23 Februari 2011

Khutbah Jumaat Minggu Ini - "Salah Faham Terhadap Islam"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT. dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT. ialah orang yang paling bertakwa. Kerana takwa merupakan penentu martabat kita di sisi Allah SWT. Istiqamahlah dalam mengamalkan segala perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah s.a.w. Dengan mentaati Allah dan Rasul-Nya, insya-Allah kita akan disayangi dan dijauhkan dari mala-petaka serta beroleh kejayaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menghayati hadith daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali dagang (asing) pula, maka beruntunglah orang-orang yang asing".
(Riwayat Muslim).
Hadith ini jelas menyatakan bahawa Islam yang bermula dengan dagang ( asing ) akan menjadi dagang di akhir zaman nanti. Sejarah telah menukilkan bahawa perkembangan Islam di peringkat awal juga asing. Islam sentiasa menghadapi kesukaran dan mendapat tentangan yang berpanjangan. Berkat ketabahan, kekentalan, kegigihan dan keyakinan para pendakwah atau da'ie serta dengan izin Allah Islam telah berkembang sehingga menjadi kuasa dunia yang hebat pada era kegemilangannya. Islam telah berjaya melahirkan insan yang berperibadi mulia, mempunyai jati diri unggul dan berwibawa. Ketika itu wujud keadilan, kejujuran, ketelusan, ketenteraman, keharmonian, kedamaian dan ketenangan. Namun selaku manusia mereka juga menghadapi pelbagai ujian, godaan nafsu dan kelemahan diri di samping serangan fitnah, khianat dan dengki sesama sendiri sehingga umat Islam jatuh, tamadun Islam runtuh sehinggalah sekarang.

Namun Allah SWT tetap melahirkan sekelompok insan mulia yang sentiasa istiqamah untuk membangun ummah berdasarkan syariatnya. Golongan ini sentiasa gigih menyebarkan Islam supaya menjadi ikutan dan amalan manusia untuk mencapai kejayaan yang diredhai Allah SWT. Pada masa yang sama wujud pula segolongan manusia yang menghadapi krisis nilai terhadap agama. Golongan ini bertanya; "Adakah agama merupakan satu keperluan? atau agama hanya satu kecenderungan peribadi. Adakah ini bermaksud siapa suka boleh beragama dan siapa tidak suka boleh jadi atheis atau ikut mana-mana agama kerana semuanya sama, dan ada banyak jalan ke syurga!.

Dalam situasi krisis nilai inilah golongan yang ingin mengembalikan Islam ke Persada Keagungannya menghadapi segelintir umat Islam yang meragui, mempertikai, meremeh dan buruk sangka terhadap orang Islam. Pada masa yang sama mereka juga menghadapi orang kafir yang benci kepada Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Justeru, setiap individu yang ingin mempertahan dan setia dengan Islam pasti akan mengharungi ujian, rintangan, halangan, cemuhan, ejekan, cacian, makian dari mereka yang memang tidak redha dengan Islam. Manakala orang yang beramal secara sambil-lewa terhadap Islam akan mendapat sanjungan atau kurang menghadapi tekanan. Persoalannya apakah mereka yang tidak yakin dan malahan benci terhadap Islam ini tanpa disedari rupa-rupanya telah bersekongkol dengan Yahudi, Nasrani dan Puak Kafir lain sebagaimana Firman Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 120;
"Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada Engkau (wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut millah ( agama ) mereka ( yang telah terpesong itu )".
Oleh yang demikian, marilah kita tanpa mengira pegangan parti politik dan kedudukan, supaya benar-benar menghayati maksud ayat tadi yang jelas menyatakan bahawa orang kafir secara umumnya, Yahudi dan Nasrani khususnya tidak akan redha jika Islam kembali mengungguli kepimpinan ummah. Mereka akan mengadakan pelbagai alasan dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Islam supaya ianya diragui serta seterusnya dijauhi. Mereka turut mengatakan; "Apakah agama yang membenarkan perbezaan taraf antara lelaki dan wanita, mengenakan hukum rejam, kerat tangan dan sebat masih relevan dengan zaman ini?".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Begitulah Islam akan sentiasa dibenci. Inilah sunnah Islam. Tidak hairanlah jika golongan yang tidak meredhai Islam ini sentiasa menganjur serta melaksanakan pelbagai aktiviti yang boleh melalai, melekakan dan merosakkan iman serta akidah umat Islam. Mereka akan melakukan apa sahaja gangguan, sekatan, tuduhan, ancaman dan kekacauan semata-mata untuk memastikan supaya ada di kalangan umat Islam yang keliru, terpesong, menyeleweng, ragu-ragu dan tidak yakin dengan keupayaan Islam dalam menyelesaikan kemelut kehidupan umat manusia.

Hasil usaha yang gigih musuh-musuh Islam ini mereka telah berjaya menarik sebahagian penganut Islam untuk meninggalkan Islam. Mereka menganggap Islam tiada kaitan langsung dalam mengendalikan urusan dunia. Lebih menyedihkan lagi ialah penganut Islam yang berjaya dipesong dan dikelirukan ini kelihatan taat dalam melaksanakan ibadah; seperti solat, puasa, haji dan zakat. Ada ketikanya mereka memetik ayat Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w. apabila berhujjah, tetapi meninggalkan syariat Islam ketika mengendalikan urusan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Bukankah sebahagian besar umat Islam telah mempelajari Islam sejak kecil; dari Tadika, Sekolah Rendah, Menengah dan Pusat Pengajian Tinggi. Sama ada di masjid, surau dan di tempat-tempat turut mengadakan Kuliah-kuliah Agama. Para Pendakwah sentiasa memberi ingatan. Ibu bapa juga telah memberi teguran. Anggota masyarakat turut memainkan peranan. Sedangkan kecelaruan masih berterusan. Inilah isu yang patut difikir dan perlu diselesaikan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mereka yang keliru ini menganggap agama semata-mata sebagai urusan peribadatan. Sebab itulah agama mesti dipisahkan daripada amalan dunia. Mereka inilah golongan yang mengatakan judi dan arak dibolehkan apabila dilesenkan atau rasuah memang haram, tetapi kalau orang memberi dengan tidak diminta, ambil sahajalah. Seterusnya segala pesta, keramaian dan kegiatan tetap diteruskan walaupun ia mengandungi unsur yang bertentangan dengan syarak. Segala adat terus dilaksana walaupun berunsur khurafat dan amalan memuja sehingga menyelewengkan akidah.

Mengapa keadaan ini masih wujud?. Apakah segala Sistem Pembelajaran, maklumat dan penyampaian selama ini tidak berkesan, tersilap atau tidak mencapai sasarannya?. Atau Islam hanya disampaikan secara sambil-lewa tanpa menekankan bahawa ia adalah satu cara hidup yang sempurna!. Mengapa masih terdapat di kalangan umat Islam yang kuat berpegang serta yakin kepada panduan ciptaan manusia berbanding panduan yang diturunkan oIeh Allah SWT dan telah disampaikan oIeh Rasulullah s.a.w.?. Sedangkan pada masa yang sama mereka mengakui kesempurnaan ajaran Allah SWT. Ini yang dikatakan salah faham terhadap Islam, keliru, terpesong, sekular atau sesat. Wal'iyazu billahi.

Salah faham terhadap Islam ini wujud kerana pada masa yang sama segala kebaikan berlaku, pelbagai keburukan juga terjadi. Kebaikan dan kejahatan tadi dilakukan oIeh orang yang sama, penganjur yang sama dan penguasa yang sama. Pada satu waktu mereka adakan Majlis Tahlil, Bacaan Yasin dan Doa Selamat, tetapi selepas itu mereka juga yang menganjurkan Majlis Maksiat yang mendedahkan aurat atau seseorang pada suatu ketika melakukan kebaikan tetapi pada ketika lain berada di tempat yang ada unsur-unsur kemungkaran.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Lebih menyedihkan lagi bila seseorang pada satu-satu waktu amat bercakap tentang kebaikan dan kesempurnaan peraturan Islam tetapi pada masa yang sama ia juga sedang mengingkari peraturan Allah. Mereka mampu menyatakan bahawa syariat Islam itu baik dan sempurna, tetapi pada masa yang sama ia menyatakan riba itu harus kerana maslahah ‘aammah. Mereka berhujjah kalau tak terlibat dengan riba bagaimana nak dapat pinjaman, nak dapat modal dan meneruskan kegiatan, ini sangat mengelirukan.

Di samping itu tidak kurang juga ada di antara umat Islam yang sanggup menyatakan;

"Tak apalah kita melakukan sedikit dosa atau sekali-sekala melanggar syariat dengan sengaja kerana Allah memahami kita. Ada juga yang mengungkit selama ini telah banyak kebaikan yang telah mereka lakukan, maka bolehlah sesekali dilanggar perintah Allah, lepas itu mohonlah ampun dan bertaubat, kerana Allah Maha pengampun. Astaghfirullah, dengan sengaja dan sedar masih ada segelintir umat Islam yang berfikiran sedemikian. sedangkan Islam perlu dihayati, diamal dan dianuti secara menyeluruh meliputi zahir dan batin. Selagi masih ada segelintir umat Islam yang keliru, memisahkan agama dengan urusan kehidupan dan menyanjung tinggi segala pemikiran yang salah, tidak kira datang dari barat, timur atau mana-mana sahaja maka selama itulah umat Islam akan berterusan berhadapan dengan situasi sebegini.

Maka segala salah faham, kekeliruan, kekaburan, ketidak jelasan tentang penghayatan syariat Islam yang syumul ini perlu diperbetul dan diperangi habis-habisan. Setiap insan muslim yang mencintai kebenaran dan mahu melihat Syariat Islam terlaksana mesti sanggup melakukan jihad yang berterusan ke arah memberikan teguran, nasihat dan pandangan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Contohilah kehebatan peribadi Rasulullah s.a.w. serta para sahabat Baginda dalam mengamal dan mempertahankan segala syariat Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Oleh itu, marilah kita kembali menghayati, melaksana dan mengamalkan segala Tuntutan Islam sebenar berpandukan kepada Quran dan Sunnah. Insya-Allah, kita akan selamat dan sentiasa dibimbing oIeh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya.

"Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (di tempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oIeh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, Para Siddiqin, Para Syuhada' (orang yang mati syahid) dan orang yang soleh; serta mereka itulah teman yang sebaik-baiknya". "Yang demikian itu adalah kurniaan daripada Allah. Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui (akan balasan pahala-Nya)".

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 25 Februari 2011
Sumber : JAIS





0 komen:

Catat Ulasan

"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.