mereka sedang duduk berkumpul melakukan ketaatan terhadap Allah SWT. Justeru itu, secara tidak langsung maka jadilah para Malaikat ini sebagai saksi kepada hambaNya yang mukmin di dalam melakukan ibadah solat Subuh dan Asar atau ibadat-ibadat yang lain di saat itu".

Adapun dalil yang menunjukkan para Malaikat memohon keampunan bagi mereka yang solat Subuh dan Asar berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bermaksud:
"Lalu para Malaikat menjawab:" Ketika kami datang menemui mereka, mereka sedang solat dan ketika kami meninggalkan mereka, mereka juga sedang solat. Oleh itu, berikanlah keampunan untuk mereka pada hari pembalasan kelak".
Alangkah beruntungnya mereka yang para Malaikat mendoakan keampunan untuknya. Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Jadikanlah kami sebahagian daripada mereka! amin..

Wallua'lam.

InsyaAllah bersambung..




22 Januari 2011

Ada Apa Dengan InsyaAllah??






Insya Allah (Arab: إن شاء الله‎) bererti "jika Allah menghendaki". Ini menunjukkan bahawa kita tidak tahu masa hadapan, apa yang berlaku kepada kita. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa manusia punya rencana, Allah punya kuasa. Dengan demikian, kata Insya Allah menunjukkan kerendahan hati seorang hamba sekaligus kesedaran akan kekuasaan Allah.

Kisah Sirah Rasulullah

Beberapa penduduk Mekkah datang kepada Nabi Muhammad SAW bertanyakan tentang roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Zulkarnain. Nabi menjawab, "Datanglah esok pagi kepadaku agar aku ceritakan." Keesokan harinya wahyu tidak datang menemui Nabi, sehingga Nabi gagal menjawab hal-hal yang ditanyakan. Tentu saja "kegagalan" ini menjadi cemuhan kaum kafir.

Saat itulah turun ayat menegur Nabi
"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi, kecuali (dengan menyebut): "Insya Allah". Dan ingatlah kepada Tuhan-Mu jika kamu lupa dan katakanlah "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini." (TMQ Surah Al-Kahfi 18:24)
Pengajaran dari Kisah Sirah Rasulullah

Dari kisah di atas kita tahu bahkan Nabi pun mendapat teguran ketika alpa mengucapkan Insya Allah. Beginilah kita harus memahami makna ungkapan Insya Allah; ia menegaskan kesedaran manusia akan keterbatasannya, perasaan rendah hati seseorang yang hendak berbuat sesuatu mengetahui bahawa di atas semua yang dia lakukan dan katakan, Tuhanlah yang memiliki kekuasaan untuk mewujudkannya.

Namun begitu, ada sebagian di antara kita sering melupakan peranan dan kekuasaan Allah ketika hendak berencana atau mengerjakan sesuatu. Sebagian di antara kita malah secara keliru mengamalkan kata Insya Allah sebagai cara untuk tidak mengerjakan sesuatu. Ketika kita diundang, kita menjawab dengan kata Insya Allah bukan dengan keyakinan bahawa Allah yang punya kuasa tetapi sebagai cara berbaik-baik untuk tidak memenuhi undangan tersebut. Kita rupanya berdalih dan berlindung dengan kata Insya Allah.

Jika berjanji, mesti tunaikan

Begitu pula halnya ketika kita berjanji, sering kali kata Insya Allah keluar begitu saja sebagai perkataan biasa dalam pergaulan. Sepatutnya ketika kita diundang atau berjanji dengan orang lain, kita ucapkan Insya Allah, lalu kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi undangan ataupun janji tersebut.

Bila tiba-tiba datang halangan seperti sakit, hujan, dan lainnya, kita tidak mampu memenuhi undangan ataupun janji itu, maka di sinilah letak kekuasaan Allah. Di sinilah baru berlaku makna Insya Allah.


Terjemahan lirik lagu Insha Allah - Maher Zain:

Ada ketika, hadir perasaan hampa
Kehilangan dalam diri sendiri
Bagai malam yang penuh kegelapan
Sendu, pilu, tiada jalan yang terang

Usah putus asa
Dan janganlah berduka
Kerna Allah sentiasa di sisimu

Insha Allah x2
Insha Allah, pasti ada jalan-Nya
Insha Allah x2
Insha Allah, pasti muncul jalan-Nya

Ada ketika
Kesilapan sering berulang
Hingga terasa lewat untuk berubah
Penuh keliru dan tersalah keputusan
Membelenggu penyesalan dalam minda

Usah putus asa
Dan janganlah berduka
Kerna Allah sentiasa di sisimu

Insha Allah x2
Insha Allah, pasti ada jalan-Nya
Insha Allah x2
Insha Allah, pasti muncul jalan-Nya

Kembalilah,
Kepada Ilahi
Yakin pada-Nya
Pohonkan doa, bertawakkallah

Oh ya Allah
Pimpinlah hamba dari kesesatan
Kau Yang Maha Esa
Maka tunjukkan nur kebenaran
Nur kebenaran
Di jalan yang terang
Di jalan yang terang




Nur Hidayah 1 : Wong Kim Hock

Assalamualaikum.
Entri ini adalah permulaan siri Nur Hidayah. Siri ini akan memaparkan kisah-kisah mereka yang mendapat hidayah Allah, iaitu mereka yang keluar daripada kegelapan kepada cahaya. Mudah-mudahan kisah-kisah yang dipaparkan ini menjadi pengajaran dan asbab hidayah Allah untuk kita semua insyaAllah. Selamat membaca!

Setiap kali melaksanakan penyembahan mengikut agamanya, selalu timbul pertanyaan dalam hatinya.
“Tuhan yang mana satu yang mesti disembah dengan sebenarnya?”
Wong Kim Hock warganegara Malaysia keturunan Cina dilahirkan di Pahang pada tahun1948 dalam lingkungan yang menganut agama Budha. Oleh kerana kedua-dua ibu bapanya penganut setia agama Budha, Kim Hock juga menganut agama tersebut secara tradisi turun temurun, iaitu secara warisan dan ikut-ikutan saja.

Setelah umurnya menginjak dewasa, Kim Hock merasa tidak puas hati dengan agama Budha yang dipeluknya dan menganggap bahawa agama itu tidak sesuai dengan pemikirannya. Lalu dia mencari cari pegangan hidup yang lebih masuk akal dan bertemu dengan agama Kristian.

Setelah berfikir beberapa lama, dia tertarik dengan agama itu kerana dianggap lebih baik dari agama yang diwarisi dari ibu bapanya. Sebagai pengikut gereja, diapun menerima pengajaran tentang Tuhan Bapa, Tuhan anak dan Ruhul Qudus. Doktrin dan ajaran dalam Kristian diterimanya dari pendita yang disampaikannya di dalam gereja.

Setelah beberapa lama memeluk agama Kristian, Kim Hock mulai pula berfikir tentang dasar ketuhanan yang dianutinya. Bagaimana seseorang akan menyembah kepada Tuhan yang tiga itu? Kalau sekiranya dia khusyuk kepada Tuhan Bapa, apakah Tuhan yang lain tidak cemburu? Demikian juga jika sekiranya dia lebih cinta kepada Tuhan anak, sudah tentu Tuhan Bapa akan marah, kerana merasa dipersekutukan. Bagaimana pula Tuhan Ibu (Ruhul Qudus), pasti akan bersaing dalam merebut kekuasaan. Tentu perkara ini akan membingungkan. Walaupun fikirannya sudah mulai ragu dengan agama Kristian namun dia masih tetap memeganginya dengan perasaan yang kurang yakin.

Pada tahun 1983 Kim Hock pergi ke Jordan untuk suatu kunjungan peribadi. Ketika sedang berada di Kota Amman, Kim Hock terbaca terjemahan Al-Quran pegangan umat Islam. Dari terjemahan Kitab Suci itulah ia mendapat pengetahuan tentang Tuhan yang sebenarnya. Tuhan itu satu (Maha Esa), tidak beranak dan tidak dilahirkan. Tidak ada Tuhan Bapa dan tidak ada Tuhan Ibu, juga tidak ada Tuhan anak. Kerana Tuhan mempunyai kuasa mutlak dan hanya kepada-Nya segala puji-pujian dan segala permohonan dipersembahkan.

Faham ini sangat sesuai dengan keyakinannya, dan dia merasakan mendapat jawapan yang dicari-carinya selama ini. Kalau Tuhan hanya satu, barulah dikatakan punya kekuasaan, kerana tidak ada yang menandingi kekuasaan-Nya. Dia yang menghidupkan dan Dia pula yang mematikan. Dia yang memberi kebaikan dan Dia pula yang menurunkan cubaan. Dia yang menciptakan hamba, maka dia pula yang berhak disembah. Kalau begitu, maka barulah manusia akan beribadah dan berdoa dengan khusyuk, kerana yang disembah dan tempat meminta hanya Tuhan Yang Satu.

Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan hidayah pada hati Kim Hock, sehingga ia mengakui kebenaran Islam dan Al-Quran. Sesampainya di Malaysia, dia menceritakan keyakinannya kepada isterinya yang dikahwininya pada tahun1979, dan dikatakannya pula akan memeluk agama Islam. Si isteri pula dapat menerima apa-apa yang diterangkan oleh suaminya. Allah telah membuka hatinya untuk meninggalkan agama lamanya dan bersedia memeluk Islam.

Maka dengan tidak menunggu masa lagi, kedua orang suami isteri yang masih belum dikurniakan anak itu pergi ke pejabat Perkim dan di sana diterima oleh Ustaz Isa’ Mah dan menceritakan maksudnya untuk memeluk agama Islam.

Pada tahun 1984 yang sangat bersejarah itu, Wong Kim Hock dan isterinya membaca Syahadah dengan disaksikan oleh Ustaz Isa’ Mah dan pegawai Perkim lainnya. Untuk menyesuaikan identiti sebagai Muslim, nama Kim Hock ditukar dengan nama “Muhammad bin Abdullah” dan isterinya menggunakan nama Fatimah binti Abdullah.

Setelah menjadi seorang Islam, Muhammad bin Abdullah dengan isterinya sangat rajin mempelajari Islam. Dia banyak mendapat bimbingan dari beberapa orang Ustaz di Perkim, terutama Ustaz Husein Abdullah Yee yang juga asalnya seorang turunan Cina yang beragama Budha, kemudian masuk Islam.

Dari hari ke hari hatinya bertambah senang dengan Islam. Semakin banyak ilmu tentang Islam yang dipelajarinya, semakin bertambah pula ketenangan dan keyakinanya. Ilmu Islam sangat luas, tidak ada batasnya. Semakin banyak dipelajari, semakin banyak yang kelihatan bagaikan mutiara.

Bermacam-macam ilmu dalam Islam sangat menarik perhatian saudara baru kita ini. Akhirnya dia sampai pada kesimpulan yang disedarinya sendiri bahawa Islam itu memang agama Universal, mencakupi segala peraturan kehidupan dan alam setelah mati. Berbagai ilmu untuk menempuh kehidupan terdapat di dalamnya, dan kesemua peraturan hidup di dunia ini tujuannya untuk mencapai keselamatan dalam kehidupan di akhirat nanti.

Sebagaimana biasa risiko yang dialami oleh orang-orang Cina yang masuk Islam. Kim Hock dan isterinya juga menghadapinya, yakni tidak diakui oleh kaum keluarganya. Bagi Muhammad bin Abdullah perkara itu tidak menjadi soal, dia siap sedia menempuh kehidupan baru sebagai orang Islam sambil berdoa semoga keluarganya juga mendapat hidayah dari Allah dan mahu masuk Islam.

Untuk menyara hidup, suami isteri yang masih muallaf itu berusaha sekuat tenaga untuk mencukupi keperluannya tanpa mengharapkan bantuan dari pihak lain, selain kepada Allah semata. Dia berusaha memadukan kepakarannya sebagai keturunan Cina dalam berniaga dengan prinsip-prinsip Islam.

Bagi Muhammad, segala sesuatu jika diusahakan dengan tekun, istiqamah dan sabar ia akan mendapatkan hasil dan insya Allah akan berjaya. Begitulah ajaran Islam, dan seperti itu pula yang dipegang teguh oleh kaum cina dalam berusaha sehingga meraih kejayaan besar.

Muhammad bin Abdullah bekerja sebagai pembekal beberapa peralatan pejabat, sementara isterinya yang terbiasa dengan kehidupan seorang petani, berternak kambing untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika kambingnya baru berjumlah 12 ekor, datang seorang Muslim membeli kambingnya untuk aqiqah. Kedua-dua saudara baru yang belum tahu apa itu aqiqah dan korban lalu bertanya mengenainya kepada seorang ustaz.

Setelah memahami perkara yang sebenar, terlintaslah dalam fikirannya, alangkah baiknya kalau dia menceburi bidang ternakan kambing dan lembu secara komersial. Dengan usahanya itu, nanti dapat memudahkan dan menggalakkan umat Islam dalam melaksanakan ibadah aqiqah dan korban yang sebahagian mereka menganggap perkara itu tidak penting.

Untuk mencapai maksudnya, puan Fatimah membesarkan usaha ternaknya di sebuah kawasan Sungai Buloh Selangor Darul Ehsan. Pada mulanya dia sendiri yang bertukang membuat kandang dan mengembala kambing-kambingnya dengan dibantu oleh suaminya.

Sehari ke sehari usahanya semakin berkembang dan ternaknya semakin banyak, maka puan Fatimah menubuhkan Syarikat The Best Farm yang bergerak di bidang ternakan kambing dan lembu dan dia sendiri sebagai pengurusnya sedangkan suaminya bertindak sebagai penasihat. Orang ramai mulai berdatangan ke situ untuk membeli kambing dan lembu untuk keperluan aqiqah dan kurban atau untuk keperluan lainnya.

The Best Farm menyediakan berbagai kemudahan di antaranya menyediakan ustaz yang faham untuk penyembelihan. Di samping itu dia juga menerbitkan buku panduan aqiqah dan kurban, yang mengandungi pengertian, kepentingan, dalil-dalil dan cara-cara melaksanakan aqiqah dan kurban. Buku yang disusun oleh seorang ustaz yang pakar itu diberikan secara percuma kepada orang ramai dengan demikian saudara baru kita ini telah turut berdakwah mengenai kepentingan aqiqah dan kurban.

Muhammad bin Abdullah mencari harta bukan untuk bermewah dalam kehidupan, tapi semuanya adalah untuk mencari keredhaan Allah. Beliau tetap mengamalkan gaya hidup sederhana, walaupun berkemampuan untuk membeli dan menggunakan barang-barang yang mewah. Selain digunakannya untuk mengerjakan ibadah di Tanah Suci Makkah, rezeki yang tidak seberapa itu juga digunakannya untuk berdakwah.

Beliau memberikan bantuan kepada sekolah agama rakyat, memberikan biasiswa kepada beberapa pelajar yang mempunyai minat belajar tapi tidak mampu di segi kewangan.

Baginya, berdakwah Bil Hal dan Bil Mal tidak kalah pentingnya dengan dakwah Bil Lisan. Di samping itu, dia sendiri dengan isterinya tidak henti-hentinya menuntut ilmu. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu pasangan suami isteri itu pergi ke tempat-tempat ustaz untuk menimba ilmu. Mereka berazam untuk tetap hidup mengikut sunnah dan menuntut ilmu hingga ke liang kubur sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Selain berjaya di dalam usahanya setelah masuk Islam, Muhammad bin Abdullah juga telah dikurniakan oleh Allah dengan dua orang anak yang kesemuanya lahir dalam keluarga Islam. Di samping itu juga, hubungan dengan ibu bapa dan adik-beradiknya yang masih belum mendapat hidayah, telah pulih semula. Setiap tahun mereka balik ke Pahang untuk menziarahi mereka.



20 Januari 2011

Khutbah Jumaat Minggu Ini - "Perbandingan Sistem Perbankan Islam Dan Konvensional"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita memperkasakan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia mahupun di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Masih ramai di antara kita yang keliru dengan keuntungan atau dividen yang kita peroleh hasil daripada simpanan kita di bank, sama ada ia dianggap riba' atau tidak, haram atau halal. Ini disebabakan oleh kekeliruan dalam membezakan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional.

Hakikatnya, kedua-dua sistem ini sangat berbeza, ia memisahkan antara syurga dan neraka, yang mana Allah S.W.T. telah menjanjikan azab neraka kepada pengamal-pengamal sistem berteraskan riba'. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 275:
"Orang yang memakan (mengambil) riba' itu tidaklah berdiri (ketika bangkit dari kubur-kubur mereka) melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan disebabkan penyakit gila yang menyerang mereka; yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan, "bahawa sesungguhnya berjual-beli itu sama sahaja seperti riba' " ; padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba' ; oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba'), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya serta urusannya terserahlah kepada Allah; manakala sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba' itu), maka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya".
Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:
"Apabila riba' dan zina menjadi-jadi di sesebuah kampung (Negeri), maka sesungguhnya mereka telah membenarkan mereka itu diazab oleh Allah". (Riwayat Al-Hakim)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Terdapat beberapa perkara yang membezakan diantara perbankan Islam dan perbankan konvensional. Antaranya:

Pertama : Sistem perbankan Islam ditubuh berdasarkan sistem muamalat Islam yang berteraskan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T. manakala perbankan konvensional pula berdasarkan keuntungan tidak mengikut syariat Islam.

Kedua : Di dalam perbankan Islam juga, konsep pahala dan dosa sentiasa dititikberatkan berbeza dengan sistem perbankan konvensional yang langsung tidak mengendahkannya.

Ketiga : Kewujudan dan pelaksanaan sistem perbankan Islam adalah merupakan satu tanggungjawab agama yang wajib dilaksanakan, sebaliknya perbankan konvensional tidak mengaitkan persoalan syariat di dalam urusan yang dilakukan.

Keempat : Matlamat utama dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam tidak lain untuk keredhaan Allah S.W.T.

Kelima : Antara prinsip-prinsip yang dijunjung oleh perbankan Islam adalah keadilan. Ia menunjukkan nilai moral yang ingin dijunjung tinggi melalui sistem perbankan Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nisa' ayat 29 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Perbezaan antara perbankan Islam dapat dilihat daripada aspek konsep perbankan dan operasinya. Antara perbezaan tersebut ialah:

Pertama : Dalam perbankan Islam, segala aktiviti adalah berdasarkan sistem muamalat Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah serta pandangan para ulama'. Manakala di perbankan konvensional, aktivitinya bersumberkan kepada sistem ekonomi riba'. Perbezaan ini dapat dilihat secara jelas dengan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah di kebanyakan bank yang menawarkan perkhidmatan sistem perbankan Islam. Keahlian Jawatankuasa Syariah ini terdiri daripada ulama' dan pakar-pakar kewangan Islam. Mereka berperanan untuk memastikan sistem yang dilaksanakan selari dengan syariat Islam.

Kedua : Perbankan Islam menjalankan konsep jual-beli dalam mendapatkan keuntungan, yang mana keuntungan tersebut adalah hasil dari perniagaan jual-beli yang dijalankan. Manakala perbankan konvensional adalah dengan menggunakan konsep pinjaman atau hutang secara konvensional dalam menjalankan perniagaan mereka. Hasilnya, mereka mendapat riba' atau tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman yang diberikan dan sumber-sumber lain yang diharamkan oleh syarak.

Ketiga : Antara aktiviti-aktiviti perbankan Islam yang berlandaskan kontrak-kontrak perniagaan yang dibenarkan yang dibenarkan oleh Islam adalah seperti Al-Mudharabah, Al-Musyarakah, Al-Bai' bi al-Tsaman, Al-Ijarah dan banyak lagi. Di mana kontrak-kontrak perniagaan ini adalah berperanan sebagai pilihan kepada sistem pinjaman riba' yang dijalankan di bank-bank konvensional. Tambahan lagi, kontrak ini telah disahkan halal oleh Badan Pemantauan Syariah Bank Negara Malaysia dan Badan Pemantauan Syariah di bank-bank Islam berkenaan sebelum produk-produk tersebut di pasarkan.

Keempat : Dari sudut hubungan dengan para pelanggan, bank konvensional hanya terhad kepada hubungan antara penghutang dan pemiutang sahaja. Namun dalam perbankan Islam, hubungan dengan para pelanggan adalah di antara penjual dan pembeli, serta bertindak selaku pengurus projek ataupun ahli kewangan yang bergiat di dalam pengumpulan wang atau amanah yang berdasarkan kepada perkongsisan atau rugi.

Kelima : Selain menjalankan aktiviti perniagaan dan menunaikan zakat, menjadi tanggungjawab kepada perbankan Islam melaksanakan program-program kebajikan dan menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada masyarakat. Ini telah dizahirkan melalui program-program seperti bantuan kepada rumah-rumah kebajikan, keluarga miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan saudara baru. Di samping itu, sumbangan dan bantuan kemanusiaan juga disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana alam seperti gempa bumi, banjir kilat dan tsunami. Ini semua adalah hasil daripada keuntungan yang diperolehi melalui perniagaan yang dijalankan. Bagi sesetengah kes pula, pihak bank sanggup menggugurkan tuntutan terhadap baki hutang pelanggan yang telah ditimpa musibah sebagai contohnya pelanggan yang mengalami masalah hilang upaya kekal atau meninggal dunia.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Aspek lain yang membezakan di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah melalui produk-produk yang dipasarkan. Antaranya ialah:

Pertama :Dalam akaun simpanan biasa, perbankan Islam mengenengahkan kontrak simpanan Wadi'ah, iaitu simpanan dengan jaminan. Bank sebagai pemegang simpanan akan menggunakan wang tersebut bagi tujuan tertentu dan menjamin simpanan wang yang diletakkan oleh pelanggan tanpa ada penambahan atau pengurangan. Ini adalah kerana di dalam Islam janji pulangan di dalam akaun simpanan ini adalah riba'. Berbeza di dalam akaun simpanan bank konvensional, setiap pemegang akaun dijanjikan pulangan tertentu untuk simpanan yang dibuat. Akibatnya, pemegang akaun simpanan, disogok dan dikaburi dengan pulangan riba' pada setiap akaun mereka.

Kedua :Dalam kontrak pelaburan, perbankan Islam menggunakan konsep perkongsian keuntungan dan risiko yang sebenar dan tidak membebankan kedua-dua pihak atau salah satu pihak. Sebagai contoh, dalam konsep Al-Mudharabah (pelaburan Islam), pelanggan sebagai pelabur dan bank sebagai pengusaha berkongsi keuntungan ketika mendapat keuntungan, manakala kerugian akan ditanggung oleh pelabur. Ini bertepatan dengan kaedah feqah yang bermaksud "setiap pulangan adalah dengan risiko".

Perkongsian untung dan risiko secara sebenar ini adalah adil dan tidak membebankan mana-mana pihak yang terlibat. Berbeza dengan pelaburan konvensional yang memberikan pulangan tetap dijanjikan diawal kontrak, yang mana pelaburan ini tidak melibatkan perkongsian sebenar di antara pihak terlibat. Pulangan tetap yang dijanjikan diawal kontrak pelaburan adalah riba' dan haram dalam Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita segera bermuhasabah dan mentaati perintah Allah S.W.T dengan memastikan pengurusan kewangan, sumber rezeki dan makanan yang digunakan untuk diri sendiri dan keluarga adalah dari sumber yang halal. Kita hendaklah mendukung dan menyokong setiap institusi perbankan dan koperasi Islam dengan ikut serta menjadi pelanggan atau ahli institusi berkenaan. Janganlah bersikap acuh tidak acuh dan berdiam diri tanpa berusaha ke arah meneguhkan institusi berkenaan demi membangun masa depan umat Islam dan rakyat. Mudah-mudahan dengan demikian, kehidupan keluarga kita dan masyarakat Islam beroleh keberkatan dan menjadi insan soleh.
"Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan menjauhi saki-baki riba' (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak mahu melakukan (perintah mengenai larangan riba' itu), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu (akibatnya kamu tidak akan selamat), dan jika kamu bertaubat (menghentikannya), maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah modal pokok harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak menganiaya (kepada sesiapa), dan kamu juga tidak teraniaya". (Surah Al-Baqarah: 278-279)
KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 21 Januari 2011
Sumber : JAIS






Zaman Muda Siri 2 : Ciri-Ciri Ideal Belia Islam

Pertama : Ketahanan Iman dan Akidah

Seseorang belia muslim perlu mempunyai ketahanan iman dan akidah yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Kalimah لااله الا الله hendaklah menjadi zikir harian yang akhirnya melahirkan jiwa yang berani dan kental serta komited dalam mengharungi perjuangan hidup. Mereka tidak pula senang mengaku kalah bila diuji di waktu susah dan senang. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 139 yang bermaksud:
"Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman"
Untuk membina ketahanan iman dan akidah yang sejahtera, seseorang perlu sentiasa memahami dan mendalami agamanya melalui guru-guru yang mursyid dan pembacaan, sentiasa bertaqarrub (mendampingi) Allah SWT, bertaubat dan melakukan segala syariat agama dan menjauhi larangan-Nya.

Kedua : Taat Kepada Allah dan Ibadah Yang Betul

Manusia diciptakan Allah SWT semata-mata untuk kita semua menyembah-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Zariyat, ayat 56 yang bermaksud:
"Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku"
Taat kepada Allah SWT bermaksud menunaikan segala syariat-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Manakala ibadah yang betul adalah refleksi daripada akidah yang sejahtera lagi benar. Setiap orang Islam dituntut menunaikan ibadah wajib seperti yang terungkap di dalam rukun Islam yang lima. Selain menunaikan ibadah wajib, kita juga perlu menunaikan ibadah sunat seperti solat-solat sunat, berzikir, sentiasa bersuci, qiyamullail dan sebagainya bagi sentiasa terasa dekat kepada Allah SWT dan beribadah kepada Allah SWT merupakan manifestasi tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita.

Ketiga : Berilmu dan Berpengetahuan Luas.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang muslim"
Malah pepatah Arab ada mengatakan, "tuntutlah ilmu semenjak dari buaian hingga ke liang lahad". Hadis dan pepatah di atas menggesa setiap orang Islam supaya menimba ilmu bagi menambah pengetahuan kedua-dua ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Proses menimba ilmu pula tidak akan pernah terhenti selagi mana nyawa dikandung badan. Ilmu yang sahih yang berpaksikan kepada falsafah tauhid akan menjadi guru terbaik dalam memandu diri ke arah kebaikan dan kebenaran.

Keempat : Akhlak dan Sahsiah Diri Yang Mantap

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak"
Baginda Rasulullah SAW merupakan qudwah hasanah bagi setiap individu muslim kerana akhlak baginda diumpamakan seperti al-Quran. Umum mengetahui Islam itu tidak lengkap sekiranya elemen akhlak ini diketepikan.

Sirah pernah menceritakan bahawasanya pada suatu hari Khalifah Harun Ar-Rasyid telah bertanya Imam Abi Yusuf yang menjadi mufti di kala itu tentang akhlak serta peribadi gurunya Imam Abu Hanifah. Beliau menjawab:
"Sesungguhnya beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh mempertahankan hukum-hukum Allah SWT. Beliau menjaga dirinya dari mendekati orang-orang yang cinta dunia, banyak berdiam tetapi akalnya sentiasa berfikir. Beliau tidak banyak bercakap tetapi bila saja ditanya apa juga masalah sudah pasti beliau akan dapat menjawabnya. Beliau terlalu menjaga diri dan agamanya dan tidak suka mengambil tahu keburukan orang lain, tidak akan menyebut nama seseorang melainkan beliau menceritakan kebaikan orang itu.
Khalifah pun berkata : "Inilah akhlak orang soleh".

Kelima : Sihat Tubuh Badan

Menjaga kesihatan tubuh badan amat dituntut dalam Islam. Apabila anggota tubuh badan sihat, segala urusan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudarat kepada diri dan orang lain. Disebabkan itu, gejala ketagihan dadah, arak, zina, rempit dan seumpamanya wajib dijauhi. Sumber dan bahan makanan juga perlu diberikan perhatian kerana setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan serta akhlak kita.

Keenam : Bermanfaat Kepada Orang Lain

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik manusia adalah seorang yang memberi manfaat kepada orang lain"

Berguna kepada orang lain boleh difahami sebagai menunaikan tanggungjawab kebajikan dan sosial. Tanggungjawab boleh disalurkan melalui pelbagai kaedah antaranya melaksanakan hak-hak saudara seakidah dan sesama manusia seperti kasih sayang, hormat menghormati dan tolong menolong.

Kita juga boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam melalui sistem keusahawanan Islam. Berpersatuan atau melakukan kerja-kerja sukarelawan juga salah satu kaedah untuk kita memberi khidmat dan tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat. Slogan 'Hidup Biar Berjasa' boleh memberikan kita motivasi untuk sentiasa menyumbang sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.

Ketujuh : Peka Kepada Perubahan Sosio-politik-Ekonomi Lokal dan Global

Seseorang individu belia harus peka kepada setiap perubahan sosio-politik-ekonomi setempat dan pada peringkat global. Ini perlu bagi merangka teknik dan strategi bagi menghadapi segala kemungkinan.

Golongan belia harus melakukan perubahan dari segala sudut terutamanya sudut peribadi dengan menyemai dan menyuburkan peribadi dengan nilai-nilai Islam dan rabbani demi mengorak langkah menjulang kebangkitan ummah lalu dalam membina semula tamadun Islam yang telah terlepas daripada tangan kita.

Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Ra'ad, ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
Oleh kerana zaman belia adalah era paling gemilang dalam kehidupan manusia maka kitalah yang bertanggungjawab melaksanakan misi agung itu.

Harapan kepada belia Islam boleh diungkapkan melalui ucapan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dalam 'Dakwah Kita di Era Baru':
"Kita mahukan jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita mahukan perasaan yang bergelojak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita tinggi. Kita mahukan jiwa yang dapat membayang betapa tingginya impian dan matlamat ini supaya ia dapat mengejar dan mencapainya".
wallahua'alam.

insyaAllah bersambung..






"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.