12 Januari 2011

Jom Jawab! Ini bukan 'exam'..

Assalamualaikum,
Ini adalah satu bancian umum berkaitan Solat Berjemaah. Mohon jasa baik saudara untuk meluangkan sedikit masa untuk menjawab soalan-soalan di bawah. Jangan risau ini bukan soalan peperiksaan, jawablah dengan santai dan ikhlas. Tiada data peribadi direkodkan!
Admin - Summary of Responses

11 Januari 2011

Jom Ke Masjid Siri 1 : Nilai Solat Berjemaah di sisi Salafus Soleh


Di dalam kitab المنح السنية على الوصية المبتولية, karangan al-Qutub al Sya'rani menyatakan bahawa mereka yang hidup pada sepanjang tiga kurun pertama yang dikenali sebagai Salafus Soleh beranggapan bahawa terlepas daripada menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah suatu musibah suatu bala daripada Allah SWT.

Pernah suatu ketika, ada seorang lelaki pergi ke kebun kurmanya. Apabila dia pulang, didapatinya orang ramai sudah pun selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah. Dalam keadaan sedemikian, dia lantas menyebutkan "ان لله وانا اليه راجعون, aku telah terlepas solat berjemaah. Bersaksikan kamu semua, dengan ini aku mengisytiharkan sesungguhnya kebun kurmaku itu, aku sedekahkan kepada fakir miskin".

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa suatu ketika Abdullah bin Umar RA telah terlepas daripada melaksanakan solat Isyak berjemaah. Dengan sebab itu, dia telah mengulangi solat Isyak sepanjang malam sehingga terbit fajar. Tujuannya ialah untuk menampung kekurangan pahala yang berlaku kerana ketinggalan solat berjemaah tadi.

Begitu juga kisah yang diriwayatkan mengenai Abdullah bin Umar al-Qawariri, katanya: "Aku tidak pernah tertinggal solat fardhu berjemaah sehinggalah pada suatu malam aku telah didatangi tetamu. Dengan sebab sibuk melayan mereka, maka aku telah terlepas daripada menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid. Namun begitu aku pergi juga ke masjid dengan niat untuk solat berjemaah, tetapi setibanya aku di sana, aku dapati masjid sudah pun berkunci, Justeru itu, aku pulanglah ke rumah dengan perasaan penuh kecewa. Hatiku berbisik: Rasulullah ada bersabda: "Sesungguhnya solat berjemaah kelebihannya mengatasi solat bersendirian sebanyak 27 darjat".

Oleh itu, aku pun melakukan solat Isyak pada malam itu sebanyak 27 kali dan selepas itu aku pun tidur. Di dalam tidur aku bermimpi melihat aku sedang menunggang kuda bersama-sama orang kampungku. Tetapi yang peliknya mereka berada di hadapanku dan aku pula berada di belakang mereka. Aku telah memacu kudaku selaju-lajunya. Puas aku melakukannya tetapi aku tidak dapat mengejar mereka.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka berpaling ke arahku sambil berkata: "Engkau hanya memenatkan kudamu sahaja! Engkau tidak akan dapat mengejar kami". Lantas aku bertanya kepadanya: "Mengapa?" Jawabnya : "Kerana malam tadi kami solat Isyak secara berjemaah, sedangkan engkau hanya melakukannya bersendirian. Selepas dialog itu aku pun terus terjaga dari tidurku dengan perasaan penuh kesedihan.

Sebahagian ulama' Salaf berpendapat bahawa seseorang itu tidak akan terlepas dan tertinggal daripada solat berjemaah melainkan kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya. Pada umumnya masyarakat di zaman itu berpandangan bahawa solat berjemaah adalah suatu ibadah yang sangat penting dalam kehidupan mereka. Jika ada di antara mereka yang terlepas solat fardhu berjemaah satu waktu sahaja, maka seluruh anggota masyarat yang lain akan mengucapkan takziah berlanjutan selama seminggu. Ada riwayat yang menyebutkan walaupun hanya terlewat satu rakaat sahaja.

Begitu juga, mereka akan mengucapkan takziah selama tiga hari kepada sesiapa yang terlewat dan tidak mendapat Takbiratul Uula bersama-sama imam.

Melihat kepada catatan di atas, marilah kita semua cuba menghayati kepentingan solat berjemaah untuk kebahagian hidup di dunia dan akhirat! InsyaAllah.

Nantikan siri berikutnya insyaAllah...



09 Januari 2011

Sumber Media Ilmiah Anda!

Assalamualaikum.
Berikut dikongsikan pautan ke laman-laman ilmiah yang menyediakan koleksi video dan audio ceramah,kuliah, bacaan Al-Quran, selawat dan zikir untuk sama² kita manfaatkannya. Semoga ianya menjadi salah satu sumber makanan rohani kita InsyaAllah.








Aurat Wanita : Apa Sudah Jadi ?

Assalamualaikum.
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ - "Agama itu nasihat.."Oleh itu, bacalah suatu perkongsian yang biasa diperkatakan ini..Semoga hidayah dan rahmat Allah SWT sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita sebagai hamba yang sering lalai dan lupa kepada perintah-Nya.


08 Januari 2011

Detik Hitam 21 Ogos, 1969

Assalamualaikum.
Artikel ini saya kongsikan sebagai mengimbau sejarah yang mungkin telah hilang dalam ingatan segelintir umat islam atau mungkin suatu pengetahuan baru bagi yang belum mengetahui peristiwa ini. Mudah-mudahan ianya bermanfaat dalam memberi pengajaran dan peringatan kepada kita semua insyaAllah..
~~~~~~~~~~~~
Kenapa dengan 21hb Ogos? Tarikh 21 Ogos adalah satu detik hitam bagi umat Islam di seluruh dunia. Genap 41 tahun yang lalu (21 Ogos 1969), maruah umat Islam telah tercalar dengan satu penghinaan apabila Masjid al-Aqsa telah dibakar oleh pelampau Yahudi yang disokong kuat oleh golongan Kristian Zionis. Usaha terkutuk ini telah dilakukan oleh penjenayah yang berasal dari Australia yang bernama Michael Dennis Rohan. 

Michael Rohan telah menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar dan sekaligus memusnahkannya. Api yang marak membakar hampir-hampir sahaja memusnahkan keseluruhan bangunan Masjid al-Aqsa. Namun tindakan tangkas umat Islam di Baitul Maqdis selama sehari-suntuk mengizinkan mereka untuk memadamkan api tersebut.

Adakah Michael Rohan bertindak bersendirian?
Tidak, sekali-kali tidak. 

Michael Rohan sebenarnya tidaklah bersendirian dalam melakukan jenayah keji ini. Beliau mendapat sokongan padu dari rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid al-Aqsa lenyap dari muka bumi bagi meneruskan projek mereka untuk membina kuil Yahudi yang dikenali sebagai 'Solomon Temple' atau Haikal Sulaiman di dataran Baitul Maqdis tersebut.

Penjenayah yang bertanggungjawab terhadap pembakaran tersebut telah ditangkap tetapi kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang hukuman. Mahkamah Israel sememangnya sentiasa bersendiwara apabila memutuskan bahawa Michael Rohan yang merupakan seorang doktor perubatan itu sebagai seorang yang tidak siuman dan hanya dikenakan tindakan dihantar pulang ke Australia.

Michael Rohan pula dengan rasa bongkaknya telah berkata bahawa apa yang dilakukannya adalah satu tanggungjawab agama sebagaimana yang termaktub di dalam ajaran Talmud. Dia turut mendakwa bahawa beliau telah berjaya di dalam melaksanakan misinya yang merupakan satu perintah dari tuhan. 

Apakah kesan pembakaran tersebut?
Pihak Zionis telah memulakan perancangan mereka terlebih awal dengan menutup saluran paip air menuju ke Masjid al-Aqsa agar agenda jahat itu berjaya membuahkan hasilnya yang maksimum. Tentera Israel juga telah menghalang pasukan bomba dan warga Arab daripada memasuki kawasan masjid pada hari tersebut. 

Tindakan biadab tersebut telah menyebabkan:
  • Sebahagian besar Masjid Al-Aqsa mengalami kerosakan dan musnah menjadi arang. Kemusnahan tersebut melebihi sepertiga daripada keseluruhan kawasan masjid iaitu kira-kira 1,500 meter persegi daripada 4,400 meter persegi keluasan masjid.
  • Mimbar Solahuddin al-Ayyubi yang bersejarah, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar daripada serambi masjid turut hangus.
  • Turut musnah dalam kejadian tersebut adalah atap-atap masjid yang telah roboh menyembah bumi serta tiang-tiang yang indah dengan hiasan ayat-ayat Al-Quran.
Apakah peranan O.I.C? 
Pembakaran Al-Aqsa telah mengundang aksi protes dari seluruh dunia Islam bermula dari Maghribi di barat sehinggalah ke Indonesia di timur.

Banyak pertemuan dan perundingan di peringkat regional dan internasional telah diadakan bagi menghentikan kemarahan umat Islam. PBB juga terpaksa mengadakan sidang tergempar dan telah mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk Israel dan menyeru Israel agar menghentikan segala usaha yang bertujuan untuk merubah status Baitul Maqdis dan pengYahudian Masjid al-Aqsa.

Para pemimpin negara-negara Islam pula telah bergabung dan bersetuju untuk menubuhkan OIC ekoran dari kejadian pembakaran Masjid al-Aqsa tersebut. Mereka telah mengadakan pertemuan tergempar di Rabat, ibu negara Maghribi serta telah menghasilkan beberapa resolusi bagi mencegah apa jua usaha penodaan Masjid Al-Aqsa. Namun sedihnya resolusi itu kesemuanya hanya tinggal sebagai resolusi yang tidak berjaya dilaksanakan. OIC sebenarnya telah terbukti gagal di dalam mewakili umat Islam bagi menangani keselamatan dan kesucian Masjid al-Aqsa.

Telah berakhirkah ancaman terhadap Al-Aqsa?
Kesan pahit dari pembakaran Masjid al-Aqsa pada 1969 masih terus dirasai oleh dunia Islam sehingga ke saat ini. Banyak lagi peristiwa jenayah yang dilakukan terhadap al-Aqsa, di antaranya:
  • 27 Januari 1982, sekelompok Yahudi radikal berjaya masuk ke Masjid al-Aqsa untuk membakarnya sekali lagi namun usaha mereka berjaya dipatahkan.
  • 14 Januari 1989, beberapa orang anggota (parlimen) Knesset Israel telah masuk ke Masjid Al-Aqsa dengan kawalan ketat pasukan rejim Zionis dan mereka telah membaca kitab-kitab suci agama Yahudi di dalam al-Aqsa.
  • 28 September 2000, PM Israel Ariel Sharon, dengan kawalan ketenteraan yang ketat dari pasukan militari Zionis telah melakukan kunjungan ke Masjid al-Aqsa dan telah masuk ke dalam masjid itu. Dia telah mengatakan bahawa lawatan tersebut adalah hak bagi rakyat Israel untuk melawat sebahagian dari tanah negara mereka. Kunjungan tokoh pengganas Sabra dan Shatila ini telah menyebabkan tercetusnya Intifada Al-Aqsa.
Kini, setelah 41 tahun pembakaran Masjid al-Aqsa, masih ada ribuan lagi pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang terus menanti kelalaian umat Islam untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa yang diberkati itu.


Apakah lagi jenayah Zionis ke atas Masjid al-Aqsa?

Pihak Zionis telah bertungkus-lumus untuk meYahudikan Masjid al-Aqsa sejak dari peristiwa An-Naksah (Malapetaka yang berulang) iaitu peristiwa penjajahan Baitul Maqdis Timur dan Masjid al-Aqsa pada 1967.


Banyak lagi, di antara jenayah projek pengYahudian al-Aqsa ialah:

  • Menghalang umat Islam dari menziarahi masjid ini dan memakmurkannya
  • Menghalang usaha membaik-pulih Masjid al-Aqsa yang rosak
  • Merampas Tembok Buraq yang merupakan sebahagian dari al-Aqsa
  • Mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Masjid al-Aqsa
  • Siri Pengeboman secara terancang ke atas Masjid al-Aqsa
  • Siri Pembunuhan umat Islam di Masjid al-Aqsa
  • Penggalian terowong yang besar lagi panjang di bawah masjid ini
  • Mengubah identiti Islam dan Arab kepada identiti Yahudi di Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa
  • Pembinaan Sinagog Hover bersebelahan dengan al-Aqsa dll
Sudah terlalu banyak jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Masjid al-Aqsa yang merupakan jantung hati umat Islam. Al-Aqsa adalah qiblat yang pertama umat, masjid yang ke tiga suci serta bumi Isra' dan Mi'raj, Masjid al-Aqsa mesti diselamatkan dari kemusnahan dan kehancuran oleh tangan-tangan pengganas rejim Zionis dan pelampau Yahudi.

Apa yang telah dan sedang berlaku terhadap Al-Aqsa merupakan sesuatu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan umat Islam dari terus lena dalam buaian mimpi. 


Apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan Al-Aqsa?
Sebenarnya banyak langkah praktikal yang boleh kita lakukan bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah:

  • Bermula dengan diri kita dengan mengenali sejarah Palestin serta kepentingan Masjid al-Aqsa di dalam aqidah umat Islam.

  • Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam, termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin dan Al-Aqsa, serta menyebarkan kesedaran tentang status sebenar Al-Aqsa kepada mereka dengan apa jua cara
  • Menganjurkan program berkaitan dengan Masjid al-Aqsa pada sambutan peristiwa Isra' dan Mi'raj ataupun pada Hari Al-Aqsa seDunia pada 21hb Ogos di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain serta melibatkan pihak media.
  • Memberikan sumbangan kewangan kepada badan-badan yang memperjuangkan masa depan Masjid al-Aqsa.
  • Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.
  • Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, kemanusiaan dan keadilan sejagat.
  • Melonjakkan isu ini ke persada internasional kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.
  • Berdoa kepada Allah (swt) agar Masjid al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpeilhara.
Jom... kita bertindak segera secara berterusan dan sistematik demi masa depan Al-Aqsa. Sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita berganding bahu dan mengorak langkah ke hadapan bagi memperjuangkan kemuliaan Al-Aqsa yang tercinta.....

Semoga kita bertemu di Masjid al-Aqsa...



Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin - Perunding Aman Palestin
Ogos 2010

Sumber Artikel : http://www.amanpalestin.net




06 Januari 2011

Khutbah Jumaat Minggu Ini - "Mencari Makanan Yang Halal Adalah Wajib"


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan kita menambahkan ilmu dan meningkatkan amal kerana Allah SWT. Laksanakan segala perintah-Nya dan tinggalkan segala yang dilarang-Nya. Lakukan penilaian terhadap diri dengan selalu bermuhasabah dan bermujahadah.  Lakarkan peta minda dan perancangan yang sesuai untuk menjadi muslim yang sejati semoga iman makin bertambah dan kehidupan sentiasa mendapat keredhaan Allah.

Sidang Jumaat sekalian,

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya perkara yang melibatkan pemakanan dan pekerjaan yang halal.

Ajaran Islam memberi panduan kepada umatnya untuk menjalankan segala aktiviti kehidupan supaya sentiasa berada pada landasan yang tepat serta dibenarkan oIeh hukum syarak. Landasan tersebut lebih dikenali sebagai halal dan haram dalam kehidupan khususnya yang melibatkan pemakanan. Halal bermaksud melakukan sesuatu yang dibenarkan oIeh Allah dan Rasul serta mendapat pahala dan keberkatan bagi orang yang melakukannya. Haram pula sesuatu yang dilarang oIeh Allah dan Rasul-Nya daripada melakukannya serta mendapat dosa dan kemurkaan Allah bagi mereka yang melakukannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Makanan adalah keperluan asas manusia, maka marilah kita bermuhasabah tentang bahan makanan yang telah dan hendak dimakan sama ada ianya halal dan yang terbaik atau sebaliknya. Sedarlah! bahawa mencari bahan makanan yang halal dan baik untuk dimakan itu adalah suatu tuntutan dalam Islam. Hadith daripada Abi Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-

"Sesungguhnya Allah SWT. itu baik, Dia tidak menerima sesuatu daripada hamba-Nya melainkan  yang baik dan Allah SWT.  perintahkan (kepada hamba-Nya) seperti yang diperintahkan kepada Rasul-rasulnya" .

Seterusnya Baginda s.a.w. membaca Firman Allah SWT. dalam surah Al-Baqarah ayat 172 :

Bermaksud: "Wahai orang yang beriman!, makanlah daripada benda-benda yang baik ( yang halal ) daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu benar-benar hanya beribadah kepada-Nya".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Makanan halal bukan hanya dilihat indah pada rupa dan enak pada rasa bahkah lebih daripada itu. Manakala yang baik pula adalah suatu yang mendatangkan faedah kepada keperluan tubuh badan, akal dan emosi. Sebaliknya apa jua bahan makanan yang boleh merosakkan pertumbuhan fizikal, kesihatan mental atau akal serta yang menjejaskan emosi adalah sesuatu yang diharamkan. Marilah sama-sama kita menghayati Firman Allah SWT. dalam surah Al-Maidah ayat 3 :

Bermaksud: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) darah (yang keluar mengalir) , daging babi (termasuk semua anggota tubuhnya) , binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati kerana jatuh dari tempat tinggi, yang mati ditanduk, yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih ( sebelum habis nyawanya ), yang disembelih atas nama berhala (diharamkan juga) kamu bertenung nasib dengan undi batang-batang anak panah, yang demikian itu adalah perbuatan fasiq".

Firman-Nya lagi dalam surah yang sama ayat 4:

Bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Baginda menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu memakan yang lazat-lazat serta baik dan buruan yang ditangkap oIeh binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar untuk berburu mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (Adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. OIeh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sambutlah nama Allah ke atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu) serta bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan oIeh Allah). Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisab-Nya".

Sidang Jumaat yang dikasihani,

Perkara utama yang perlu diperhatikan apabila hendak mendapatkan makanan atau minuman ialah dengan memastikan ianya halal dan baik.  Maksud halal mengikut hukum syarak ialah:

  1. Binatang yang hendak dimakan dagingnya mestilah ia yang dihalalkan oIeh syarak seperti lembu, unta, rusa, ayam dan lain-lain lagi.  Ianya pula hendaklah disembelih mengikut hukum syarak.

  1. Kita hendaklah menyuci bahan makanan yang hendak dimasak menggunakan sumber air yang bersih lagi suci.  Jika bercampur air basuhan dengan najis dan terus dimasak, maka akan menyebabkan makanan tersebut dihukumkan najis menyebabkan haram dimakan.

  1. Bahan campuran untuk menghasilkan makanan atau minuman hendaklah tidak bercampur dengan bahan-bahan yang diharamkan oIeh syarak seperti arak, racun perosak, najis binatang, bangkai, bahan-bahan dari khinzir dan lain-lain.

  1. Manakala maksud toyyiban pula ialah bahan makanan atau minuman yang berkualiti, berzat, tidak lapok dan tidak luput tarikh penggunaannya, diproses di tempat yang bersih dan bermanfaat jika dimakan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Umat Islam hendaklah berwaspada terhadap premis-premis yang menjual makanan yang mempamerkan ayat-ayat Al-Quran atau kalimah dan lambang suci Islam kerana ianya bukan jaminan bahawa makanan yang dijual adalah halal dimakan dan diminum.

Usaha untuk memastikan pengguna tidak tertipu dengan pelbagai taktik kotor oIeh pengeluar makanan dan minuman serta penjual yang mahu mengaut keuntungan dapat dilindungi dengan penggunaan Logo Halal.

Di negeri ini, Majlis Agama Islam Selangor telah mengambil langkah perlu seperti tidak membenarkan penggunaan Logo Halal yang dikeluarkan oIeh pihak swasta, di mana hanya Logo Halal yang dikeluarkan oIeh JAIS atau JAKIM sahaja yang diiktiraf.

Penguatkuasaan Akta Halal dan Logo Halal di premis-premis makanan, kedai makan, hotel, pengeluar makanan dan minuman, Pusat-pusat Sembelihan adalah bertujuan untuk memelihara hak pengguna mendapatkan bekalan makanan yang halal lagi baik dan terjamin. Namun usaha tersebut kurang berjaya sekiranya umat Islam sebagai pengguna tidak mempedulikan tentang halal atau haramnya sesuatu yang hendak dimakan dan diminum. Umat Islam perlu sedar mengambil bahan-bahan yang haram untuk dimakan atau diminum menyebabkan ibadat tidak khusyuk, rezeki tidak berkat, anak-anak yang diberi makanan yang haram atau syubhat akan mudah terdedah kepada kerosakan akhlak, doa tidak dimakbulkan Allah, berpenyakit di hati yang merosakkan iman bahkah di hari akhirat akan dicampakkan ke dalam api neraka. Na'uzubillahi Min Dzalik.

Dalam hal demikian, Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya supaya sentiasa berhati-hati dalam perkara berkaitan makanan dan minuman yang diambil. Hadith daripada Nukman bin Basyir r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya perkara yang halal itu adalah sesuatu yang nyata dan demikian juga yang haram adalah nyata, (telah dijelaskan oIeh Allah dan Rasul-Nya) namun terdapat di antara kedua-duanya (halal dan haram) itu perkara yang kesamaran (syubhat) yang mana tidak diketahui oIeh ramai di kalangan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada mengambil perkara-perkara yang syubhat, maka terpeliharalah agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang melibatkan diri pada perkara-perkara syubhat bererti ia melibatkan dirinya pada perkara yang haram".
 (Riwayat Bukhari)

"Wahai sekalian manusia!, makanlah daripada apa yang ada dibumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu".
(Al-Baqarah: 168)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 

Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 7 Januari 2011
Sumber : JAIS



03 Januari 2011

Prinsip Kesepaduan Ad-Deen dan Kebersamaan Dalam Perjuangan

Wahai sahabatku,

Manhaj kita bukannya mahu memperjuang tasawwuf semata-mata, atau fekah semata-mata, atau tauhid semata-mata atau fikrah semata-mata. Ia bukan jalan penyelesaian, bahkan jika dipisah-pisahkan atau dilebihkan salah satunya dengan meringankan yang lainnya, ia boleh membawa kepincangan dan kelemahan kepada insan dan ummah.

Justeru itu wahai sahabat, manhaj ku menekankan kepada kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan untuk diri dan masyarakat. Oleh itu, hendaklah kita bersama dengan mana-mana perjuangan, ulama, sistem pendidikan dan apa jua badan yang menekankan pendidikan akidah yang berteraskan Ahlu Sunnah wal Jamaah (ASWJ) serta perjuangan dalam mempertahankan kemurnian agama dari serangan akidah wahabi, sekularisme, modenisme, liberalisme… juga fahaman Wujudiah yang sesat, fahaman Batiniah yang menolak syariat dan lainnya.

Hendaklah bersama dengan para Ulama, para Syaikh Tasawwuf yang benar, para pencinta tasawwuf, para pejuang tasawwuf dan pendidikan tasawwuf yang berada di atas disiplin yang benar dalam manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah walau apa jua aliran tarekahnya dan kaedahnya. Berusahalah mencari dalil dan hujah untuk membenarkan mereka kecuali tiada lagi jalan untuk mentakwilkannya kepada kebenaran.

Hendaklah engkau bersama dengan para Sahabat ridwanuLlah ‘alaihim, para ulama, para pejuang dan apa jua badan/institusi yang memperjuangkan keilmuan syariah dan perlaksanaannya secara syumul dalam segala sistem kehidupan berdasarkan mazhab yang muktabar.

Tiadalah sempurna iman melainkan dengan ibadah, tiada sempurna ibadah tanpa ihsan dan tiada sempurna ihsan melainkan dengan muraqabah dan musyahadah, tiada sempurna musyahadah melainkan mencapai cinta yang hakiki, tiada sempurna cinta melainkan fana’ segala ketuhanan yang lain dalam batin (sifat mazmumah).

Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, amal tanpa Ihsan (tasawwuf) adalah sia-sia, Ihsan tanpa cinta yang hakiki adalah sia-sia, cinta tanpa meleburkan kecintaan nafsu mazmumah, dunia, harta benda, pangkat dan lain-lain adalah sia-sia, mencapai hakikat cinta Allah tanpa cinta Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam adalah juga sia-sia.

Cinta Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam tanpa fana’ cinta diri, keluarga dan cinta-cinta yang lain adalah sia-sia. Fana’ dalam cinta Allah tanpa cinta dan rindu untuk berkata-kata dengan kalamNya (al-Quran) dan mematuhinya adalah sia-sia.

Fana’ dalam cinta Rasul tanpa rindu dan cinta dalam mendengar sabda-sabda Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan mematuhinya (Hadis Sahih @ Sunnah) adalah sia-sia. Kecintaan pada kalam Allah dan sabda Rasul tanpa dibuktikan dengan pengorbanan agar wahyu Allah dan sabda Rasul menjadi yang tertinggi dan mulia di bumi ini adalah sia-sia. Sesungguhnya Islam adalah agama kerahmatan, maka menyebarkan kerahmatan untuk sekelian alam adalah kewajiban.

Wahai sahabatku,

Ramai yang datang menziarahiku dari pelbagai golongan. Aku menerangkan pendidikan dan perjuanganku, mereka memahami dan berminat dan menjadi sahabat dan muhibbin perjuangan. Mereka kemudian kembali ke tempat masing-masing dengan membawa mesej manhaj pendidikan. Ada yang bergerak dalam jemaah yang mereka anggotai, ada yang membuka syarikat motivasi, ada yang mendaftar wadah sebagai NGO. Ada juga di kalangan ulama dan ustaz, mereka ini bergerak melalui kuliah dan program ceramah mereka.

Semua mereka ini hanya memperjuangkan satu mesej, iaitu mahu membangkitkan “Kesedaran Ketuhanan dan Kehambaan” dalam kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan. Manusia sudah terlalai daripada mengenal diri mereka sendiri. Fitrah Ketuhanan insan telah tertutup tanpa mereka menyedari hakikat kewujudannya.

Justeru, marilah kita membukanya kembali pada setiap insan yang ada di atas muka bumi ini, agar mereka tiada hidup dalam mimpi dan ilusi, tiada diselubungi dengan kegelapan kejahilan dan silauan sihir dunia, agar mereka mencapai kebahagiaan hakiki.

Permata kenikmatan insan sesungguhnya berada dalam diri mereka, namun sedikit yang menyedari kewujudannya, apalagi memiliki kunci untuk membukanya.

Aku menyeru pada sahabat-sahabat yang memiliki kekuatan dan kefahaman, agar bersama kita merahmatkan kembali sekelian alam bermula dengan membuka hakikat kesedaran siapa manusia dan apa tanggungjawabnya hidup di dunia ini.
Dengan keimanan yang dimiliki, tasawwuf yang dimiliki (walau dari apa aliran dan syaikh sekalipun) dan keilmuan yang dimiliki dalam apa jua bidang ilmu, marilah kita bergabung dalam sifat saling hormat menghormati demi membangunkan kehidupan insaniah yang sejati.
Sesungguhnya akhirat tempat menanti pembalasan Tuhan rabbul ‘alamin pada insan yang berjaya membawa dirinya kepada makrifat kehambaan dan kemudian hamba yang lain pula turut mengecapi nikmat KESEDARAN KETUHANAN dan KEHAMBAAN..


Kesedihan
Merenggut batin setiap pencinta Illahi
Mengenangkan zaman mutakhir ini

Ad-Deen bersendikan Iman, Islam dan Ihsan
Namun bicara Ihsan telah hilang
Dzauk dan syuhud telah kering
Rahsia Fitrah Ketuhanan menjadi asing

Nusantara
Menerima cahaya dakwah para Auliya’-Auliya’
Iman, Islam & Ihsan bersatu
Tanpa ada yang diringankan

Semoga dakwah rahmatu lil ‘alamin
Kembali bersinar
Dalam setiap dada anak mukmin
Dengan bermulanya langkah hari ini...


Dipetik dari pesan dan kata² guruku..




"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT" (Al-Ahzab Ayat 21).

Kongsi Pautan

Assalamualaikum.

Pihak admin mengalu-alukan semua pengunjung blog ini untuk berkongsi sebarang pautan yang memberi manfaat kepada pengunjung yang lain. Semoga segala yang baik itu dapat dipanjang-panjangkan mudah²an menjadi salah satu amal solih di sisi Allah SWT insyaAllah..Terima kasih di atas perkongsian anda ini.




p/s : Sekiranya blog/website anda dalam kategori ini, dipersilakan juga untuk dikongsikan di sini :)

NOTIS PENAFIAN : Laman web www.al-ehsaniah.blogspot.com bukan laman web rasmi bagi Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang. Laman web ini adalah hasil inisiatif sendiri ahli qariah kerana masjid ini masih belum memiliki laman web rasmi sebagai salah satu medium dakwah dan penyampaian maklumat yang agak penting ketika ini. Penggunan istilah Admin di dalam web ini bukan merujuk kepada Pihak Pengurusan Masjid tetapi sekadar merujuk kepada pengurus web ini sahaja. Sekiranya terdapat sebarang aduan/cadangan/maklum balas terhadap masjid melalui laman web ini pihak admin akan memanjangkannya kepada pihak yang sepatutnya. Walau bagaimanapun pihak admin mengingatkan adalah lebih baik berhubung terus dengan pihak Pengurusan Masjid yang sebenar. Sila rujuk direktori pengurusan masjid di laman Organisasi.