Memaparkan catatan dengan label Dakwah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dakwah. Papar semua catatan

08 Mac 2011

Kaedah Untuk Menarik Perhatian Sasaran Dakwah

Dalam Islam Awal
Dalam al-Quran, istilah dakwah mempunyai segi-segi lain. Dalam Surah 30 dalam al-Quran, ia bererti untuk memanggil yang meninggal untuk membangun dari makam pada Hari Pengadilan. Apabila digunakan dalam al-Quran ia pada umumnya dirujukkan pada jemputan Tuhan untuk hidup menurut keazamanNya. Oleh itu, apabila digunakan dalam abad-abad pertama Islam, ia menambahkan kandungan pesan dan kadang-kadang digunakan secara ditukarganti dengan sharī‘a dan dīn.

Dakwah juga dijelaskan sebagai tugas untuk "secara aktif menggalakkan umat Islam dalam penerusan kewarakan lebih kuat dalam semua aspek hidup mereka," suatu takrifan yang telah dijadikan pusat pada fikiran Islam sezaman.[1]

Tujuan Dakwah

Dalam teologri Islam, tujuan Dakwah adalah untuk menjemput orang, yang Islam dan bukan Islam, untuk memahami penyembahan Tuhan seperti disebutkan dalam al-Quran, dan juga untuk memberitahu mereka berkaitan Muhammad.[2] Seperti diarahkan ke yang bukan Islam, ia terdiri dari menjelaskan Islam melalui tindakan, perbincangan dan dialog.

Uslub Dakwah

Uslub dakwah bermaksud ilmu tentang cara berdakwah dengan menggunakan pendekatan-pendekatan dakwah dalam menarik golongan yang diseru kepada ajaran Islam

Sasaran Dakwah

Kaedah Untuk Menarik Perhatian Sasaran Dakwah

1. Mempermudahkan dan kelonggaran yang diberikan

Masyarakat non Muslim diberi pilihan dengan tidak ada paksaan untuk menerima Islam. Mereka boleh menilai dengan melihat kepada keperluan fitrah semulajadi yang ada dalam diri mereka. Islam sentiasa membenarkan pendakwah mempermudahkan dan menarik alternatif bagi memberi kelonggaran dalam beberapa hal kepada non Muslim dan saudara baru memeluk Islam.

2. Dakwah bil hal

Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat Islam hendaklah mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan ketenteraman sejagat. Setiap tindakan akan dilihat oleh masyarakat non Muslim untuk dinilai sebelum menerima Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut syariat Islam serta berbentuk ajakan kepada kesempurnaan Islam.

3. Dakwah melalui pendidikan

Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidkan Islam ini akan membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang sempurna. Dakwah secara ini perlu merujuk kepada cara dakwah Rasulullah S.A.W semasa di peringkat awal Islam yang lebih memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan.

4. Dakwah melalui pergaulan

Islam telah menggesa kepada umat Islam umumnya dan para pendakwah khususnya supaya mewujudkan suasana pergaulan yang baik dan menunjukkan jalan yang lurus kepada masyarakat yang belum Islam atau non Muslim. Para pendakwah harus mengenali latar belakang masyarakat yang hendak diseru itu terlebih dahulu supaya dapat melicinkan pergaulan dan proses bermuamalah dengan mereka.

5. Dakwah melalui ziarah

Ziarah merupakan satu usaha mendampingkan diri dengan non Muslim yang digalakkan oleh Islam terutama di waktu-waktu yang diperlukan seperti apabila mereka sakit, bermasalah, mahukan pertolongan dan seumpamanya. Ziarah boleh melapangkan dada mereka dan memberi ketenangan.

Sumber Artikel : Wikipedia




03 Mac 2011

Hak Seorang Muslim Terhadap Saudaranya

Rasulullah saw bersabda :
"Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam : jika bertemu maka berilah salam, jika tidak kelihatan maka bertanyalah, jika sakit maka jenguklah, jika mengundang maka penuhilah, jika bersin dan mengucapkan hamdalah maka jawablah (dengan mengucapkan 'yarhamukallah' , dan jika meninggal dunia maka hantarkanlah (ke kubur)." (HR Muslim)
PERTAMA : Jika bertemu maka berilah salam

Mengucapkan salam adalah langkah pertama dan ianya akan semakin mantap jika diikuti dengan berjabat tangan.

Ucapan salam mesti disertai dengan perasaan :
  • Cinta.
  • Senang hati.
  • Wajah yang berseri.
Ini adalah agar fungsi ucapan salam itu dapat diwujudkan. Selepas itu bolehlah saling memperkenalkan nama, pekerjaan dan tempat tinggal. Dengan yang demikian, kita telah memulakan tahap awal dalam berdakwah.

KEDUA : Jika tidak kelihatan maka bertanyalah

Watak sebuah perkenalan adalah jika seseorang yang sudah kita kenali itu tidak ternampak dalam waktu yang tertentu, maka kita mesti mencari khabar berita tentang keadaannya atau menghubunginya, samada melalui telefon, surat, e-mail ataupun SMS.

KETIGA : Jika sakit maka jenguklah

Sunnatullah akan berlaku pada setiap orang di mana pada suatu ketika ia akan merasa :
  • Gembira.
  • Sedih.
  • Sakit.
Maka setiap keadaan mesti dihadapi dengan sikap yang Islamik. Jika kita mendengar bahawa sahabat kita sakit, kita mesti cepat-cepat :
  • Menjenguknya.
  • Memberikan ketenangan kepadanya.
  • Mendoakan untuk kesembuhannya.
  • Membawa hadiah yang sesuai.
Rasulullah saw bersabda :
"Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana hadiah itu akan menjadikan kamu saling mencintai." (HR Malik dalam "Al-Muwatha" ')
Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :
"Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya sesama muslim kerana Allah, maka malaikat akan berseru kepadanya, 'Kamu dalam keadaan baik dan baik pula tempat tujuanmu, kamu pun akan ditempatkan di syurga.'" (HR Muslim)
Di tempat sahabat kita tersebut, kita pun dapat berkenalan dengan sahabat-sahabatnya yang lain dan dengan yang demikian kita akan semakin ramai mempunyai kenalan.

Jangan sampai kunjungan itu kita pergunakan untuk membaca Al Qur'an, majalah atau berbual yang tidak ada gunanya agar tujuan dan matlamat kunjungan tersebut dapat dipenuhi.

Jika kita masuk rumahnya, hendaklah kita duduk di mana kita dipersilakan duduk.

Diriwayatkan dalam sebuah atsar :
"Barangsiapa masuk rumah salah seorang di antara kamu maka duduklah di tempat tersebut, kerana kaum itu lebih mengetahui aurat rumah mereka." (HR Thabrani)
KEEMPAT : Jika ia mengundangmu maka penuhilah.

Setelah melewati tahapan-tahapan di atas maka hubungan antara kita dengan sahabat kita akan semakin erat. Suatu ketika, sahabat kita akan menghadapi keadaan-keadaan penting seperti kejayaan dalam tugas, perkahwinan atau yang lainnya, lalu ia mengundang kita untuk menghadiri acara-acara tersebut.

Kita mesti memenuhi undangan tersebut kerana ini merupakan kesempatan berharga yang tersedia tanpa perlu kita rancangkan terlebih dahulu. Begitu juga sebaliknya, kita pun mesti mengundangnya dalam acara-acara penting yang kita adakan.

KELIMA : Jika ia bersin dan mengucapkan "hamdalah" maka jawablah (ucapkan "yarhamukallah")

Duduk bersebelahan dengan orang yang belum dikenali di suatu tempat, samada di perjalanan, majlis keramaian ataupun tatkala menjenguk orang sakit, lalu orang yang duduk di sebelah kita itu bersin maka hendaklah kita menoleh kepadanya dengan wajah berseri seraya mengucapkan, "yarhamukallah” (mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada Anda)."

Tentunya perkara ini akan menjadikan dirinya merasakan sesuatu yang baru dan selepas itu kita dapat bercakap-cakap dengannya.

KEENAM : Jika ia meninggal dunia maka hantarkanlah ke tempat pemakamannya.

Apa yang dapat kita lakukan setelah seseorang itu meninggal dunia dan dikuburkan?

Pada hakikatnya, menghantar orang lain yang meninggal ke tempat pemakaman adalah menghantar dirinya sendiri, yang ia akan dapat mengambil nasihat, pelajaran, dan merenungkannya.

Ini sebuah sunnah Rasulullah saw yang menggambarkan persatuan dan kesatuan kaum muslimin.

Jika sebelumnya, kita dapat mengenal peribadi orang yang telah meninggal dunia, maka sekarang kita dapat menggunakan kesempatan untuk berkenalan dengan keluarganya dan orang-orang yang berta'ziah ke rumahnya.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :
"Barangsiapa menghadiri jenazah hingga menyolatkannya, maka baginya pahala satu qirath. Barangsiapa menyaksikan hingga di makamkan, maka baginya dua qirath." Seorang sahabat bertanya, "Apakah dua qirath itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Seperti dua gunung yang besar." (Muttafaqun 'Alaih)
LANGKAH-LANGKAH YANG MESTI DITEMPUH

Dari Abu Hurairah ra, ia berkata, Rasulullah saw bersabda :
"Setiap angota badan manusia diwajibkan mengeluarkan sedekah setiap hari di mana matahari terbit. "Para sahabat bertanya, "WahaiRasulullah, bagaimana kita dapat bersedekah?" Rasul menjawab, "Sesungguhnya pintu untuk berbuat baik itu sangat banyak. Bertasbih, bertakbir, dan bertahlil adalah sedekah; menyingkirkan duri dijalanan adalah sedekah; menolong orang tuli atau buta adalah sedekah; dan menunjukkan orang yang kebingungan, menolong dengan segera orang yang sangat memerlukan adalah sedekahmu terhadap dirimu."
PERTAMA : Bertasbih, Bertakbir Dan Bertahlil

Ucapan tersebut adalah ucapan yang diungkapkan dengan :
  • Lisan.
  • Rasa khusyu' dalam hati.
  • Munajat kepada Allah.
Ini adalah agar seorang muslim tetap berhubung dengan Allah Yang Maha Berkuasa.

Ia juga merupakan kekuatan yang dapat membantu untuk bersabar dan istiqamah.

Berzikir merupakan ibadah yang dapat dilakukan setiap ketika. la juga merupakan mesin yang tiada henti-hentinya bergerak membersihkan jiwa dari berbagai kotoran. Orang yang berzikir akan mendapatkan pahala yang amat besar.

KEDUA : Menyingkirkan Duri Di Jalanan.

Pernahkah kita melihat ibubapa kita dan datuk nenek kita rajin menyingkirkan :
  • Batu.
  • Duri.
  • Tulang.
dari tengah jalan agar tidak mengganggu orang yang melalui jalan itu? Ini menunjukkan hukum dan ajaran Islam tertegak dalam masyarakat kita.

Jika mereka menemui kertas bertuliskan ayat Al-Qur'an, hadits atau huruf Arab, maka mereka membakarnya atau menyimpannya. Di samping itu, mereka juga menyapu depan rumah dan kedai serta membakar sampah yang sudah menumpuk.

Itu semua mereka lakukan kerana didorong oleh satu faktor iaitu Aqidah Islamiah yang telah tertanam dalam hati mereka.

Tatkala kaum muslimin tidak mahu melaksanakan ajaran Islam, kita melihat tumpukan-tumpukan sampah berada di merata tempat, lalat bertebaran di mana-mana dan penyakit tersebar di setiap rumah.

Rasulullah saw telah mengajarkan kepada kita agar menyingkirkan duri dari tengah jalan dan menjadikannya sebagai sedekah yang berpahala besar. Oleh yang demikian, jika ada di antara kita yang melempar duri atau yang lainnya ke tengah jalan, maka baginya suatu dosa.

Rasulullah saw bersabda :
"Tatkala seseorang berjalan di suatu jalan dan menjumpai duri, lalu ia singkirkan duri tersebut, maka Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."
Ini bukan hanya tanggungjawab setiap peribadi seorang muslim, tetapi juga merupakan tanggung jawab yang mesti dilaksanakan oleh pemerintah Islam untuk menjaga kesihatan masyarakatnya dan "'izzah" (kehormatan) umat Islam.
Umar bin Al Khatthab ra berkata :
"Seandainya seekor keledai ditemui (tersesat) di Iraq, maka sayalah yang bertanggung jawab, (kerana) kenapa saya tidak menunjukkan jalan pulang baginya."
Orang-orang yang biasa pergi ke negara-negara Barat akan kehairanan melihat jalan-jalan dan lorong yang bersih. Pemerintah negara-negara tersebut menyediakan berbagai kemudahan berupa tong-tong khusus untuk mengumpulkan sampah, suratkhabar dan majalah lama pada hari-hari tertentu termasuk perabot rumah tangga yang sudah tidak dipakai lagi. Bahan-bahan yang kaca pula diletakkan dalam satu tempat khusus. Oleh yang demikian, barang-barang lama ini dapat dikitar semula.

Selain itu, setiap orang diwajibkan membersihkan lingkungan rumah dan kedainya, membersihkan salji dan daun-daun yang berjatuhan. Jika ada seseorang yang terpeleset dan tidak terima lalu membawa permasalahannya ke mahkamah, maka tuan punya rumah boleh dikenakan denda, kadang-kadang boleh sampai seribu dolar.

Dengan cara ini, setiap bandar atau desa berusaha untuk membersihkan dan menjaga keindahannya agar menarik perhatian pelancong.

Jika umat Islam mahu melaksanakan seruan Rasulullah saw ini, iaitu mahu menyingkirkan duri dan yang semacamnya dari jalan, niscaya masyarakat Islam akan tampil dengan penampilan yang indah dan berseri dan dengan yang demikian, mereka telah menunjukkan jati diri ajaran Islam yang sebenarnya.

KETIGA : Menolong Orang Yang Tuli Atau Buta.

Ada seorang yang "ummi" (buta huruf) menerima surat dari anaknya, seorang tentera yang sudah lama ia tunggu khabar beritanya. Tentu sahaja ia akan sangat memerlukan orang yang boleh membacakan surat tersebut. Begitu juga dengan orang yang tuli.

Bagi golongan ini, walaupun manusia di sekitarnya aktif berkomunikasi, namun mereka tidak menampakkan tanda-tanda interaksi sama sekali kerana mereka tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Golongan ini tidak merasakan keberadaan mereka dan tidak merasakan nikmatnya hidup kecuali jika ada orang-orang di sekelilingnya mahu mengambil peduli terhadap permasalahan yang sedang mereka hadapi.

Ada satu kisah di salah satu Pusat Islam di Eropah, di mana terlihat seorang pemuda warga Jerman ketika ceramah berlangsung, dia hanya diam sahaja dan jelas sekali seolah-olah ia tidak mengikuti ceramah yang sedang berlangsung kerana tidak memahami bahasa Arab. Lalu seorang di antara orang-orang Arab di situ menterjemahkan isi ceramah tersebut kepadanya dan dia mula menunjukkan minatnya dan merasa cukup gembira.

Apakah perasaan yang dirasakan oleh orang yang tuli dan buta tatkala mereka tidak dihiraukan oleh masyarakatnya?

Tentu sahaja mereka akan menderita dan mungkin akan membenci orang-orang yang ada di sekitar mereka.

Menolong orang yang tuli dan buta menunjukkan sikap :
  • Saling mencintai.
  • Saling mengasihi.
  • Saling menolong.
  • Memperlihatkan karakteristik Islam.
Kita telah mengetahui kesusahan yang dialami oleh orang yang buta jika ia ingin pergi ke pasar, ia memerlukan seorang teman sebagai penunjuk jalan dan jika ia tidak mendapatkan teman lalu ia keluar ke jalan dengan menggunakan tongkat padahal ia tidak tahu arah ke pasar, pasti ia akan kebingungan.

Jika dalam keadaan semacam ini, kita tampil dan mendekati laki-laki itu kemudian membimbingnya dengan lembut dan sopan ke arah yang ia tuju, maka kita telah berbuat baik terhadap orang itu dan telah mengembalikan nama baik Islam.

KEEMPAT : Menunjukkan Orang Yang Kebingungan

Ramai orang yang kebingungan tatkala berada di daerah yang belum ia kenali. Tentu sahaja ia sangat memerlukan orang yang dapat menunjukkan jalan kepadanya.

Ia bertanya ke sana ke mari, tetapi jawaban yang ia terima adalah, "Saya tidak tahu."

Ia bertanya kepada orang kedua dan orang itu menjawab sambil menunjuk ke suatu arah, "Silakan berjalan terus ke arah itu dan apabila sampai di sebelah sana, maka bertanyalah."

Ia kemudiannya bertanya kepada orang ketiga dan orang itu menjawab, "Mari saya hantar ke tempat tujuan kamu." Kemudian ia menghantarnya hingga sampai ke tujuan.

Orang ketiga inilah orang yang berbuat baik dan meninggalkan kesan yang baik pula di hati orang lain.

Allah swt berfirman :
"Wahai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabb kamu, dan berbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan." (QS Al-Hajj : 77)
Beberapa anak kecil yang bermain di luar rumah di mana mereka berlari-lari dan semakin lama semakin jauh dari rumah mereka. Tatkala tersedar, mereka kebingungan kerana tidak tahu jalan pulang ke rumah mereka.

Seandainya seorang dari mereka tidak menjumpai orang yang dapat menghantarnya pulang, maka cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku jika ia terus berjalan dan memasuki tempat-tempat yang ia tidak kenali.

Orang yang kehilangan begnya yang berisi surat-surat penting akan sangat berterima kasih kepada orang yang menemui beg itu dan mengembalikan kepadanya.

Orang-orang yang mahu melaksanakan tugas-tugas ini akan dapat menumbuhkan rasa cinta dan menanamkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat dan inilah tugas seorang pendakwah.

KELIMA : Menolong Dengan Segera Orang Yang Memerlukan Pertolongan.

Orang yang ditimpa musibah dan memerlukan pertolongan dengan segera seperti rumahnya terbakar, orang yang tenggelam, orang yang ditimpa bencana dan lain-lainnya, maka dalam keadaan seperti itu kita mesti segera berbuat sesuatu.

Sebuah syair Arab mengatakan ;
“Jangan menunda pertolongan hanya kerana mengharap datangnya bukti Tatkala saudaramu ditimpa musibah yang menghiris hati.”
Tatkala berada dalam keadaan yang berbahaya seperti ini, setiap orang akan benar-benar mengharapkan adanya orang yang mahu menolong. Oleh kerana itu, jika seseorang dalam keadaan seperti itu lalu ada orang yang tampil untuk menolongnya, ini merupakan sifat ‘muru'ah’ dan akan meninggalkan kesan yang amat baik yang tidak akan terhapus dengan bergantinya masa serta akan menumbuhkan rasa cinta dan kasih.

Ada sebuah kisah yang berlaku di sebuah universiti di Mesir di mana seorang mahasiswi yang tidak bertudung sedang berjalan-jalan di halaman fakulti dengan mahasiswi-mahasiswi yang lain yang memakai tudung.

Dengan secara tiba-tiba mahasiswi yang tidak memakai tudung itu jatuh pingsan dan tersungkur ke tanah. Teman-temannya dengan cepat menolongnya.

Setelah ia sedar, ia tercengang kehairanan kerana yang berada di sekitarnya adalah para wanita bertudung lalu ia berkata, "Demi Allah, saya tidak pernah terfikir atau membayangkan sikap kamu begitu baik."

Mungkin ia telah termakan oleh kebohongan-kebohongan yang disebarkan tentang wanita bertudung sehingga ia beranggapan bahawa seorang wanita bertudung tidak mempunyai rasa kasih sayang dan berjiwa sosial.

Allah swt berfirman :
"Sebenarnya Kami melontarkan yang haq kepada yang batil, lalu yang haq itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap." (QS Al-Anbiya' : 18)
Allah swt juga telah menjelaskan tugas dan memberi tunjuk ajar kepada kita :
"Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang setia." (QS Fushilat : 34)
Ada sebuah ungkapan yang mengatakan :

"Berbuat baiklah, dan lemparkan kebaikan itu ke dalam lautan."

Tetapi para pendakwah mengatakan :

"Berbuat baiklah kerana Allah, niscaya kebaikan itu akan kembali kepadamu di
dunia mahupun di akhirat.
"
Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami amalkan sabda-sabda NabiMu sebagai wasilah dakwah yang akan memudahkan kami untuk berinteraksi sesama manusia dengan menanam benih ikatan kemasyarakatan serta menjadi sebab kepada manusia mendapat petunjuk dan hidayah dariMu untuk kembali tunduk dan menyerah diri kepadaMu. Amin..




01 Mac 2011

Bagaimana Mewujudkan Perpaduan?


Allah telah sediakan satu kaedah yang khusus untuk bersatu padu melalui firman-Nya.

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ

“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.” (Ali Imran: 103)


Dapat difahami dari ayat ini, kalau umat Islam mahu bersatu, mereka perlu berpegang pada tali Allah. Kita perlu diikat kepada Allah yang Esa. Apakah tali Allah itu?

Ada ulama yang mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai syariat Allah. Maknanya kita umat Islam perlu sama-sama menerima dan mengamalkan segala hukum hakam Allah sama ada yang wajib, yang sunat, yang haram, yang makruh dan yang harus (mubah). Dengan itu hati-hati kita akan terikat di antara satu sama lain.

Ada juga ulama yang mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai rasa cinta dan rasa takut kepada Allah. Kalau semua umat Islam sama-sama dapat rasa cinta dan rasa takut kepada Allah, nescaya hati-hati mereka akan sama-sama terikat kepada Allah yang Esa dan mereka akan berkasih sayang dan bersatu padu di antara satu sama lain.

Dalam pada itu perpaduan manusia ada dua bentuk. Ada perpaduan yang berbentuk sementara dan ada perpaduan yang kekal. Perpaduan yang berbentuk sementara seperti kita menghadapi musuh yang sama. Bila musuh sudah tidak ada, kita berpecah semula. Atau kita sama-sama menghadapi sesuatu musibah. Bila musibah sudah tidak ada, kita berpecah. Atau kita sama-sama keluar negara. Semasa di luar negara kita berpadu kerana kita berada di negara orang dan semuanya berbeza dengan adat resam kita. Tetapi setelah kembali ke tanah air, kita berpecah.

Hanya ada satu bentuk perpaduan yang kekal iaitu perpaduan yang disebabkan kerana Allah. Allah itu kekal dan sesiapa yang berkasih sayang dan bersatu padu kerana Allah maka kasih sayang dan perpaduan yang dicapai itu akan turut kekal sampai bila-bila.

Dalam Islam segala sesuatu ada rukunnya, maka rukun bersatu itu boleh dibahagi kepada 5 bahagian:

1. Bersatu Aqidah

Keyakinan dan pegangan kita mesti tepat sebagaimana yang dikehendaki dalam iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, iaitu meyakini keenam rukun Iman dengan sebenarnya.
  • Yakin kepada ALLAH dan semua sifat-sifat-Nya yang wajib, mustahil serta yang jaiz bagi ALLAH.
  • Yakin kepada 10 malaikat sebagaimana yang diceritakan dalam Al Quran.
  • Yakin kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul.
  • Yakin kepada 25 Rasul yang disebutkan dalam Al Quran.
  • Yakin kepada hari akhirat.
  • Yakin kepada qada' dan qadar, semuanya datang dari ALLAH Taala.
Kalau ada yang beriktiqad atau beraqidah selain Ahlus Sunnah Wal Jamaah sudah pasti tertolak, sepertimana yang telah dijelaskan dalam hadis Baginda Rasulullah SAW.
“Bahawasanya bani Israel telah berfirqah sebanyak 72 firqah dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya akan masuk Neraka kecuali satu.” Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya: “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab: ” Yang satu itu ialah orang yang berpegang sebagai peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, lihat Sahih Tirmizi, juz 10, awal surat 109)
2. Bersatu dalam bersyariat

Bersatu syariat itu ialah bersatu dalam menerima dan melaksanakan hukum-hukum ALLAH, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Dalam kegiatan hidup kita sehari-hari, kita tidak dapat melepaskan diri dari salah satu hukum tersebut melalui kerja apa pun baik kerja yang kecil mahupun kerja yang besar. Mari kita dalami takrif rukun-rukun tersebut:
  • Wajib: Dilaksanakan mendapat pahala dan ditinggalkan berdosa, maka dalam hal ini wajib dilaksanakan.
  • Sunat: Dilaksanakan diberi ganjaran pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa, maka kedudukannya eloklah dilaksanakan.
  • Haram: Dilaksanakan berdosa dan ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya wajib ditinggalkan.
  • Makruh: Jika dilaksanakan(larangannya) tidak berdosa (tapi ALLAH benci) dan jika ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya elok ditinggalkan.
  • Harus: Suatu perbuatan yang kedudukannya tidak berdosa dan tidak mendapat pahala jika dilaksanakan atau ditinggalkan, maka perbuatan tersebut boleh dilaksanakan dan boleh ditinggalkan, sesuai pilihan hati.
Walau bagaimanapun dalam Islam perbuatan yang harus itu, dapat memberi manfaat kepada kita atau dengan kata lain dapat menjadi ibadah dan mendapatkan pahala kalau kita laksanakan dengan mematuhi lima syarat:
  1. Niat yang benar dan tepat (kerana ALLAH),
  2. Perbuatan yang dilaksanakan itu dibolehkan oleh syariat (tidak bertentangan dengan syariat),
  3. Perlaksanaannya mengikuti syariat, 
  4. Natijahnya (hasilnya) mesti betul (untuk tujuan meninggikan syiar Islam dan tidak bercanggah dengan syariat)
  5. Tidak meninggalkan atau mengabaikan ibadah yang asas (yang terkandung dalam fardhu ain).
Jadi, bila kita diperintahkan bersatu dalam syariat, bererti kita diperintahkan menerima segala ketetapan lima hukum tersebut. Menerima di sini maksudnya memahami, mengamalkan dan memperjuangkannya. Maksudnya yang lebih jelas ialah perbuatan yang wajib dan sunat itu hendaklah difahami, diyakini, diamalkan dan diperjuangkan. Semua perbuatan yang haram dan makruh hendaklah difahami, diyakini dan ditinggalkan serta diperjuangkan untuk menghapuskannya. Dan selanjutnya semua perbuatan yang harus, difahami, diusahakan serta digalakkan supaya menjadi ibadah.

Supaya lebih jelas lagi, perhatikan contoh berikut ini: Hal-hal yang berhubungan dengan akidah, ibadah, akhlak, jihad, tarbiah, siasah (politik) dan lain-lain adalah perbuatan wajib, maka umat Islam harus menerimanya sebagai hukum wajib serta berusaha memahami, mengamalkan dan memperjuangkannya supaya ditegakkan secara bersama-sama dan bersungguh-sungguh.

Sebaliknya, hal-hal yang berhubungan dengan arak, zina, korupsi, judi, buka aurat, pergaulan bebas, riba dan lain-lain adalah perbuatan haram, maka seluruh umat Islam harus bersama-sama meyakininya sebagai hukum haram dan berusaha meninggalkannya serta memperjuangkannya supaya tidak diamalkan oleh masyarakat dan berusaha menghapuskannya secara bersama-sama dan bersungguh-sungguh.

Apabila yang wajib dan sunat, sama-sama diterima, lalu diamalkan umat Islam, maka di situlah kita bersatu. Begitu juga kalau yang haram dan makruh, sama-sama diterima, lalu dijauhkan oleh umat Islam, maka di situlah kita bersatu.

3. Bersatu dalam berakhlak

Bersama-sama berusaha memiliki akhlak yang baik. Mencontoh akhlak Rasulullah SAW dalam segala hal, seperti cara makan, pakaian, sifat sabarnya, ikhlasnya, tawadhuknya, zuhudnya, dermawannya, pemaafnya, bicaranya, bergaulnya, kebersihannya, ibadahnya dan lain-lain yang menjadi sunnah hidupnya. Di samping itu hendaklah kita bersama-sama berusaha membuang semua akhlak yang buruk dan keji seperti sombong, bakhil, penakut, cinta dunia, pemarah, hasad dengki, keluh-kesah dan mazmumah lain yang bersarang dalam hati manusia. Jika ini dapat dilaksanakan umat Islam, maka kita akan bersatu, begitulah sebaliknya.

4. Bersatu dalam Perkara-perkara Khilafiah

Bersikap terbuka, lapang dada dan tenggang rasa dalam masalah khilafiah. Hendaklah kita fahami bahawa Islam memperbolehkan dan membenarkan adanya perbezaan pendapat dalam masalah furu'iyah tanpa mengganggu atau merosak persoalan asas (pokok) Islam itu sendiri. Nabi SAW pernah bersabda, bermaksud:
“Perbezaan pendapat di antara umatku adalah mendatangkan rahmat. “ (Riwayat A1 Baihaqi) 
Dalam hadis yang lain dari Ibnu Abbas bermaksud:
“Perbezaan di antara sahabatku bagi kamu adalah suatu rahmat. “(Ehya’). 
Kerana itu sikap kita terhadap hal-hal khilafiah hendaklah sama-sama kita terima dan jangan dijadikan isu sensitif dan sebab persengketaan.

5. Bersatu Dalam Menilai Kawan Dan Lawan

Islam telah menetapkan siapakah kawan dan lawan, sahabat dan musuh. Maka hendaklah kita sama-sama dapat mengenalinya. Yang menjadi musuh sama-sama kita jadikan sebagai musuh dan menolaknya tanpa ragu sedikitpun. Kawan dan sahabat hendaklah kita jadikan sebagai sahabat dan sama-sama menerima sebagai sahabat, bergaul dengannya, mempertautkan kasih sayang dengannya serta bermuafakat dalam urusan agama. Sekiranya ada pihak yang mencuba untuk menghancurkannya, harus kita pertahankan.

Dalam Al Quran ALLAH menjelaskan kepada kita siapa musuh dan siapa sahabat atau saudara kita sebagai orang mukmin. Firman ALLAH tentang musuh:

 وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡ‌ۗ 
“Dan tidak akan redha oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani itu selama-lamanya kepada kamu hingga kamu mengikuti millah (cara hidup) mereka. “(Al Baqarah: 120) 

Firman ALLAH tentang sahabat dan saudara:

 إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ 
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara satu sama lain, oleh kerana itu berusahalah mendamaikan kedua saudaramu yang bertikai dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat.“(A1 Hujuraat: 10)
Demikianlah pengertian dan konsep bersatu dalam lslam. Dengan konsep itu Islam memanggil dan menyeru seluruh bani insan bernaung di bawahnya tanpa melihat bangsa, warna kulit, bahasa, keturunan, daerah, negara dan perbezaan lahiriah lain yang palsu, yang direka oleh manusia untuk mempertahankan statusnya yang bersifat sementara itu. Walaupun pada lahirnya ada perbezaan bangsa, bahasa dan warna kulit di antara manusia itu, tapi apa yang ALLAH jadikan itu semata-mata mempunyai hikmah yang amat besar untak manusia itu sendiri, iaitu untuk tujuan saling kenal-mengenal. Firman ALLAH:

 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ 
“Hai manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal dan mengadakan hubungan." (Al Hujuraat: 13)
Islam menyatukan seluruh manusia sedunia di bawah namanya dengan lima ikatan yang kukuh dan sejati sambil membebaskan mereka dari segala kungkungan keduniaan yang sempit dan pura-pura. Kalau semua umat Islam menerima konsep itu serta mempraktikkannya, maka itulah kekuatan hakiki yang menjamin kejayaan perjuangan yang sedang kita usahakan dan lalui ini.

Sudahkah Bersatu?

Dalam soal aqidah, dalam satu jamaah, atau parti, ada yang berpegang sebenar-benar Ahlus Sunnah Wal Jamaah, ada yang sekadar mengaku Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sebenarnya tidak begitu, ada yang beraqidah syiah, muktazilah, mujassimah dan lain-lain. Dimana bersatunya? Sedangkan yang dijamin selamat oleh Rasulullah SAW, dari 73 firqah itu hanya Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Dalam soal syariat pula, bersatu yang dimaksudkan di sini ialah bersama-sama dalam menerima hukum-hukum ALLAH. Itu bererti kalaupun berada dalam satu organisasi atau persatuan kalau masih berbeza atau tidak sama-sama menerima hukum-hukum ALLAH yang wajib dan sunat serta menolak yang haram dan makruh, maka hakikatnya belum bersatu.

Contohnya menutup aurat hukumnya wajib. Kalau dalam satu persatuan itu ada anggotanya yang tidak menutup aurat dan yang lain menutup aurat, maka di antara anggota-anggotanya masih dianggap belum bersatu. Riba hukumnya haram. Kalau masih ada anggotanya makan riba atau pun mendukung institusi riba dengan memberikan riba, sementara yang lainnya tidak makan riba atau menentang riba, maka anggota-anggotanya masih dianggap belum bersatu. Demikian juga dengan persoalan-persoalan yang lain.

Berdasarkan contoh di atas, jelaslah kepada kita bahawa umat Islam yang ada hari ini belum lagi bersatu termasuk anggota atau mereka yang menjadi anggota organisasi atau badan politik, kebajikan sampai badan dakwah sekalipun masih belum bersatu, walaupun berada di dalam satu wadah. Kita dapat melihat sekarang ini mereka sama-sama tidak sembahyang, masih menerima fahaman sekular, tidak menutup aurat, terlibat dengan sistem ekonomi riba, terlibat dengan perzinaan, arak, judi, pergaulan bebas dan segala macam maksiat.

Secara tidak langsung mereka itu menentang ALLAH walaupun kadang-kadang lidahnya berbicara tentang Islam. Sesama Islam mereka juga bermusuhan, sebaliknya dengan musuh mereka saling menolong dan bersahabat baik. Musuh dianggap kawan dan kawan dianggap musuh. Kebaikan dianggap kejahatan dan kejahatan dianggap baik...ini hakikat. Kalau pun kelihatan mereka itu bersatu tetapi mereka itu bersatu adalah sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH dalam Al Quran:

ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ وَٱلۡمُنَـٰفِقَـٰتُ بَعۡضُهُم مِّنۢ بَعۡضٍ۬‌ۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمُنڪَرِ وَيَنۡہَوۡنَ عَنِ ٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَقۡبِضُونَ أَيۡدِيَہُمۡ‌ۚ
 "........... mereka itu sebahagian di antara sebahagian yang lain saling membantu menyuruh membuat kemungkaran dan melarang dari berbuat ma'ruf......" (At Taubah: 67) 
Ataupun bersatu seperti yang digambarkan oleh ayat Al Quran:

تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعً۬ا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰ‌ۚ 
"Kamu lihat mereka itu bersatu padu, tetapi hati mereka berpecah belah".(Al Hasyr: 14)

Itulah hakikatnya yang terjadi sekarang ini, bahawa sesungguhnya umat Islam belum lagi bersatu secara total. Apa yang terjadi ialah perpecahan di segala aspek hingga timbul peperangan dan pertumpahan darah. Kalau kita lihat keadaan umat hari ini, bagaikan mustahil untuk bersatu. Ramai yang mengajak "bersatu", hakikatnya mengajak bergabung, bukan bersatu. Kumpulan A di ajak bergabung dengan kumpulan B. Kalau sekadar itu belum bersatu lagi, mengikut definisi Islam. Kerana bersatu itu mesti berpegang pada tali Allah (rukun-rukun bersatu).

Namun Rasulullah SAW telah buktikan bahawa umat ini boleh bersatu. Baginda mulakan dengan mengajak umat ini mengenal Allah, mencintai Allah. Mereka beraqidah dengan aqidah yang benar. Kemudian Rasul ajarkan peraturan syariat, sama-sama mereka tegakkan. Lalu Rasul menunjukkan contoh dan akhlak yang mulia, mereka mencontohi baginda. Rasul ingatkan agar berlapang dada, jangan berkrisis dalam perkara khilaf dan remeh temeh, mereka taat. Dan Rasul mengenalkan mereka siapa kawan dan siapa musuh, mereka berukhwah dengan kawan bagaikan adik beradik, dan mereka bermusuh dengan musuh, kerana musuh-musuh itu adalah musuh Allah.

Maka..Rasulullah berjaya. InsyaAllah kita juga akan berjaya jika kita ikut apa yang ditunjuki Rasulullah SAW.

PERHATIAN!!

Semua ini tidak akan tercapai selama mana masyarakat tidak memenuhi masjid-masjid atau surau-surau yang telah terbina di setiap ceruk rantau dari kampung hingga ke bandar untuk mengimarahkannya. Sebab itu Rasulullah SAW telah bertindak secepat mungkin untuk membina masjid setibanya baginda di Madinah dalam peristiwa hijrah. Begitu juga peristiwa Isra' dan Mikraj, bermulanya dengan masjid dan berakhirnya atau kemuncaknya dengan solat!
SOLAT BERJEMAAH ASAS KEKUATAN PERIBADI, MASYARAKAT & UMMAH !!




Daulatkan Agama, Martabatkan Bangsa


Kepentingan agama perlu didahulukan-kepentingan bangsa dan bahasa akan menyusul dengan sendirinya.Dimana kekuatan agama, bangsa dan bahasa? Adakah ketiga-tiganya satu atau terpisah? Jika persoalan ini dapat diselesaikan, maka perjuangan menegakkan islam, kepentingan Melayu dan bahasa, akan lebih jelas. Dan tentunya ini akan dapat mengurangkan konflik atau dilema yang kerap berlaku dalam usaha mendaulatkan agama, memperkuatkan bangsa dan memartabatkan bahasa.

Islam adalah pegangan hidup yang tertinggi mengatasai sebarang agama dan ideologi. Allah SWT berfirman:
“Dan Dialah yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa agama (sisitem hidup) yang sebenarnya untuk dimenangkan di atas segala bentuk agam (sistem hidup) selainnya, walaupun orang-orang yang syirik tidak menyukainya.” (As Saff: 9)
Ini diperkuatkan lagi oleh sabda Rasulullah SAW:
“Islam adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.” (Riwayat Baihaqi dan Darul Quthni)
Dengan itu, mana-mana bangsa atau golongan yang benar-benar menjadikan Islam sebagai pegangan hidup, layak untk memperolehi ketinggian darjat selaras dengan ketinggian Islam. Allah SWT telah menegaskan hal ini melalui firmanNya:
“Jangan kamu berasa takut, jang kamu merasa gentar, engkaulah ummah yang tertinggi dan mulia jika kamu beriman.” (Ali Imraan: 139)
Tegasnya, bangsa yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup akan menjadi bangsa yang mulia. Mereka menjadi kuat kerana dengan Islam, mereka akan mendapat taqwa – satu kekuatan yang akan memuliakan manusia, tidak kira apa bangsa atau warna kulit sekalipun.

Bila satu-satu bangsa bertaqwa, maka Allah akan menjadi pembela dalam setiap usaha dan perjuangan mereka. Firman Allah:
“Allah menjadi pembela kepada orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 190)
Justeru itu tidak hairanlah, mana sahaja bangsa yang bertaqwa, Allah akan menjadikan mereka penguasa dunia. Firman-Nya:
Dan Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman di kalangan kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa sesungguhnya akan dijadikan khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana telah dijadikanNya khalifah yang berkuasa orang-orang sebelum mereka.” (An Nur: 55)
Sejarah telah membuktikan hakikat ini bangsa Arab yang sebelumnya terkenal jahil, telah bertukar menjadi bangsa yang kuat dan mulia setelah menerima Islam. Dalam jangka masa yang tidak sampai 30 tahun selepas ke-Islamannya, umat Arab telah menjadi empayar dunia. ini telah diakui oleh Saiyidina Umar Ibnul Khattab r.a dengan katanya:
“Kami bangsa Arab kuat dan berkuasa kerana Islam semata. Tanpa Islam kami tetap akan menjadi bangsa yang rendah dan terhina.”
Ketetapan Allah ini tidak hanya kepada bangsa Arab, malah, Turki, Mongol, Kurdi, Tartar dan lain-lain juga telah pernah menempa zaman keagungan masing-masing dengan Islam. Inilah rahsia kekuatan yang dibina oleh pemimpin-pemimpin yang bertaqwa di kalangan bangsa-bangsa itu, seperti Nabi Muhammad dari kalnagn bangsa Arab, Muhammad Al Fateh dari bangsa Turki, Salahuddin Al Ayubi dari bangsa Kurdi dan Timurlame dari bangsa Tartar. Dengan mendaulatkan Islam, mereka menjadi bangsa yang kuat dan mulia.

Bangsa Melayu juga tidak terkecuali daripada ketetapan Allah ini. walaupun bangsa Melayu belum pernah menjadi empayar bertaraf dunia, tetapi Islam telah terbukti memuliakan bangsa ini sejak kedatangannya ke Nusantara pada kurun ke-9 Masihi. Setelah menerima Islam, bansa Melayu telah mengalami revolusi dalaman yang merubah mereka menjadi mulia dan bertamadun. Islam telah membebaskan bangsa Melayu daripada kongkongan sistem kasta ajaran Hindu dan feudal,belenggu dongeng kepercayaan animisme, tahyul paganisme, lagenda dan mitos sihir.

Dengan kedatangan Islam, barulah bangsa Melayu dapat menikmati kemerdekaan jiwa dan fikiran berteraskan iman dan ilmu. Lalu dalam masa yang singkat sahaja, bangunlah mereka dengan kekuatan barunya itu, dengan tertegaklah beberapa kerajaan Melayu Islam berpengaruh di Asia Tenggara. Contohnya, kerajan Sriwijaya Islam (dalam bahasa Arabnya Sribudza Islam) yang berhubung rapat dengan kerajaan Islam Bani Umayyah di Damsyik, kerajaan Melayu Melaka yang menjalin hubungan dengan Laksamana Cheng Ho (Haji Syed Ho) di China, kerajaan Acheh yang rapat dengan kerajaan Turki Usmaniah dan lain-lain. Kerajaan Melayu Islam ketika itu sentiasa dinaungi oleh empayar-empayar Islam yang lebih gagah didunia Islam yang lain.

Dengan Islamnya bangsa Melayu, mereka menjadi kuat, dan secara automatik bahasa mereka turut berpengaruh. Penerimaan Islam oleh bangsa Melayu telah menyebabkan bahasa Melayu mengalami proses Islamisasi. Dengan masuknya perbendaharaan ‘bahasa Islam’ kedalam bahasa Melayu, bererti satu kekuatan baru telah disuntik pada jiwa bangsa itu melalui bahasanya. ‘Bahasa Islam’ seperti ilmu, muafakat, alim, ulama dan sebagainya sudah cukup untuk membuktikan betapa teras hidup bangsa Melayu telah diperteguh sejak Islam.

Dengan itu, dominasi bahasa Sanskrit yang berhubung rapat dengan agama Hindu-Buddha telah digantikan oleh ‘bahasa Islam’. Bahasa Melayu sudah di-Islamisasikan. ‘Roh’ baru ini sangat rapat hubungannya dengan bahasa Arab dan ajaran Islam. Ini juga merupakan akibat langsung daripada penghapusan adat-istiadat warisan Hindu yang telah digantikan dengan syariat Islam dalam kehidupan bangsa Melayu.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Bangsa Melayu dengan penerimaan iman, maka bahasanya juga kian berpengaruh. Inilah rahsia bagaimana bahasa Melayu mampu bertapak kukuh di kalangan etnik Melanesia – nama antropologi bangsa yang tinggal di Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Singapura, Burma, Vietnam, Myanmar, Sri Lanka, Afrika Selatan, dan Madagascar.

Akhirnya bahasa Melayu berjaya diangkat sebagai ‘bahasa Islam’ di gugusan Kepulauan Melayu. Para Mubaligh telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa dakwah Islamiyah. Para ulama menggunakannya sebagai bahasa persuratan untuk menterjemahkan kitab-kitab Arab mahupun menghasilkan karya-karya mereka sendiri. Para pedagang menggunakannya dalam urusan ekonomi. Pihak pemerintah, Islam atau bukan Islam, menggunakannya dalam hubungan diplomatik. Pakar hukum menggunakannya dalam menggubal undang-undang.

Oleh itu, apabila Islam berdaulat di seluruh Nusantara, maka bahasa Melayu secara automatik diterima sebagai bahasa rasminya. Faktor inilah yang menyebabkan pemuda-pemudi Indonesia mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa bagi bangsa Indonesia pada tahun 1928, walaupun ada bahasa lain, misalnya Jawa, yang kuat juga pengaruhnya. Bahasa Melayu tetap dipilih disebabkan seluruh Nusantara di-Islamkan dengan perantaraan ‘bahasa Islam’ itu.

Terbuktilah bahawa hasil perjuangan mendaulatkan Islam, bahasa Melayu telah mencapai martabatnya secara automatik. Bila kepentinagn agama didahulukan, kepentingan bahasa dan bangsa akan menyusul dengan sendirinya. Hasil pendaulatan Islam dari hujung Marauke di Timur Indonesia sehinggalah Pattani di selatan Thailand, hingga hari ini bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan lebih dari 200 juta manusia,

Bangsa dan bahasa Melayu sangat identikal dengan Islam sehingga ada anggapan Islam itu Melayu, Melayu itu Islam walaupun hakikatnya kenyataan itu tidak tepat.

Sungguhpun begitu, dalam mentakrifkan siapakah sebenarnya bangsa Melayu itu, ada pendapat di kalangan intelek yang mentakrifkan Melayu adalah: Bangsa yang memiliki satu agama (Islam) dan satu bahasa (Melayu), bukan lagi ditentukan dengan sempadan geografi. Menurut mereka, Al Quran sendiri mengakui kewujudan umat Arab, bukan kerana mereka tinggal di dunia Arab tetapi kerana mereka berbahasa Arab. Pepatah Arab ada menyatakan:
“Barangsiapa yang bercakap Arab, maka dia adalah umat Arab.”
Seperkara lagi, kedatangan Islam ke Alam Melayu juga membawa bersamanya Al Quran yang wajib dibaca dan difahami oleh umatnya. Dalam proses mempelajari AlQuran inilah bangsa Melayu dapat mengubahsuaikan huruf-huruf Arab untuk digunakan dalam menulis perkataan Melayu. Huruf-huruf inilah yang telah melahirkan tulisan jawi. Dengan adanya tulisan jawi, penggunaan bahasa Melayu semakin meluas dalan bidang pendidikan, ekonomi, perundangan, pehubungan antarabangsa dan kesusasteraan.

Malangnya ‘perjalanan’ bangsa dan bahasa Melayu menuju kemuncak kegemilangannya dengan Islam itu telah tersekat dengan kedatangan penjajah mulai abad ke-16. sasaran Imperialis Barat – Portugis, Belanda, Inggeris dan Sepanyol – ialah memecah-belahkan kesatuan Melayu yang satu agama dan satu bahasa ini. Oleh kerana kekuatan Islam masih muda, ditambah pula dengan krisis dalaman oleh perebutan kuasa dan harta di kalangan umat Melayu waktu itu, maka Barat telah berjaya melumpuhkan bangsa Melayu dengan kekuatan quwwah (lahiriah).

Dengan kekuatan tentera atau tipu daya diplomatik melalui konsep ‘divide and rule’nya. Barat memisahkan bangsa Melayu disebelah Selatan (Indonesia) dari rumpun Melayu lain dan diserahkan kepada Belanda. Melaka diserahkan kepada Portugis, Filipina kepada Sepanyol dan selebihnya kepada Inggeris.

Sama seperti taktik yang dijalankan di negara-negara Arab, Barat mula meniupkan fahaman assabiah supaya kesatuan umat atas dasar seagama dan sebahasa musnah. Semangat assabiah telah mengikis kesatuan jiwa dan fikiran bangsa yang besar oleh satu bahasa dan agama, melalui sempadan geografi yang terbatas. Inilah yang melemahkan kerajaan-kerajaan kecil Islam di zaman Pertengahan, hingga mereka tidak seia-sekata lagi dalam menghadapi penjajah.

Dalam usaha menawan semula Melaka dari Portugis misalnya, kerajaan Melayu Acheh dan Johor tidak sepakat bahkan kadang-kala berperang pula sesama sendiri. Inilah yang mewujudkan perang tiga segi Portugis-Johor-Acheh, yang amat pelik itu. Dengan ini kesatuan bangsa Melayu yang dahulunya kuat semakin lemah bersama lunturnya perjuangan mendaulatkan agama.

Salah satu strategi Barat untuk melemahkan Melayu ialah memisahkan mereka daripada Islam dengan mencabut ‘roh’ Islam pada bahasa Melayu. Barat berusaha menjatuhkan bahasa daripada agama. Khazanah-khazanah para ulama Melayu berupa kitab-kitab dan manuskrip ilmu dan bukti-bukti keagungan Islam yang pernah terbina di Nusantara dimusnahkan atau ‘dilarikan’ ke negara-negara mereka.

Barat adalah bangsa yang bijak. Tindakan mereka tidaklah seperti bangsa Monggol yang buta huruf ketika membakar jutaan kitab ketika menjarah Baghdad. Namun kejahatan atas nama kebijaksanaan, tidak kurang buruknya. Maksud Barat dan Monggol sama sahaja yakni untuk memutuskan keterikatan generasi terdahulu supaya umat Islam yang dijajah hilang jatidiri lalu secara psikologi merasa inferiority complex sebagai satu bangsa kecil yang tidak beridentiti lagi.

Kini setelah puluhan tahun merdeka, segalanya telah mula berubah., setelah mencapai kestabilan politik, kepesatan ekonomi, pembangunan yang memberangsangkan, dan yang lebih penting kesedaran Islam yang tinggi, bangsa Melayu mula mencari kekuatan mereka semula.

Arus kesedaran Islam yang mula melanda Nusantara pada abad ke-9 Masihi telah melanda lagi pada akhir dekad 60-an hingga 80-an. Kali ini bukan untuk meng-Islamkan, tetapi memurnikan lagi Islam yang sedia ada.

Arus kesedaran gelombang kedua ini melanda golongan bawahan. Pada tahun 90-an, arus kesedaran gelombang ketiga mula melanda. Kali ini lebih berpotensi kerana ia melibatkan golongan korporat, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin-pemimpin politik. Hal ini tidak sahaja berlaku di Malaysia dan Indonesia, malah turut berlaku di negara-negara ASEAN yang lain.

Pada ketika inilah sejarah pendaulatan agama seligus memperkuatkan bangsa dan memartabatkan bahasa berulang lagi. Perjalanan yang disekat oleh penjajah dahulu kini bersambung semula. Dunia telah mengakui bahwa bangsa Melayulah yang paling keterhadapan dalam usaha mendaulatkan Islam disamping dalam pencapaian ekonomi.

Malaysia misalnya, telah diakui sebagai negara contoh dalam hal ini. Dunia kagum dengan peningkatan amalan-amalan Islam rakyat Malaysia yang terjadi begitu harmoni dalam sebuah masyarakat majmuk.

Kerajaan Malaysia dan juga negara-negara Nusantara yang lain adalah kejayaan bangsa Melayu. Ini tentunya merangsang bahkan ‘memaksa’ dunia antarabangsa mendekati bangsa Melayu secara lebih terperinci. Pemikiran dan minda Melayu semakin tinggi nilainya. Dah tentunya salah satu aspek yang tidak boleh disisihkan selain agama ialah bahasa, kerana bahasa adalah pakaian bagi pemikiran.

Pemikiran, wawasan dan perancangan para ilmuwan, pemimpin dan aktivis Melayu kini mula terserlah setelah terpendam puluhan tahun angkara penjajahan. Sarjana-sarjana luar negara pasti menanti-nanti untuk mendalami pemikiran ini yang tentunya secara first hand diluahkan dalam bahasa Melayu.

Hasrat untuk mengetahui ucapan dan tulisan bangsa Melayu boleh dibuat dengan cara penterjemahan, tetapi untuk menjiwai pemikiran Melayu tentulah dengan mempelajari bahasa Melayu itu sendiri. Sungguhpun begitu, usaha penterjemahan tulisan dan ucapan itu juga akan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Tidak hairan di tengah keghairahan membesarkan lagi keluarga ASEAN dengan memasukkan sekali Vietnam dan Myanmar, bahasa Melayu akan diterima sebagai bahasa rasmi seperti yang terkandung dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka di Kuala Lumpur baru-baru ini. Jalan ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa teknologi, bahasa diplomatik sudah direntang.

Malah, tidak mustahil mungkin juga jalan-jalan ke arah menjadikan Melayu ‘bahasa Islam’ di Nusantara sepertimana yang berlaku dalam sejarahnya. Apakah ini kaedah bahasa Melayu mencapai tahap globalisasi selaras dengan pandangan para intelek seperti Malek Ben Nabi, Alvin Toffler dan Prof. Fazlur Rahman tentang dominasi Islam Alam Melayu pada masa akan datang?

Jika track record berdasarkan sejarah bangsa-bangsa yang pernah menjadi empayar diambil kira, hal ini boleh dicapai dengan syarat 200 juta bangsa Melayu benar-benar serius dalam mendaulatkan agama. Dengan Islam menjadi matlamat, bangsa dan bahasa menjadi alat, maka Allah akan diagungkan dengan sifat taqwa.

Bila bertaqwa, bangsa yang kecil sekalipun, akan besar kerana membesarkan Allah. Betapalah bengsa Melayu, bangsa yang memang besar…




28 Januari 2011

Imam Muda Membantah Kenyataan Lee Kuan Yew


Ada yang agak moderat dari beberapa insan yang saya kasihi bertanyakan pendapat saya berkenaan kenyataan Bekas Perdana Menteri Singapura baru-baru ini.Suatu ketika, sewaktu rancangan Imam Muda sedang berlangsung, kami dipanggil untuk bersama wartawan antarabangsa bagi menyatakan hala tuju Imam Muda.
Islam moderat antara isu yang amat diminati oleh mereka. Dengan pakaian  sut yang dikenakan, bersama ‘neck tie’ membuatkan wartawan luar Negara secara sendirinya melabel kami sebagai Islam Moderat. Walaupun ianya bukanlah satu deklarasi dari kesemua Imam Muda. Namun, pakaian kadang-kadang mencerminkan label tertentu. Walaupun bagi saya secara peribadi, jiwa moderat itu tidak memesrlukan sebarang uniform. Mungkin disebabkan anggapan kami agak ‘moderat’, maka sidia mengharapkan kata setuju dari saya berkenaan kenyataan Lee Kuan Yew tersebut.
Hasilnya, ada yang menyatakan persetujuan dengan apa yang diucapkan oleh Bekas Perdana Menteri Singapura terbabit. Walaupun ianya lahir dari surat beranak seorang berjenama Muslim. Ia meminta pandangan terhadap isu ini dari saya samada bersetuju ataupun tidak.
Berdasarkan keratan akhbar baru-baru ini :
“Singapore’s founding father Lee Kuan Yew has urged local Muslims to “be less strict on Islamic observances” to aid integration and the city-state’s nation-building process.
Kenyataan ini sebenarnya menghiris hati umat Islam secara tidak langsung. Penegasan secara mafhum mukhalafahnya bermaksud “Sekiranya anda Muslim yang benar-benar mengamalkan Islam secara tulen, maka anda sukar untuk disatupadukan dengan pengganut agama lain”.
Ya, Islam memang mempunyai prinsip tersendiri dalam berhubung sesama agama. Islam dari awal lagi meletakkan garis panduan dan tatacara integrasi agama. Walaupun ada beberapa kenyataan yang menunjukkan ketegasan umat Islam terhadap agama lain, namun ianya sama sekali tidak menyatakan konfrontasi malah menyeru berbuat baik sesama pengganut agama.
Firman Allah tentang umat yang terbaik : “Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah sangat tegas terhadap orang-orang kafir dan belas kasih (saling menyayangi) di antara mereka sendiri” (Al-Fath:29),
Dan firman Allah SWT lagi dalam mendeskripsikan orang-orang yang dicintai Allah dan mereka mencintai Allah yang bermaksud : “Senantiasa tunduk dan hormat terhadap orang-orang beriman dan tegas dihadapan orang-orang kafir” (Al-Maidah:54).
Walaupun ayat ini mengisyaratkan Islam bertegas dalam beberapa prinsip, namun ia tidak pernah menghalang dari berbuat baik dan bertoleransi sesama agama. Ini jelas di dalam firman Allah SWT :
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan Berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu”. (Al-Mumtahanah : 8)
Jika kenyataan Lee Kuan Yew yang mahu melihat penganut Islam melonggarkan pegangan agama mereka, maka ini lebih berbahaya kepada Negara Singapura itu sendiri. Kerana orang yang benar-benar mengamalkan Islam, sudah pasti tidak akan mengabaikan ayat al-Quran ini. Maka mereka (orang yang benar-benar mengamalkan Islam) inilah yang akan mempertahankan sikap integrasi sesama agama di Singapura.
Lee Kuan Yew juga berkata :
“I would say today, we can integrate all religions and races except Islam,”
Kenyataan ini sekali lagi membuatkan kita ketawa. Ia seolah-olah dengan sendiri membuka pekung menunjukkan bahawa kegagalan beliau memahami perasaan umat Islam di Singapura yang selama ini di anak tirikan. Kebebasan beragama telah disekat. Azan dihadkan suaranya. Muslim dipersendakan.
Anaknya Lee Hsien Loong menegaskan (Februari 1987):  “..Malays do not hold sensitive positions in the armed forces…no Malay fighter pilots, for example, because of their religion might conflict with their duty to Singapore.” Dalam konteks yang sama akhbar Straits Times, Singapore bertarikh 9 September, 1999 melaporkan:  If for instance, you put a Malay officer who’s very religious and who has family ties in Malaysia, in charge of a machine gun unit, that’s very tricky business.
Dalam tesis doktoral Lily Zubaidah Rahim berjudul ‘The Singapore Dilemma’ beliau menegaskan:All these measures undertaken ensure that the Malays, no matter dissatisfied, can never gather enough electoral support to push for their agenda. Dalam konteks Melayu –Muslim dasar Kerajaan Singapura adalah jelas, iaitu pecah perintah atau pecah takluk (divide and rule/divide and conquer) .
Walaupun terdapat peruntukan perlembagaan untuk melindungi agama orang Melayu, Muslim tidak bebas mengamalkan agama mereka. Dalam rencana ‘Assessment for Malays in Singapore’ dicatatkan:  The Malays face restrictions on the practice of their religion and the celebration of group holidays.
Ibarat pepatah arab ‘anda memukul anda yang menangis’. Anda yang me’nyah’kan sikap dalam berintegrasi dengan penduduk Muslim. Anda pula yang mengkritik penganut Muslim. Kalau ini cara pemikiran seorang yang bersikap tidak mempedulikan sensitivity Umat Islam, maka anda tidak selayaknya bercakap soal integrasi.
Walaubagaimanapun, di Singapura, Masjid mereka lebih bermagnet. Semangat Muslim disana ramai yang berkayu cengal. Mungkin itu resam manusia. Bila diketuk makin memantul. Buku yang telah dilancarkan tersebut  yang bertajuk “Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going”, perlu dibaca dan diteliti agar sejarah lama tidak berulang dan ianya satu peringatan untuk kita semua.

Sumber Artikel : www.imamudasyraf.com






22 Januari 2011

Nur Hidayah 1 : Wong Kim Hock

Assalamualaikum.
Entri ini adalah permulaan siri Nur Hidayah. Siri ini akan memaparkan kisah-kisah mereka yang mendapat hidayah Allah, iaitu mereka yang keluar daripada kegelapan kepada cahaya. Mudah-mudahan kisah-kisah yang dipaparkan ini menjadi pengajaran dan asbab hidayah Allah untuk kita semua insyaAllah. Selamat membaca!

Setiap kali melaksanakan penyembahan mengikut agamanya, selalu timbul pertanyaan dalam hatinya.
“Tuhan yang mana satu yang mesti disembah dengan sebenarnya?”
Wong Kim Hock warganegara Malaysia keturunan Cina dilahirkan di Pahang pada tahun1948 dalam lingkungan yang menganut agama Budha. Oleh kerana kedua-dua ibu bapanya penganut setia agama Budha, Kim Hock juga menganut agama tersebut secara tradisi turun temurun, iaitu secara warisan dan ikut-ikutan saja.

Setelah umurnya menginjak dewasa, Kim Hock merasa tidak puas hati dengan agama Budha yang dipeluknya dan menganggap bahawa agama itu tidak sesuai dengan pemikirannya. Lalu dia mencari cari pegangan hidup yang lebih masuk akal dan bertemu dengan agama Kristian.

Setelah berfikir beberapa lama, dia tertarik dengan agama itu kerana dianggap lebih baik dari agama yang diwarisi dari ibu bapanya. Sebagai pengikut gereja, diapun menerima pengajaran tentang Tuhan Bapa, Tuhan anak dan Ruhul Qudus. Doktrin dan ajaran dalam Kristian diterimanya dari pendita yang disampaikannya di dalam gereja.

Setelah beberapa lama memeluk agama Kristian, Kim Hock mulai pula berfikir tentang dasar ketuhanan yang dianutinya. Bagaimana seseorang akan menyembah kepada Tuhan yang tiga itu? Kalau sekiranya dia khusyuk kepada Tuhan Bapa, apakah Tuhan yang lain tidak cemburu? Demikian juga jika sekiranya dia lebih cinta kepada Tuhan anak, sudah tentu Tuhan Bapa akan marah, kerana merasa dipersekutukan. Bagaimana pula Tuhan Ibu (Ruhul Qudus), pasti akan bersaing dalam merebut kekuasaan. Tentu perkara ini akan membingungkan. Walaupun fikirannya sudah mulai ragu dengan agama Kristian namun dia masih tetap memeganginya dengan perasaan yang kurang yakin.

Pada tahun 1983 Kim Hock pergi ke Jordan untuk suatu kunjungan peribadi. Ketika sedang berada di Kota Amman, Kim Hock terbaca terjemahan Al-Quran pegangan umat Islam. Dari terjemahan Kitab Suci itulah ia mendapat pengetahuan tentang Tuhan yang sebenarnya. Tuhan itu satu (Maha Esa), tidak beranak dan tidak dilahirkan. Tidak ada Tuhan Bapa dan tidak ada Tuhan Ibu, juga tidak ada Tuhan anak. Kerana Tuhan mempunyai kuasa mutlak dan hanya kepada-Nya segala puji-pujian dan segala permohonan dipersembahkan.

Faham ini sangat sesuai dengan keyakinannya, dan dia merasakan mendapat jawapan yang dicari-carinya selama ini. Kalau Tuhan hanya satu, barulah dikatakan punya kekuasaan, kerana tidak ada yang menandingi kekuasaan-Nya. Dia yang menghidupkan dan Dia pula yang mematikan. Dia yang memberi kebaikan dan Dia pula yang menurunkan cubaan. Dia yang menciptakan hamba, maka dia pula yang berhak disembah. Kalau begitu, maka barulah manusia akan beribadah dan berdoa dengan khusyuk, kerana yang disembah dan tempat meminta hanya Tuhan Yang Satu.

Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan hidayah pada hati Kim Hock, sehingga ia mengakui kebenaran Islam dan Al-Quran. Sesampainya di Malaysia, dia menceritakan keyakinannya kepada isterinya yang dikahwininya pada tahun1979, dan dikatakannya pula akan memeluk agama Islam. Si isteri pula dapat menerima apa-apa yang diterangkan oleh suaminya. Allah telah membuka hatinya untuk meninggalkan agama lamanya dan bersedia memeluk Islam.

Maka dengan tidak menunggu masa lagi, kedua orang suami isteri yang masih belum dikurniakan anak itu pergi ke pejabat Perkim dan di sana diterima oleh Ustaz Isa’ Mah dan menceritakan maksudnya untuk memeluk agama Islam.

Pada tahun 1984 yang sangat bersejarah itu, Wong Kim Hock dan isterinya membaca Syahadah dengan disaksikan oleh Ustaz Isa’ Mah dan pegawai Perkim lainnya. Untuk menyesuaikan identiti sebagai Muslim, nama Kim Hock ditukar dengan nama “Muhammad bin Abdullah” dan isterinya menggunakan nama Fatimah binti Abdullah.

Setelah menjadi seorang Islam, Muhammad bin Abdullah dengan isterinya sangat rajin mempelajari Islam. Dia banyak mendapat bimbingan dari beberapa orang Ustaz di Perkim, terutama Ustaz Husein Abdullah Yee yang juga asalnya seorang turunan Cina yang beragama Budha, kemudian masuk Islam.

Dari hari ke hari hatinya bertambah senang dengan Islam. Semakin banyak ilmu tentang Islam yang dipelajarinya, semakin bertambah pula ketenangan dan keyakinanya. Ilmu Islam sangat luas, tidak ada batasnya. Semakin banyak dipelajari, semakin banyak yang kelihatan bagaikan mutiara.

Bermacam-macam ilmu dalam Islam sangat menarik perhatian saudara baru kita ini. Akhirnya dia sampai pada kesimpulan yang disedarinya sendiri bahawa Islam itu memang agama Universal, mencakupi segala peraturan kehidupan dan alam setelah mati. Berbagai ilmu untuk menempuh kehidupan terdapat di dalamnya, dan kesemua peraturan hidup di dunia ini tujuannya untuk mencapai keselamatan dalam kehidupan di akhirat nanti.

Sebagaimana biasa risiko yang dialami oleh orang-orang Cina yang masuk Islam. Kim Hock dan isterinya juga menghadapinya, yakni tidak diakui oleh kaum keluarganya. Bagi Muhammad bin Abdullah perkara itu tidak menjadi soal, dia siap sedia menempuh kehidupan baru sebagai orang Islam sambil berdoa semoga keluarganya juga mendapat hidayah dari Allah dan mahu masuk Islam.

Untuk menyara hidup, suami isteri yang masih muallaf itu berusaha sekuat tenaga untuk mencukupi keperluannya tanpa mengharapkan bantuan dari pihak lain, selain kepada Allah semata. Dia berusaha memadukan kepakarannya sebagai keturunan Cina dalam berniaga dengan prinsip-prinsip Islam.

Bagi Muhammad, segala sesuatu jika diusahakan dengan tekun, istiqamah dan sabar ia akan mendapatkan hasil dan insya Allah akan berjaya. Begitulah ajaran Islam, dan seperti itu pula yang dipegang teguh oleh kaum cina dalam berusaha sehingga meraih kejayaan besar.

Muhammad bin Abdullah bekerja sebagai pembekal beberapa peralatan pejabat, sementara isterinya yang terbiasa dengan kehidupan seorang petani, berternak kambing untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika kambingnya baru berjumlah 12 ekor, datang seorang Muslim membeli kambingnya untuk aqiqah. Kedua-dua saudara baru yang belum tahu apa itu aqiqah dan korban lalu bertanya mengenainya kepada seorang ustaz.

Setelah memahami perkara yang sebenar, terlintaslah dalam fikirannya, alangkah baiknya kalau dia menceburi bidang ternakan kambing dan lembu secara komersial. Dengan usahanya itu, nanti dapat memudahkan dan menggalakkan umat Islam dalam melaksanakan ibadah aqiqah dan korban yang sebahagian mereka menganggap perkara itu tidak penting.

Untuk mencapai maksudnya, puan Fatimah membesarkan usaha ternaknya di sebuah kawasan Sungai Buloh Selangor Darul Ehsan. Pada mulanya dia sendiri yang bertukang membuat kandang dan mengembala kambing-kambingnya dengan dibantu oleh suaminya.

Sehari ke sehari usahanya semakin berkembang dan ternaknya semakin banyak, maka puan Fatimah menubuhkan Syarikat The Best Farm yang bergerak di bidang ternakan kambing dan lembu dan dia sendiri sebagai pengurusnya sedangkan suaminya bertindak sebagai penasihat. Orang ramai mulai berdatangan ke situ untuk membeli kambing dan lembu untuk keperluan aqiqah dan kurban atau untuk keperluan lainnya.

The Best Farm menyediakan berbagai kemudahan di antaranya menyediakan ustaz yang faham untuk penyembelihan. Di samping itu dia juga menerbitkan buku panduan aqiqah dan kurban, yang mengandungi pengertian, kepentingan, dalil-dalil dan cara-cara melaksanakan aqiqah dan kurban. Buku yang disusun oleh seorang ustaz yang pakar itu diberikan secara percuma kepada orang ramai dengan demikian saudara baru kita ini telah turut berdakwah mengenai kepentingan aqiqah dan kurban.

Muhammad bin Abdullah mencari harta bukan untuk bermewah dalam kehidupan, tapi semuanya adalah untuk mencari keredhaan Allah. Beliau tetap mengamalkan gaya hidup sederhana, walaupun berkemampuan untuk membeli dan menggunakan barang-barang yang mewah. Selain digunakannya untuk mengerjakan ibadah di Tanah Suci Makkah, rezeki yang tidak seberapa itu juga digunakannya untuk berdakwah.

Beliau memberikan bantuan kepada sekolah agama rakyat, memberikan biasiswa kepada beberapa pelajar yang mempunyai minat belajar tapi tidak mampu di segi kewangan.

Baginya, berdakwah Bil Hal dan Bil Mal tidak kalah pentingnya dengan dakwah Bil Lisan. Di samping itu, dia sendiri dengan isterinya tidak henti-hentinya menuntut ilmu. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu pasangan suami isteri itu pergi ke tempat-tempat ustaz untuk menimba ilmu. Mereka berazam untuk tetap hidup mengikut sunnah dan menuntut ilmu hingga ke liang kubur sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Selain berjaya di dalam usahanya setelah masuk Islam, Muhammad bin Abdullah juga telah dikurniakan oleh Allah dengan dua orang anak yang kesemuanya lahir dalam keluarga Islam. Di samping itu juga, hubungan dengan ibu bapa dan adik-beradiknya yang masih belum mendapat hidayah, telah pulih semula. Setiap tahun mereka balik ke Pahang untuk menziarahi mereka.



16 Januari 2011

Nabi Muhammad Dalam Kitab Hindu?

Seorang professor penyelidik pakar bahasa India dari Universiti Alahabad, dalam buku hangatnya, telah menerbitkan buku mengenai Kalki Avatar bererti Pembimbing Agung. Beliau mendakwa bahawa gambaran mengenai Kalki Avatar yang terdapat didalam kitab suci Hindu yang sebenarnya adalah Nabi Muhammad s.aw.

Di India adalah merupakan faktor benar bahawa sejurus selepas sesuatu buku dilancarkan akan menjadi suatu bahan bualan dan gosip seluruh negara. Jikalah sekiranya pengarang buku ini, seorang muslim, sewajarnya dia akan ditangkap dan atau beliau akan dibunuh dan semua buku bukunya akan ditarik balik dari berada dipasaran. Hingga ketahap dimana ianya akan tidak dibenarkan untuk diulang cetak. Tunjuk perasaan dan keganasan akan tercetus terhadap insan muslim yang tidak berdosa dengan pertumpahan darah dimana mana.

Yang menakjubkan bahawa pengarang buku ini adalah seorang yang berfikiran sederhana dan professor khusus yang secara kebetulan adalah seorang Hindu. Nama beliau ialah Mr. Pandit Vedaprakash Upadhal, manamakan tajuk bukunya sebagai "Kalki Avatar. Pengarang adalah penyandang sami berugama hindu Brahmin berasal dari Bengal. Penyelidik sekular.

Menurut kepercayaan penganut hindu, ada digariskan gambaran dan panduan tentang pemimpin yang bernama Kalki Avatar , ia sangat bertepatan hanya dengan Nabi Muhammad s.a.w. Jadi penganut hindu diseluruh dunia tidaklah perlu menunggu lagi akan kedatangan Kalki Avatar (semangat/roh) yang dimaksudkan.

Sewajarnya mereka segera menerima kenabian nabi Muhammad s.a.w Bin Abdullah sebagai pesuruh Allah (Kalki Avatar) yang dimaksudkan oleh kitab suci hindu mereka itu. Fakta fakta dan penemuan mengenainya telah disahkan oleh lapan pandit sami kanan hindu yang lain yang mengatakan penganut hindu selama ini menghanyutkan diri mereka dalam penantian yang tidak berpenghujung, sedangkan pesuruh tersebut telah pun muncul dan telah pun wafat 14 abad yang lalu.

Pengarang mengemukakan bukti yang kukuh seperti di bawah yang digali dari kitab Vedas serta buku buku suci ugama hindu yang lain bagi membuktikan kebenaran hujah beliau:

1. Di dalam ramalan Prophecy Hindus Purana (Buku suci hindu) telah dinukilkan bahawa Kalki Avatar adalah pesuruh tuhan yang terakhir dimuka bumi ini untuk pertunjuk bagi seluruh dunia dan seluruh manusia dialam ini. Alqur'an telah memberitahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi yang terakhir buat pertunjuk seisi alam termasuk Jin dan manusia.

2. Menuruk ramalan ugama hindu, kelahiran Kalki Avatar akan berlaku disuatu tempat menyerupai pulau (negeri dikelilingi padang pasir) dan mengikut ugama hindu ianya di kawasan bumi Arab.

3. Didalam buku hindu, nama bapa dan emak Kalki Avatar dikenali sebagai VISHNUBHAGAT dan SUMAANI. Jika kita lihat makna bagi kedua nama tersebut, akan kedapatan sesuatu yang menarik untuk direnungi. Lihat, VISHNUBHAGAT = Vishnu beerti tuhan + Bhagat beerti hamba, diterjemah dalam bahasa arab, tuhan itu ALLAH + hamba itu Abdul = Dicantumkan akan menjadi ABDULLAH (bapa kepada Nabi Muhammad s.a.w) Manakala SUMAANI beerti aman atau tenang yang didalam bahasa arab AMINAH (nama emak Nabi Muhammad s.a.w).

1. Dalam buku buku ugama hindu, dinukilkan bahawa bahan makanan asas Kalki Avatar ialah buah korma dan zaitun. Beliau merupakan seorang yang amanah lagi jujur dan paling dipercayai seluruh masyarakatnya. Tak dapat disangsikan bahawa makanan asas Nabi ialah buah Korma dan zaitun. Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai akhlak sebegini tinggi dan dipercayai oleh setiap orang dan masyarakatnya.

2. Dinukilkan juga dalam Vedas, bahawa kelahiran Kalki Avatar akan berlaku ditengah tengah kalangan keturunan yang dihormati. Ini bertepatan dengan dimana Nabi Muhammad dilahir dari golongan Quraish yang terkenal sangat dihormati oleh masyarakat ketika itu.

3. Dalam buku tersebut juga dinukilkan bahawa Tuhan akan mengajar Kalki Avatar melalui malaikat didalam Gua. Bertepatan dimana Allah telah mengajar Nabi Muhammad s.a.w dengan memerintahkan Malaikat Jabrail untuk mengunjungi serta mengajar nabi berupa Wahyu didalam gua yang bernama Gua Al Hira.

4. Juga dinukilkan bahawa tuhan akan memberi kenderaan yang pantas buat Kalki Avatar untuk mengembara keseluruh alam maya serta naik kelangit hingga kelangit ke 7. Ini bertepatan dengan apa yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.aw dalam peristiwa Isyra' dari masjidi haram diMekah ke masjidil al aqsa diPelestin Dan Mi'raj nabi kelangit ke 7 dengan menunggang seekor Burak dalam satu malam.

5. Dinukilkan juga dalam buku tersebut bahawa Kalki Avatar akan diberikan pertolongan yang luar biasa oleh tuhan, ini terbukti jelas bahawa Allah telah memberi bantuan luar biasa kepada Nabi Muhammad s.a.w didalam peperangan Uhud dan yang lain lain.

6. Yang menakjubkan dinukilkan juga bahawa Kalki Avatar akan dilahirkan pada 12 haribulan. Ini bertepatan sekali bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah dilahirkan pada 12hb Rabiulawal (kelendar Islam).

7. Dinukilkan juga dalam Vedas bahawa Kalki Avatar adalah merupakan seorang penunggang kuda yang baik dan ahli main pedang yang cekap, ini bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w yang terkenal dalam bidang berkenaan. Lagipun pengarang mengajak penganut ugama hindu berfikir bahawa zaman kuda dan pedang telah berlalu dan kini manusia menggunakan senapang dan roket. Adalah sesuatu yang dangkal mengharapakan datangnya Kalki Avatar yang ditunggu tanpa penghujung, walhal ia telah pun muncul 1400 tahun yang lalu.

Dalam alqur'an telah diceritakan tentang ciri ciri dan tanda tanda mengenai Nabi Muhammad s.a.w dengan jelas dan bertepatan apa yang dinantikan oleh penganut hindu terhadap Kalki Avatar. Pengarang telah memberi hujah hujah yang mengatakan Kalki Avatar yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad s.a.w dan kepada yang masih lagi menunggu akan kedatangan Kalki Avatar? sewajarnya berfikir semula dan renungilah akan kebenarannya.


Saksikan video penjelasan oleh Dr Zakir Naik








"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.